Nur Aizah
Karya: Nur Aizah binti Ramli


“Elok elok ikut budak dua orang tu, jangan sampai diorang nampak kita”, arah lelaki bermisai tebal kepada rakannya.

“Ya, aku tahu”, balas Chen pada Vicky.

“Kenapa Rahman nak sangat kita ikut budak dua orang tu?”, Chen merungut sendirian

“Entahlah, kita ikut ja la.”, Vicky bertegas.

   Kereta viva yang dipandu Lia terparkir di sudut bersebelahan pasar. Azrul keluar dari kereta sambil membawa bakul. Lia memandang dengan bibir yang tersengih. Dia juga tidak menyangka Azrul ada juga lagak seperti pembantu rumah.

“Bibik, jom kita masuk dalam ya”, kata Lia sambil tergelak melihat cermin mata Azrul yang bersinar padanya.

“Hei, penah ke Azrul minta kerja dari akak, eii..”, Azrul membalas sambil meletakkan bakul di bonet hadapan kereta dengan wajah yang seakan nak merajuk.

“Ala..janganlah merajuk. Akak gurau saja”, Lia bersuara manja dan menepuk belakang Azrul.

   Senarai  jenis barang yang tertulis pada kertas kuning tadi dikeluarkan daripada dompetnya. Ditelitinya satu per satu, barang yang dibeli dimasukkan dalam bakul. Azrul masih membisu.

“Selesai juga. Adik jom…kita makan nak?”, tanya Lia.

“Akak yang belanja nak la”, Azrul menjawab.

“Ye la, kau mana ada duit”, Lia masih sempat mengusik Azrul.

***
“Abang rasa masalah kita tak sampai ke mana? Lebih baik Rina terima sahaja apa yang telah ditawarkan Halim kepada  Rina”, Lokman memujuk Rina.

“Abang..!!” Marina yang terkejut pada keputusan itu meninggikan suara.

“Ya Rina, abang buntu sayang. Abang tak mahu Rina dan Lia hidup menderita dan sengsara dengan abang. Abang tak mampu sayang. Abang baru ja kena pecat, hutang keliling pinggang. Mana abang nak cari duit untuk Lia dan Rina. Esok lusa entah bila along pula cari abang.”, jelas Lokman pada Marina.

“Aduh”, pisau yang diguna terhiris hujung jari telunjuknya.

   Darah yang mengalir segera dicuci dengan air putih.  Rasa pedih di hujung jari, Puan Marina menghisap jari itu  supaya hilang rasa pedih itu.

“Eh, kenapa ibu”, tanya Azrul yang melihat ibunya menghisap jari telunjuk.

“Jari ibu terluka sedikit sahaja”, kata Puan Marina.

“Mari Azrul tengokkan”, pinta Azrul yang memegang tangan ibunya.

   Azrul segera mengambil iodin bagi mencuci luka dan plaster di dalam kotak kecemasan yang tersedia disimpan di dapur.

   Puan Marina hanya melihat Azrul dengan  pandangan yang penuh sayu. Anak itu begitu baik. Tidak pula menyangka dia sebagai orang luar. Namun, kenangan  pahit itu masih melingkari memori ingatan Puan Marina. Setiap kali terpandangkan wajah Lia dia teringatkan Lokman. Entah ke mana menghilangnya bekas suaminya itu. 
Nur Aizah
Karya: Nur Aizah binti Ramli


“Lia, ayah bukan sengaja tinggalkan Lia dan ibu tetapi ayah….”, kata Lokman memujuk anaknya.

“Tapi apa? Ayah ada perempuan lain kan? Ayah tau ibu terpaksa bekerja, macam-macam kerja yang ibu buat untuk menyara hidup. Masa tu Lia kecil lagi, yang Lia tahu menangis je”, jelas Lia meluahkan perasaan.

“Maafkan ayah Lia, kamu masih mentah untuk memahami situasi ayah”, kata Lokman dengan perlahan.

Dalam lorong yang gelap, tersinar sedikit cahaya neon lampu jalan menampakkan wajah Lokman yang tampak kusut.

“Diakah ayah aku?”, Lia bertanya sendirian.

Lokman berundur kembali ke lorong gelap itu dengan kehampaan pabila Lia masih menyalahkan dia. Lia segera mengejar Lokman. Namun,  Lokman lesap hilang entah ke mana .

“Ayah!”, Lia menjerit supaya Lokman berhenti dan menjawab pelbagai pertanyaannya yang masih belum terjawab lagi.

“Puteri Cantik Yang Suka Tidur, bangun..bangun…!”, suara Azrul menerjah ke telinga Lia.

“Apa yang kau buat kat bilik akak ni? Keluar la, bukannya nak pergi sekolah pun..cuti kan hari ni?”, Lia mengambil bantal dan memekupkan di wajahnya.

“Ish, lupalah nenek ni. Hari ni keluar pergi pasar beli barang. Pak Mail kan belum balik lagi.”, pintas Azrul.
“Akak, bangun la”, Azrul menarik bantal peluk Lia.

“Kau ni…hish…”,Lia mendengus kasar dan segera bangun  menggapai tuala.

Azrul tersenyum puas tindakannya tadi dapat mengejutkan Lia yang memanjakan diri berselimut di atas katil.

“Dah tu, keluar la. Akak nak mandi pun nak tengok ke?”, tegas Lia pada Azul yang masih tercegat melihat Lia.

“Perasan la tu, tak ingin la nak tengok. Daripada tengok akak mandi lebih baik tengok kambing mandi”,gelak  Azrul berdekah-dekah mengenakan Lia.

Pintu bilik ditutup dengan kuat. Terkejut Puan Marina yang sibuk megemas di bawah.

“Ibu nak beli apa?”, tanya Lia.

Puan Marina menghulurkan kertas yang sudah pun tertulis barang-barang yang perlu dibeli.

“Banyaknya barang yang kena beli, ada kenduri ke ibu?”, Lia terkejut setelah meneliti senarai yang disediakan ibunya.

“Petang nanti, Auntie Sarah, Uncle Rahman, Uncle Jo pun ada. Diorang nak datang sini, itu yang ibu belikan banyak barang nak masak sedap sedap”, kata Puan Marina.

“Oh begitu, ha…nampaknya Lia kena ada pembantu. Mana si buncit ni ya? ", leter Lia

“Azrul!”panggil Lia.

Azrul menyergah Lia dari belakang.

“Ada apa?”, tanya Azrul.

“Ni ha, Azrul ikut akak pergi pasar. Banyak barang yang akak kena bawak. Tak larat sorang sorang nak angkat semua ni. Jom..”, Lia terus mengheret tangan Azrul sebelum adiknya itu memberikan sebarang alasan.

“Ibu…” pandang Azrul untuk mendapatkan simpati ibunya. Puan Marina hanya tersenyum melihat kerenah adik beradik itu.
Nur Aizah
rasanya sebulan lebih aku meninggalkan ruangan menulis di blog ni..dah ada sesawang lelabah suma. Nak menulis, tp idea blm smpai..apo nak jadi? tak tau la..camno pn beberapa hari lagi sambgn kisah saya sayang awak..ops kembali muncul di ruangan ini. thenkz kepada y sudi melawat. (^_^)
Nur Aizah

Al-Fatihah buat arwah tok wan (Ismail bin Mat) yang telah kembali ke rahmatullah subuh tadi...Tersentuh hati bila tiada di sisi..ayah dan y lain meredah banjir untuk m'uruskan arwah...Allah lebih mengetahui segalanya...Moga roh arwah tenang dan dtmpatkan dlm kalangan org2 y soleh..amin..





Nur Aizah


Ingin bukukan pengalaman diri untuk simpanan peribadi? E-melkan kisah anda di alamat e-mel saya balqis_240289@yahoo.com.my atau di facebook. Kisah anda akan saya karang menjadi sebuah bentuk karya kreatif(novel/cerpen/sajak) untuk simpanan saudara dan saudari. Kisah tersebut dikumpul dan dibukukan menjadi sebuah novel atau antologi cerpen dan sajak. Bagi yang berminat sila rujuk link di bawah untuk maklumat lanjut.

Tarikh tutup penghantaran kisah anda pada 30hb.11. 2010
Sertakan alamat anda untuk penghantaran bahan karya. Tempoh siap bahan karya bergantung kepada kisah yang dihantar.
*Penghantaran lima kisah terawal akan diberi karya yang telah siap secara percuma dan tidak akan dikenakan sebarang cas dan bayaran.
Nur Aizah

Karya: Nur Aizah binti Ramli

Laut menghampar kisah insan,
Tenang gelora  kehendak Tuhan,
Pandangku pada hujung lautan,
Yang membentuk satu garisan.
Kisah dia di hujung sana,
Kuputarkan  memori tika bersama,
Lega hatiku  melihat senyumannya,
Tawanya mendamai resah di jiwa.

Namun,
Senyuman semalam hanya di ingatan,
Tawa yang kurindu jadi simpanan,
Dalam peti sebuah kenangan,
Kini kau jauh ke depan
Tinggalkan kami dengan bermacam perasaan,
Kesedihan juga kesuraman,
Air mata tidak tertahan,
Kulepaskan mengalir bagai sebuah empangan.

Aku terpaku pada kau puteri,
Semangat juang yang kau harungi,
Pertarungan kau antara dua duniawi,
Akan kuingat sampai mati,
Laut kini berombak resah ,
Seperti dirimu yang mahu berpisah,
Tidak boleh kutangguh akan segala kisah,
Kerana semuanya urusan Allah,
Tenang mengalun ombak di tengah,
Menghempas pantai sampaikan kisah,
Kiriman ayat suci sebagai wadah,
Menjadi peneman di alam barzakh.

Angin yang menyapa diriku,
Harap disampaikan rinduku padamu,
Jua hadiah terindah buat dirimu,
Aku yakin kau tetap tersenyum di situ,
Menerima hadiah yang kukirim padamu.
Nur Aizah
Karya: Nur Aizah binti Ramli


  Kuliah hari Isnin berjalan seperti biasa. Subjek psikologi paling digemari Lia. Segala butiran kata yang keluar dari mulut Puan Hasnah didengar dan difahami satu per satu. Pengaruh masa lalu banyak mempengaruhi sikap dan nilai yang ada pada seseorang.

“Sebab tu manusia ni, macam-macam jenis perangai. Ada yang baran, terlalu sensitiF, kuat menangis..tapi Puan ..mesti ada caranya untuk kita pulihkan orang yang berperangai begitu”, Lia spontan bertanya pada Puan Hasnah.
Pertanyaan itu disambut dengan senyuman  Puan Hasnah.

“Kamu lihat pen ni, pen yang kamu pegang, dan semua yang orang guna. Semuanya sama kan..maksud saya semua pen mengeluarkan dakwat dan bentuknya adalah sama. Pada firasat kamu apa yang membezakan setiap jenis pen dengan pen yang lain.”, Puan Hasnah bersoal kembali kepada Lia.

“Em, saya rasa warna dan jenama”, pantas Lia menjawab.

“Kamu masih melihat sesuatu perkara pada permukaan dan belum dapat menelusuri ruang yang lebih dalam. Baiklah kelas, sekarang kamu lihat apa yang kamu tulis dan bezakan dengan rakan kamu”, pinta Puan Hasnah.

“Tulisan”, seorang penuntut menjawab.

“Ya..betul. Setiap tulisan adalah berbeza. Seperti berbezanya sikap yang ada dalam diri kamu.  Untuk pulihkan sikap adalah seperti kamu pulihkan tulisan yang seperti cakar ayam kepada tulisan yang lebih tersusun dan kemas. Jadi sekarang ni kamu dah faham?” tanya Puan Hasnah. Semua penuntut mengangguk termasuklah Lia.
***
“Kring…kring”…

“Hello Lia..”, suara Puan Marina di hujung talian.

“Ya ibu, ada apa?”, tanya Lia.

“Lia tolong ambil Azrul di sekolah ya..Pak Mail tak sihat, jadi dia tak dapat ambil”, pinta ibu.

“Baiklah”, Lia mengiakan tanpa membantah.

Enjin scooter comel miliknya dihidupkan lalu meluncur laju keluar dari kawasan kolej. Dia berasa ada seseorang di tepi jalan yang sedang leka memerhatikannya. Teruja hatinya untuk menjeling ke sana.

“Oh ..Kamal”, puas rasa di hati bila matanya melihat Kamal yang merenung tepat ke arahnya. Dia tersenyum keriangan seperti kerang busuk.”

Tiba kedengaran bunyi seretan tayar kenderaan yang membrek. Nampaknya ada sebuah kereta Pesona warna silver berhenti tepat di hadapan scooter Lia. Lia cuba mengelak dari bertembung dengan kenderaan tersebut, jantungnya berdegup kencang. Akibat terlalu berkhayal  dia telah melakukan kesalahan. Pasti akan dimarahi oleh pemilik kenderaan berkenaan. Namun perasaan takut, imbang yang bercampur baur pada wajah disembunyikan seolah-olah tiada apa yang berlaku. Sesusuk tubuh keluar menuju ke arahnya. Kini semua mata memandang dan berbisik-bisik sesama sendiri pada kedaan yang berlaku.

“Cik adik bawa motor dengan mata ke dengan hati”, tanya lelaki yang perkiraan usia dalam 40-an.
Lia membisu tidak dapat menjawab pertanyaan lelaki itu.

“Cik dengar ke tidak”, lelaki itu meninggikan suara.

“En..Encik  ada cedera ke?” , tanya Lia.

“Cik hampir dilanggar tadi. Cik langsung tak peka…atau Cik memang tak kisah jika kena langgar dengan saya tadi”, soalan itu merentap perasaan Lia untuk membalas.

“Encik, saya tahu saya salah. Saya minta maaf. Saya minta diri dulu.”, slumber Lia meminta diri padahal kesnya belum selesai di situ lagi.

“Eh..Cik..Cik..mudahnya Cik menjawab. Ini soal keselamatan, tak boleh ambil ringan”, lelaki itu tidak berpuas hati dengan jawapan Lia.

“Abis tu, Encik nak suruh saya buat apa. Encik…kelalaian satu kesalahan. Dan kesalahan ada kemaafan. Saya mengaku salah saya, dan saya tak buat lagi. Saya minta diri dulu”, Lia  malas lagi untuk bertekak dengan lelaki berjambang dan berwajah ala-ala lelaki Penang.

“Jika ada yang rosak beritahu pada saya” Lia pantas mengeluarkan kad diri yang ada alamat dan no. telefonnya. 

   Lia tidak mahu menunggu dan berbincang di situ terlalu lama kerana sudah malu dengan mata yang memandang.  Dia berlalu pergi dengan scooter merahnya. Lelaki tersebut hanya menggelengkan kepala dan kembali ke kereta.

“Akak ni apsal lambat sangat. Beli la Yamaha Byson. Lajula sikit…ni guna scooter..tak beztlah”, Azrul merungut.

“Banyak pula songeh dia, naik je la”, Lia meradang. Azrul mengangkat kening dan menggaru kepala. Pelik rasa di hati dengan kelakuan Lia yang tidak tentu hala emosinya. Sekejap ceria, sekejap jadi pemarah.

“Datang bulan kot”, bisiknya.

“Apa adik cakap”, Lia kembali bertanya.

“Tak de apa pa. Cepatla scooter Byson. Putera Raja dah lapar ni”, rengek si Azrul

Lia tersengih mendengar sindiran dari Azrul. Mahu saja dicubit-cubit perut Azrul yang maju ke depan macam orang mengandung tapi dia tahu Azrul memang begitu perangainya..suka menyakat.

Nur Aizah
Karya: Nur Aizah binti Ramli



        Pagi itu sinar mentari kian malap dek mendung yang sarat membawa titisan hujan. Lia bersiap-siap untuk ke kolej. Nampaknya dia perlu keluar rumah awal bimbang barangkali tidak sempat sampai ke kolej. Puan Marina masih di dapur siap menghidang sarapan pagi untuk keluarga. Azrul pula entah bangun atau belum.

“Ibu..Lia pergi sekarang ya”, kata Lia.

“Kenapa Lia tergesa-gesa ni, makan la sikit”, pinta ibunya.

       Lia sempat meneguk air teh di atas meja. Dia bersalam dan mencium pipi ibunya dan kemudian berlalu pergi keluar rumah. Helmet dipakai kemas,Lia lebih selesa menaiki motor kerana mudah menyelit dalam kesesakan nanti. Enjin motor scooter dihidupkan. Tiba-tiba terasa seperti ada benda berat jatuh di belakang tempat duduknya.

“Ya Allah…Patutlah berat kau rupanya”, Lia menoleh lalu meremukkan muka
.
“Apsal lak,akak tak suka ke? Cepat..hantarkan Azrul ke sekolah”, arah Azrul.

       Puan Marina hanya menggelengkan kepala melihat telatah dua orang anaknya. Kadang-kadang dibiarkan sahaja pergaduhan antara mereka kerana penat untuk melarang. Air dicincang takkan putus. Lia terpaksa membawa adiknya yang bertubuh lebih besar itu ke sekolah. Di dalam hati habis dia menyumpa seranah adiknya itu.
“Anak-anak dah bangun ke Ina”, tanya Tuan Halim.

“Azrul dan Lia dah keluar pun. Abang yang terlewat bangun”, jelas Puan Marina.

“Aik, awalnya diorang bangun. Tambah-tambah Azrul tu selalu awak yang kena kejutkan dia”, Tuan Halim bernada hairan.

“Entah la abang, macam-macam kerenah diorang ni”, kata Puan Marina yang tidak dapat menjelaskan keadaan sebenar kepada suaminya.

***

“Kenapa Azrul suka ganggu akak?”, Lia bersoal pada adiknya.

    Soalan itu dibuat-buat tidak dengar oleh Azrul dan membuatkan Lia bersoal padanya berulang kali. Perbualan di atas motor agak jelas kerana masih belum bingit dengan kenderaan yang lalu lalang.

“La..Azrul nak gurau pun tak boleh ke?”, Azrul membela diri.

“Bukan tak boleh, tapi tak kena pada tempatnya”, Lia membalas. Azrul hanya mendiamkan diri. Suasana pagi itu terasa sejuk sekali.

    Azrul dihantar betul-betul di hadapan pintu pagar sekolah. Terasa pelik kelakuan Azrul hari itu. Dia bersalam dengan Lia. Lia hanya membiarkan sahaja lalu berlalu pergi. Pelbagai persoalan bersarang di fikiran Lia. Perjalanan selama 20 minit membawa Lia sampai ke destinasi. Kelihatan suasana di dalam kolej masih lengang. Lia memarkirkan scooter di bawah bangsal. Kebetulan dia sampai rintik hujan mulai berguguran ke tanah. Lia segera ke cafeteria kerana dekat dengan bangsal itu.

“ Jangan main hujan adik nanti demam”, ada suara yang menegur dirinya.

    Lia memandang sebelah kirinya. Rupanya Kamal, rakan satu kolej tetapi berlainan jurusan yang duduk makan di situ. Lia tersenyum lalu membetulkan tudungnya. Terasa gementar pula dapat bertemu dengan jejaka kacak terhangat di kolej itu.

“Awal awak datang?”, sama-sama mengajukan soalan. Mereka berpandangan lalu ketawa.

“Saya datang awal sebab hari nampak mendung, jadi kenalah bertolak awal. Awak pula ada apa datang awal”, tanya Lia

“Saya memang selalu datang awal. Duduk lepak baca surat khabar, makan-makan kat sini”, jawab Kamal.

    Dari kejauhan ada mata yang memandang. Senyumnya seakan menyindir. Tangannya digenggam erat seolah menyimpan rasa yang lama terpendam. Namun, Lia dan Kamal tidak menyedari akan hal tersebut dan rancak sahaja mereka berbicara.
            
Nur Aizah
Karya: Nur Aizah binti Ramli


Lampu dan bintang, suatu yang bercahaya. Bezanya lampu boleh nampak selalu tapi bintang kadang-kadang macam ak...

"Ha...aku dapat", Azrul merampas buku yang ditulis Lia tadi.

"Weyh, bak sini balik, suka hati  nak curi buku orang. Kalau nak buat la sendiri", Lia segera bangun dari bangku di hadapan rumah. 

"Berangan..apa kau tulis ni..." Azrul membelek ayat yang ditulis Lia lalu tergelak besar. 

"Aku cakap bak sini balik", Lia merebut semula diarinya dari pegangan Azrul lalu segera masuk ke dalam rumah. Azrul masih menyambung gelaknya lalu beralih melihat langit malam yang cerah dengan cahaya bulan.

Lia masam mencuka masuk ke dalam bilik. Dia menghempaskan tubuhnya ke atas katil,  geram dengan sikap adik tirinya yang senantiasa mengganggu setiap tindakannya.

"Apa dia ingat, dia anak orang kaya boleh saja nak buli aku ni. Jangan haraplah....", Lia bermonolog sendirian. 
Gadis yang berusia awal 20-an tinggal berdua dengan ibu kandung dan ayah tirinya di banglo mewah milik ayah tirinya. Seingatnya dia mengenali Azrul ketika mereka di tadika lagi, setelah ayahnya bernikah dengan ibu Lia. Namun, tingkah mereka bagai anjing dan kucing tak pernah berbaik.

"Azrul...Lia....mari makan..." panggil Puan Marina. Azrul yang dari luar tadi berjalan masuk ke dalam rumah. 

"Ayah tak balik ke ibu?" tanya Azrul pada ibunya.

"Ayah ada kerja..katanya berjumpa dengan klien. Hm..mana kakak kau ni? Tak nak makan ke? Azrul tolong panggilkan akak", pinta Puan Marina.

"Ala...nanti dia lapar tau la dia turun", Azrul ke singki dan mencuci tangan. Puan Marina memerhati Azrul. Dari lenggok percakapannya tadi, Azrul seperti bergaduh dengan kakaknya.

"Kamu berdua ni..tak habis-habis, dah besar panjang macam ni pun perangai macam budak-budak", leter Puan Marina. Azrul seperti endah tak endah sahaja.

"Dia tu yang cari pasal ibu", suara Lia entah dari mana datang menujah. Mungkin dari tadi dia mendengar perbualan dua beranak itu. Azrul yang sudah duduk di meja seperti tidak bersalah.



Nur Aizah

Hakcipta:Nur Aizah binti Ramli

aku dan kamu gembira di situ,
dia juga sentiasa bersama kita,
aku sentiasa berharap kau dan aku,
akan membahagiakan dia,
capai apa yang dia impikan,
tapi hari ini aku kecewa,
aku sedih aku menangis,
tak tertahan di hati,
tak tergamak ku telan bisa ini,
aku ungkapkan satu ayat,
untuk kau fikir,
"kau tipu aku",
"kau tipu dia",
dan yang penting ,
"kau tipu DIA",
mana janji kau selama ini,
perubahan apa yang engkau lakukan,
pada siapa  engkau berjanji,
pada dia atau ....,
aku mahu kau tahu,
di sini aku masih lagi berharap,
agar kau kembali pada janji ,
ingatlah masa y lepas bukan penyesalan,
masa kini suatu kepastian,
yang menentu masa hadapan,
esk lusa entah aku atau dia y akan tiada,
siapa yang akan kau kata kau paling sayang,
aku dia atau ......
Nur Aizah
Karya: Nur Aizah binti Ramli

Penaku menari dalam melodi sepi,
Merangkai rasa tertanam dalam sanubari,
Katanya dan kataku diukir disini,
Menguji iman menghalang diri,

Tidaklah panjang rajukku ini,
Sekadar muhasabah diri,
Menghimpun rasa yang jadi pemerhati,
Kubicara pada hamparan sekeping hati,
Agar terluah hasrat dihati.
Nur Aizah

     Setiap malam bunyi decitan pada papan kekunci menyusun rasa dalam hati. Jiwaku tertahan  menjadi seorang penulis, kekadang mendesak aku mencari wadah untukku berkarya. Usahaku tertanam dalam tunas angan-angan pabila aku lesu dalam coretanku sendiri. Kucuba memujuk diri agar bersabar juga bertenang, mungkin  ini ujian, aku harus cekal menghadapi. 
    Ikhtiarku perlu dipertingkat andai kumahu mengejar nyawa yang telah kusandarkan pada sebuah impian. Jangan pisahkan aku dari dunia ini, kelak kan cacat diri. Benarkan aku mengalun suara pada barisan kata yang kujalinkan pada sebuah buku yang dimakan usia. Benarkan aku lampiaskan kasih, cinta, sayang, benci mahupun dendam padanya. 
       Buku bisa menyimpan rahsia, karyaku sekadar bercerita pada kisah yang ku buku di dada. Akan kuteruskan cita-cita ini, takkan berhenti penaku menari-nari di atas lukisan hamparan perjuangan seorang penulis muda sepertiku. Moga aku menjadi yang terbilang meskipun di dalam ruang ini cuma.
Nur Aizah
myMetro | Datuk nafsu haiwan


Apa mau jadi dengan dunia sekarang...sedih...sedih....=(
Nur Aizah





Karya: Nur Aizah, Mas, Shila dan Husna

Perit hidup menelan derita,
Menyulam rasa menghampar duka,
Selingan kasih meruntun jiwa,
Lapan taruhan merangkai cinta,
Dipajak atas nama seorang balu,
Kuteguhkan hati kuatkan nurani,
Biar terkorban jasad,
Jangan terpunah jiwa,
Kuseru seluruh semangat,
Membawa matlamat dengan satu harapan,
Amanah Tuhan menjadi sandaran,
Moga berjaya dunia dan akhirat.






Hasil Ilham: Keratan akhbar pengorbanan seorang balu membesarkan 8 orang anak

Nur Aizah
Karya: Nur Aizah binti Ramli

Menapak aku di lorong sepi,
Pada malam yang beransur sunyi,
Menjentik memori pada bayang,
Apakah  mengekori,
Atau sudah berlalu pergi,
Pilihan padaku,
 Hilangkan bayang,
Berada pada gelap pekat malam,
Atau berlindung di redup awan.

Kini kuberlari meninggalkan bayang,
Setelah kupasti diekori,
Puas kugagahkan hati,
Kadang jua kutewas sendiri,
Iman setitis embun senipis zarah,
Mana bisa mampu kalahkan bayang,
Kuhimpun seluruh tekad,
Pajakkan nyawa pertahankan jiwa,
Agar mampu kuberdiri,
Tanpa bayang itu lagi.

Nur Aizah
Karya: Nur Aizah binti Ramli

Ruang ini,
Melukis gambaran insan,
Yang bisa kutafsir sendiri,
Segala rasa dilakar pada kata-kata,
Kekadang bisa membahagiakan,
Kekadang bisa mengguris perasaan.

Ruang ini,
Medan peradaban dunia,
Hitam putih kau yang memilih,
Tersilap langkah kau binasa,
Tersalah aturmu membawa padah,
Mahu kujerit pada mereka,
Ruang ini sekadar jaringan,
Ruang ini sekadar pemudahcara,
Usah disalahguna,
Pengalaman mengajar kita,
Akan peri pentingnya berbahasa.
Nur Aizah
Karya: Nur Aizah binti Ramli

"Ibu..petang ni adik nak ke hospital dengan Abu, boleh tak?", pinta Arif pada ibunya. Dia menyuarakan hasratnya tanpa sempat menyalin baju sekolah. Jika ikutkan hati mahu sahaja dia pergi menemani Syamin selepas waktu sekolah tadi, tapi bimbang pula jika ibunya risau dan terlebih dahulu meminta izin.

"Kenapa adik nak ke hospital?", tanya Mak Dah pada Arif. Mak Dah yang baru selesai kerja memasak di dapur mengelap tangan pada tuala yang disangkut di tepi dinding.

"Ayah Syamin masuk hospital, keadaannya teruk juga, adik pun dapat tahu dari Ah Lim, kasihan Syamin, sudahlah tiada ibu ayah pula sakit", kata Arif yang begitu bersimpati pada musibah yang menimpa Syamin. Meskipun, Pak Awang sering kali menyisihkan kasihnya pada Syamin namun Syamin tidak pernah menyingkirkan kasih  daripada ayahnya. Syamin baik tingkah lakunya dia sedaya mungkin cuba menyembunyikan keburukan yang ayahnya lakukan.

" Nak pergi berdua saja ke dengan Abu? Kita tunggu ayah balik ya...boleh pergi sama", cadang Mak Dah.

     Setelah solat zohor mereka pun bertolak ke hospital. Pak Cot pun sudah lama tidak bertemu muka dengan Pak Awang, hubungan mereka kian renggang bila Pak Awang mulai hilang punca bila isterinya meninggal dunia. Rutin hariannya juga berubah, sudah tidak mahu ke kebun, sekarang ni dah tumbuh lalang, tidak mahu bergaul dengan masyarakat sekitar sebaliknya  pelbagai alasan yang diberi. Dengar khabar dia terlibat dengan pinjaman duit dari "Along", itulah yang menjadikan keadaan lebih parah.

"Abang....mana wad tempat Awang kena tahan?" Mak Dah merentap seketika selingan Pak Cot pada gambaran tentang sahabatnya tadi. Pak Cot yang tersedar pada lamunan segera mencari kaunter pertanyaan.
Dilihatnya ada seorang jururawat perempuan sedang leka melihat fail berwarna biru di meja. Pak Cot mendekati seraya bertanya.

"Assalamualaikum cik, boleh cik periksa Awang bin Saleh di wad bilik apa?", jururawat muda itu tersenyum dan menaip sesuatu pada papan kekunci.

"Tingkat 3 bilik 27", kata jururawat Julia itu. Mak Dah, Arif dan Abu berjalan mengikut Pak Cot yang mencari bilik Pak Awang. Pelbagai keadaan orang yang sakit, ada yang di atas kerusi roda, terbaring di atas katil. Arif melihat  seorang nenek yang tenat sakit di bilik berdekatan dengan tangga, kedengaran dengusan nafasnya di kerongkong. Arif dan Abu berhenti seketika melihat kejadian itu, ramai orang yang mengerumuni nenek mungkin jua saudara mara nenek tersebut, ada seorang lelaki yang masih muda usianya dalam perkiraan 30-an mengajar nenek itu mengucap.

"Arif, Abu ke sini", Mak Dah memegang tangan dua orang anak tadi dan membawa mereka menuju ke bilik Pak Awang. Arif hanya mengikut sahaja ibunya, dia masih mahu terus melihat adegan tadi, apakah yang terjadi pada nenek, mungkin jua dia telah meninggal dunia, fikirnya. Masuk sahaja ke bilik Pak Awang, diperhatikan tangan juga kaki Pak Awang dibalut dengan kain, kakinya seperti disimen, Syamin tidak pula kelihatan. Pak Awang yang tersedar akan kehadiran empat beranak tadi membetulkan kedudukannya dan tersenyum ke arah mereka. Pak Cot bersalam dan menepuk belakang Pak Awang. Pak Awang yang terbatas pergerakannya bisa berasa terharu akan kehadiran Pak Cot sekeluarga. 

"Pak Awang, Syamin mana? Dia cakap dia datang sini lepas sekolah", tanya Arif yang tercari-cari kelibat Syamin.

"Syamin...datang sini? Tak der pun...sejak Pak Cik sedar bayangnya masih belum kelihatan", wajah Pak Awang mulai gelisah. Dahinya kian berpeluh seperti merasai sesuatu yang buruk telah berlaku pada Syamin.

"Betul ke Pak Cik Syamin tak datang sini, habis tu dia cakap Cikgu Mashitah yang akan hantar dia", Abu menjawab.

"Arif ....Abu tolong cari Syamin...dia dalam bahaya", Pak Awang benar bimbang, menggeletar tangan kirinya memegang tangan Arif merayu agar ditemukan anaknya Syamin.

"Kami boleh cari tapi di mana Pak Cik? Sekarang ni kedudukan sebenar Syamin pun kami tak tahu", jelas Arif.

"Kamu cari Syamin di rumah, orang tu mungkin bawa Syamin ke sana sebab dia nak sesuatu dari dalam rumah tu...tolong Pak Cik ya", berlinang air mat Pak Awang. Pak Cot masih lagi kebingungan pada hal yang berlaku namun mengikut sahaja tindakan yang diputuskan oleh Pak Awang. Kini, Syamin diancam malapetaka dan dia mesti dibantu. Serentak itu, mereka bergegas menuju semula ke rumah untuk mencari Syamin. Rumah Syamin yang agak tersorok dari jalan raya membuatkannya sunyi sekali. Arif memberi arahan pada ayahnya untuk memberhentikan kereta jauh dari rumah dia dan Abu akan mengintip apa yang berlaku di dalam rumah. Tubuh kecil mereka mudah untuk bergerak dan tidak akan disedari oleh penjahat itu. Laluan belakang rumah dilalui berhati-hati. Didekatkan telinga pada dinding kayu, Abu pula mengintai pada lubang di celah tingkap. Sunyi dan tiada apa-apa pergerakan.

"PPPrannnnggg....!!!!! Cakaplah......kat mana ayah kau sorok barang tu?" terdengar suara kasar memukul gegendang telinganya. Bunyi pinggan yang pecah tu kemungkinan mereka berada di bahagian dapur. Serentak itu, tangisan yang tersedu sedan kedengaran.

"Saya tak tahu...ayah tak pernah cakap pun mana dia letak barang tu........isk...iskk...",suara itu seperti Syamin. Arif membisikkan sesuatu pada Abu, Abu menggelengkan kepala namun akhirnya akur jua, dia pergi menjauhi Arif. Arif bergerak perlahan-lahan ke pintu belakang rumah Syamin, dia mahu tahu keadaan Syamin dengan lebih lanjut. Kini Syamin duduk terjelopok di atas lantai dengan tiga orang lelaki mengelilinginya.Seorang lelaki Cina duduk di atas tangga, tatu yang penuh di lengan menyeramkan Arif, seorang lagi membelakangkan Arif hanya nampak tubuhnya pada bahagian belakang sahaja, namun dari lenggok bahasa lelaki ini berketurunan Melayu dan seorang lagi duduk mencangkung sambil memegang muka Syamin. Ligat fikiran Arif memikirkan cara untuk melepaskan Syamin dari bahaya itu, kudratnya yang kecil tidak mampu mengalahkan ketiga tiga penjahat itu. 

"Gedebuk.....", bunyi sesuatu yang besar dan berat terjatuh di luar rumah. Penjahat itu sudah mula risau, seorang darinya keluar dan memeriksa bunyi yang terhasil itu.

"Arghhh.....!!!", kedengaran jeritan penjahat itu memaksa dua orang rakannya melihat apa yang terjadi. Pada waktu inilah Arif mengambil kesempatan masuk melalui tingkap kayu dan menuju ke arah Syamin yang sudah tidak bermaya yang tertunduk lesu di atas lesu. Baginya jerat yang dipasang tadi telah mengena.

"Arif.....macamana kau boleh ada di sini", Syamin yang terkejut dengan kehadiran Arif lalu mengelap air mata di pipi dan bangun cuba untuk melepaskan diri. Tubuhnya yang agak gempal menyukarkannya melepasi tingkap, puas ditolak oleh Arif. Namun, keadaan lebih genting apabila kedengaran tapak kaki berdetak laju dari lantai rumah. Arif dan Syamin pantas bergerak, berselindung di balik perigi buruk di dalam semak, semoga tidak dijumpai penjahat itu. 

"Mana pula dia pergi..." suara itu menyergah hati dan emosinya. Dua sahabat tadi berpelukan kerana terlalu takut, petang yang hampir ke senja seakan memahami bahawa nyawa mereka semakin terancam apabila tubuh mereka dicari tiga penjahat tadi.Mereka memberanikan diri bergerak perlahan-lahan menuju ke jalan besar yang sudah tidak jauh dari penglihatan mata. Namun untuk sampai ke sana bukanlah mudah, jika tersalah langkah parah mereka dikerjakan, tambahan pula pistol yang sentiasa terselit di pinggang menjadi mimpi ngeri buat sahabat tadi jika menerobos ke isi kulit mereka.

"Arif, macamana kita nak ke sana, dua orang tu masih berjaga di sana", tanya Syamin sambil jari telunjuk dihalakan pada penjahat tadi.

"Kau ikut je aku, pasti semuanya selamat", kata Arif meyakinkan Syamin yang ketakutan. Tangan Arif tidak dilepaskan. Mereka merangkak perlahan-lahan, kereta ayahnya sudah nampak dan hanya beberapa meter sahaja untuk ke sana. Arif memaksa Syamin untuk ke sana dahulu sementara dia berjaga di belakang, Syamin cuba bergerak meskipun kerisauan melingkari hatinya. 

"Hoi budak ...mana kau nak lari!!!!!", serentak itu Syamin tergamam dan terhenti di situ. Suara Arif yang memintanya untuk segera berlari tidak dihiraukan, kakinya bagai dipaku di atas tanah. Pistol dikeluarkan dan dihalakan tepat pada tubuh Syamin. Arif yang melihat segera melangkah luas menyelamatkan Syamin, keadaan berlaku dengan cepat.Tubuh Syamin ditolak ke tepi. 

"Beng...beng...!!", Dua das tembakan kedengaran. Kedua-dua jasad tadi jatuh menyembah bumi. Mata keduanya saling berpandangan seperti menyampaikan suatu pesanan terakhir.Arif memegang tangan Syamin yang terketar ketar memegang dadanya. Darah merah pekat membasahi tanah. Pak Cot dan Mak Dah yang  melihat kejadian itu segera keluar meluru ke arah anak mereka. Mak Dah segera memangku Arif....hanya satu kalimah yang terlafaz dari bibir Arif...."adik...minta maaf", ....Allah...." kepalanya terkulai layu namun tangan kanannya masih erat menggenggam tangan Syamin. Lelaki yang menembaknya tadi cuba meloloskan diri namun tidak berjaya apabila dikepung polis yang baru sahaja tiba. 

"Ariiiiffffff!!!!" Syamin menjerit kesayuan melihat tubuh sahabatnya kini terbujur kaku, Abu tersesak-esak meratapi pemergian sahabatnya. Mak Dah diam membisu, insiden tadi merentap seluruh rasa dan jiwanya. Pak Cot memeluk erat tubuh isteri dan anaknya. Terasa seakan semalam dia baharu menerima Arif sebagai cahaya matanya yang bongsu, namun kini menjauh pergi dalam perjuangan hidup menyelamatkan Syamin. Teringat pula Syamin pada gurauan Arif beberapa hari lalu.

"Syamin jika aku pergi mana-mana, kau tengok-tengokkan ibu dan ayah aku, kau ni dah macam adik aku jadi bila aku tiada kau jaga diorang ya", tangisan yang tertahan menitis jua tatkala melihat Pak Cot Mak Dah dan ayahnya bersembang di anjung rumah banglo miliknya. Syamin telah menjadi usahawan berjaya dalam bidang pertanian membawa satu matlamat yang diamanatkan oleh sahabatnya Arif dan disempurnakan kerana dia begitu berhutang nyawa dengan Arif.

"Semoga kau tenang di sana, abangku..."

Nur Aizah
Karya: Nur Aizah binti Ramli


"Ayah...Sya...min.....em...sya.." Syamin tersekat-sekat untuk menuturkan sesuatu yang dihasratkan di dalam hati. Dia yang masih trauma pada kejadian semalam yang merentap seluruh keyakinan juga keberaniannya semasa bersemuka dengan Pak Awang. Tidak pula dia berani untuk memandang apatah lagi berkata lantang.


"Apa dia...Syamin...cakap sahajalah..ayah dah nak pergi kerja" kata ayahnya sambil memakai kasut. Pagi itu awal pula ayahnya keluar pergi kerja.

"Em...Syamin kena bayar yuran sekolah...dah lama tertunggak...cik....gu..." belum pun sempat dia menghabiskan kata-kata ayahnya memintas.

"Kan hari tu ayah dah beri duit pada Syamin", jawab Pak Awang. Matanya yang membulat merenung tajam pada Syamin.

"Ya, tapi ayah beri tak sepenuhnya masih berbaki RM50", ujar Syamin tertunduk-tunduk takut untuk melihat wajah garang Pak Awang. Misainya yang tebal, ditambah pula dengan tubuh yang tegap berdiri menggusarkan hati Syamin andai tersalah bicara.

"Tunggulah sehari dua lagi ayah dapat gaji ayah beri pada Syamin", begitulah alasan yang sentiasa didengar setiap kali meminta duit dari ayahnya. Belum pun sempat  Syamin bersalam, ayahnya berlalu pergi. Pilu hatinya tatkala ayah bertingkah sedemikian. Cemburu di hati bila melihat rakan-rakannya yang lain begitu mesra dilayan oleh ibu bapa mereka.

"Syamin.......Syamin......" panggilan itu mengejutkan fantasinya. Kelihatan dua susuk tubuh sahabat baiknya  datang untuk pergi ke sekolah bersama-sama.

"Ya, aku datang", jerit Syamin dari dalam rumah. Pintu dikunci, dia menumpang basikal dengan Arif. Jarak dari rumah dua kilometer, jika Arif keletihan dia pula yang akan mengayuh. Dingin suasana pagi itu, kabus jugamasih belum beranjak pergi, namun sudah kelihatan murid-murid sekolah dihantar ibu bapa.

"Min...kenapa kau tak datang ngaji semalam, kau sakit ke?", tanya Abu. Syamin masih diam, akalnya cuba mencari alasan supaya tidak diketahui sahabat

" a...ku, aku....sakit perut", ringkas Syamin menjawab.

"Ye ke, aku dan Abu dah risau kalau ayah kau belasah sampai kau tak boleh bangun pergi mengaji, apsal ayah kau marah sangat semalam", Arif berbalas tanya.

"Ayah aku marah sebab aku tak kemas rumah......eh.....hari ni subjek Cikgu Badrul kan, ada beberapa soalan yang dia beri aku tak jawab sebab tak faham, nanti kau ajarkan ya", Syamin mengelak daripada disoal lagi." Arif dan Abu berpandangan sesama sendiri mereka tetap tak berpuas hati, namun hasrat mereka untuk bertanya semula dibatalkan.

  Sesi persekolah berlangsung seperti kebiasaan, Arif, Syamin dan Abu berada di dalam satu kelas. Mereka mempunyai kelebihan yang tersendiri, Arif lebih bijak dalam matematik, Syamin menyukai subjek Bahasa Inggeris manakala Abu lebih pandai bermain kata-kata dan semestinya dalam subjek Bahasa Melayu. Hubungan mereka sangat akrab seperti adik beradik, kemana sahaja mesti bersama.

"Kringgg.....!!!!" Loceng rehat berbunyi, semua murid-murid berpusu-pusu ke kantin. Tidak pula bagi tiga sahabat ini, mereka akan sama-sama menjamah makanan yang dibawa dari rumah. Syamin tampak lebih malu untuk berkongsi dengan Arif dan Abu kerana dia sahaja yang tidak membawa bekal. 

"Min.....Minnn..." bergegas lari Ah Lim ke arah mereka menyebut nama Syamin.

"Ada apa Lim", tanya Syamin.

"Penolong kanan HEM nak jumpa kau, ada hal katanya dan dia minta kau segera berjumpa dengannya", jelas Ah Lim yang tercungap-cungap. Tanpa membuang masa Syamin berlari lari anak ke arah pejabat sekolah. Ah Lim, Abu dan Arif yang melihat mengerutkan dