I made this widget at MyFlashFetish.com.

Nur Aizah
Oleh: Nur Aizah binti Ramli



“Jangan pergi! Jangan pergi! Aku mahu tahu lebih lagi, siapa kau? Siapa kau?! Tunggu!!!!!”, suara Amin memecah kesunyian malam tika rembulan mula menampakkan sinarnya. Kedengaran tapak kaki yang kasar melangkah menuju ke arah suara itu, langkah itu terhenti tika masuk ke dalam bilik Amin.

“Astaghfirullah hal azim…kenapa dengan kau ni Amin”, kata Mak Piah yang terkejut dengan tingkah laku Amin seakan akan orang kena sampuk.

“Abang!abang!abang!, cepat tengok anak kita ni…”, jerit Mak Piah yang bimbang melihat Amin meronta-ronta minta disedarkan.

            Pak Husin bergegas ke bilik Amin. Dia sempat membawa air putih dan membaca ayat suci al Quran lalu dipercikkan pada wajah Amin. Amin mula sedar dan memandang kedua-dua wajah orang tuanya.

“Kenapa dengan Amin ibu, kenapa dia pergi bu? Ibu, Amin mimpi..Amin mimpi..”, Amin tidak dapat meneruskan kata-kata kerana ketakutan dan kengerian mimpi yang dialaminya.

Mak Piah tidak memaksa untuk Amin menceritakan segalanya tetapi meminta Amin untuk bertenang dan berehat setelah diberikan air penawar yang dijampi oleh Pak Husin. Setelah Amin ditenangkan, pasangan suami isteri itu kembali ke kamar lalu pintu bilik Amin ditutup perlahan, kelihatan sepasang mata yang merah menyala memandang dari sebelah tempat tidur Amin. Mata yang penuh perasaan dendam, menyimpan rahsia yang belum tersingkap. Lembaga itu memeluk erat Amin sambil rambutnya diuraikan sehingga ke bawah katil.

“Abang ..Piah rasa Amin sudah tahu apa yang kita rahsiakan selama ini, apakah kita perlu beritahu dia abang?, tanya Mak Piah pada Pak Husin.

“Jangan beritahu apa-apa, Amin terlalu muda untuk mengetahui dan melalui segala peristiwa silam itu, lebih baik dirahsiakan”, pinta Pak Husin.

“Tapi bang, Piah risau jika benda itu mengganggu Amin lagi, Piah bimbang kalau dia apa-apakan Amin, Amin tidak bersalah bang”, rintih Mak Piah yang bimbang akan keselamatan anaknya itu.

“Sudah! Jangan kita bincang lagi hal ini, takut melarat entah ke mana”, Pak Husin mendengus kasar dan berjalan keluar duduk di ruang tamu sambil tangannya menggulung daun rokok untuk diisi tembakau. Mak Piah faham bahawa suaminya semakin risau dan gelisah memikirkan hal tersebut, dia tidak mahu mengganggu Pak Husin sebaliknya terus mengambil wuduk dan membaca al-Quran agar kegelisahan hatinya terubat apabila ayat-ayat suci itu dibaca.

Pagi itu, Mak Piah seperti biasa mengejutkan Amin untuk ke sekolah, disentuhnya kaki Amin terasa sejuk seperti mayat, dirasakan dahi Amin panas pula. Mak Piah tidak berpuas hati lalu menepuk lembut tubuh Amin.
“Amin..Amin..Amin, bangun nak”, panggil Mak Piah.

Amin mula membuka mata dan mengeliat, matanya merah berair, mulutnya pucat bagai orang mati. Mak Piah semakin gelisah lalu segera menelefon suaminya untuk segera pulang. Amin dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Doktor mengesahkan Amin hanya demam biasa dan diberikan panadol, antibiotic, dan vitamin bagi meningkatkan penghasilan darah dalam badannya. Amin juga dinasihatkan untuk minum banyak air dan makan sayur-sayuran bagi mengekalkan kecergasan tubuhnya.

Sampai di rumah Amin berehat dan tertidur akibat mengantuk hasil tindak balas ubat yang dimakannya tadi. Tidur Amin berpanjangan sehingga ke petang. Mak Piah tidak henti-henti menjenguk Amin di bilik bagi memastikan anak bongsunya dalam keadaan baik. Selesai melakukan kerja memasak dan memberi Amin makan, Mak Piah sempat untuk membaca al-Quran di telinga Amin.

“Kedegammm!!!!!”,tiba-tiba pintu bilik dan tingkap terhempas kuat walaupun tiada angin yang menolaknya. Tirai mula berombak ganas seakan petanda buruk datang menyerang. Mak Piah mula gusar akan kedatangan makhluk itu yang mengganggu keluarganya. Dia menguatkan lagi bacaan ayat kerusi yang dihafalnya dan berhenti tika melihat Amin menggelupur di lantai bagai cacing kepanasan.

“Amin, kenapa ni..bangun nak, beritahu pada ibu apa yang berlaku pada kau”,kata Mak Piah sambil air matanya jatuh berlinang pabila melihat anaknya berkeadaan sedemikian.

Amin merenung tajam pada wajah ibunya dengan mata yang merah berair, wajah yang bengis bagai orang yang menyimpan dendam berkurun lamanya.

“Apa yang kau dah buat pada aku!!!

“Kenapa kau bunuh aku!!”, Tengking Amin pada Mak Piah.

“Apa yang aku dah buat pada kau, selama aku hidup tidak pernah aku membunuh orang, tidak juga pernah aku mencederakan siapa pun, bahkan Amin tidak pernah pula aku sakiti, keluar kau dari tubuh suci ini, keluar kau!!, Mak Piah menguatkan bacaan dan sejurus itu mengambil senggegam beras kunyit dan air penawar yang telah dibacakan dengan ayat suci lalu dihamburkan pada tubuh Amin. Amin bagai terseksa dan tersembur air liur dari badannya dan tiba-tiba berhenti seketika tidak sedarkan diri. Mak Piah yakin bahawa benda itu telah pergi dari tubuh anaknya. Dia segera mendapatkan tubuh anaknya yang sudah lemah longlai. Amin tidak bertenaga umpama orang yang berjuang melawan musuh di medan perang.

“Argggghhhh, sakit!!!!!...Amin lepaskan ibu”, jerit Mak Piah. Tangan Amin mencekik kuat leher ibunya seraya berkata;
“Mana kaki aku! mana kaki aku! kembalikannya padaku! aku sakit, aku… aku sakit, kembalikannya!!, jerit benda yang menumpang pada badan Amin itu.

“Allahuakbar…Allahuakbar..Allahuakbar..”..kedengaran suara garau dari luar bilik menjerit kuat.

Pintu bilik dikuak kasar, kelihatan bayang tubuh yang sasa berdiri di depan Amin dan Mak Piah, bayang itu melangkah berani masuk ke dalam bilik sambil mulutnnya terkumat kamit membaca sesuatu. Mak Piah memandang wajah tersebut dan yakin bahawa itu adalah suaminya.

“Wahai Jin, aku tahu mana asalmu, dari api engkau dijadikan, dengan tanah engkau mendustai, maka kembalilah ke tempat asalmu, sebelum jasadmu dibinasakan dengan ayat-ayat suci Maha Pencipta aku dan kamu!!!!..Kembalilah! Jangan kau ganggu anak cucu Adam, kami adalah sebaik-baik kejadian, keluarlah engkau dengan cara yang baik dari tubuh suci itu!!..Pinta Pak Husin dengan tegas.

Cengkaman Amin pada leher Mak Piah dilepaskan dan matanya ditumpukan sepenuhnya ke arah Pak Husin.
“Aku tak peduli, aku mahu bahagian aku, aku tak tenteram, aku mahu semula kaki aku, kaki aku yang kau ambil! yang kau simpan! , kerana aku tolak pinangan kau!, kerana aku tak terima cinta kau!”, tengking Amin sambil mengilai kuat.

Pak Husin kebingungan, apa maksud lembaga itu, kaki? Siapa dia? tanya Pak Husin di dalam hati.
Pak Husin mula berfikir seketika…Dahulu kala, pernah juga ayahnya bercerita akan perihal datuknya, Rahim, yang mengamalkan ilmu hitam dan menggunakan ilmu itu dengan menyihir seorang gadis yang bernama Suria, tetapi cerita tersebut tidak tersebar luar di kampung kerana khuatir akan pandangan masyarakat pada keluarga Pak Husin. Pak Husin tersentak kerana benda itu sedang berada dekat di hadapannya.

“Apa sekarang kau sudah ingat?Ingat.. di mana kau simpan kaki aku?, tanya lembut suara itu bagai suara perempuan muda.

“Pak Husin memejamkan mata dan meminta Mak Piah agar tidak berhenti membaca surah yang dia hafal, Pak Husin terkumat kamit membaca sesuatu, ilmu agama dan perubatan islam yang diturunkan ayah pada dirinya tidak disia-siakan. Dia segera membuka mata dan merenung tajam pada benda itu yang tersenyum sinis berbaring di atas katil. Dia meminta Mak Piah memegang tubuh kecil Amin sekuat hati dan Pak Husin memegang ibu jari kaki Amin sambil membaca ayat-ayat suci lantas mennyentap kuat ibu jari Amin sebagai tanda benda itu dikeluarkan dari tubuh Amin.

“Arrrggghhhhhhhhhhhh…sakit….!!!!!!!”.Jerit suara itu.

Pak Husin terus memasukkan di dalam botol kecil dan menutupnya kuat…dia tersandar keletihan pada tubuh isteri yang memangkunya. Mengalir air mata melihat keadaan Amin yang terpaksa memperjuangkan nyawa dek rasukan lembaga itu, tetapi dia bersyukur lembaga itu tidak akan lagi mengganggu keluarganya. Namun ,terlintas di hatinya bahawa kaki yang dimaksudkan lembaga itu perlu dia cari agar roh Suria tenang di alam sana.

Malam itu juga dia melakukan solat tahajud, solat sunat taubat, dan solat sunat hajat bagi mendapatkan petunjuk di mana kaki Suria disembunyikan. Dia bersungguh-sungguh bermunajat dengan isteri yang setia disampingnya. Hampir subuh dia terlelap seketika di pangkuan isterinya. Pak Husin tersentak dan terus bangun memandang isterinya yang telah tidur dibuai mimpi. Dia terus berjalan menuju ke dapur dan mengambil cangkul yang tersadai di tepi rumah.

“Bismillahirrahmanirrahim”, Pak Husin mengucapkan ayat itu agar kerjanya diberkati dan dilindungi oleh Allah SWT.

“Ktooookkkk!!!”, Lantai di dapur rumah dipecahkan. Pak Husin mencangkul dengan penuh bertenaga seperti menjumpai harta karun yang bernilai.

“Apa yang abang buat tu? Tidak boleh tunggu pagi ke..sudah hampir subuh ni..”,tanya Mak Piah yang bangun akibat terkejut dengan bunyi kuat dari arah dapur.

Pak Husin tidak mempedulikan kata-kata isterinya, sebaliknya dia terus asyik dengan kerja yang dilakukan tanpa bersuara sepatah pun, tingkahnya terhenti dan merenung tajam pada benda yang dijumpai itu. Dia pasti bahawa inilah yang lembaga itu maksudkan. ..dia meminta Mak Piah mengambil sehelai kain putih dan membalut tulang tersebut. Itulah tulang kaki Suria yang datuknya tanam dahulu, segala persoalan kini telah terjawab.
“Alhamdulillah”,kalimat yang terlafaz dari bibir Pak Husin.

Pagi itu, tulang kaki arwah Suria ditanam berdekatan dengan kuburnya. Walaupun Suria telah lama pergi terasa seakan dia lebih tenteram di sana. Pak Husin, Mak Piah dan Amin menghadiahkan surah Yasin kepada rohnya agar tenang bersama roh orang-orang yang soleh. Mereka melangkah pulang sambil diperhatikan lembaga putih yang tersenyum riang tanda syukurnya pada keihlasan hati keluarga itu membantunya.

       Suara cengkerik dan desiran angin di sawah pada petang itu ibarat irama syahdu yang membawa perkhabaran gembira buat si pesawah tanda rezeki mereka masih ada dan kerja menuai dapat dijalankan. Kelihatan jentera kuning mula bergerak ke dalam petak-petak sawah untuk memungut padi yang sudah masak. Anak-anak kecil riang gembira kerana mereka dapat melihat mesin padi. Mereka memendam hasrat bersama pesawah untuk meraikan hari itu, tetapi hanya duduk di tepi sawah memandang sayup dari batas sana.

        Begitu juga dengan Amin yang hanya mampu melihat dari atas rumah dan tidak dizinkan untuk turun bersama anak-anak yang lain bermain di padang. Di kejauhan itu, dia tersenyum apabila segala persoalan di hatinya kini telah terjawab, meskipun peristiwa itu menjadi titik hitam bagi dia dan keluarga. Namun, dia cukup gembira apabila roh Suria kini tenang dan terus bersemadi di alam sana.
0 Responses

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails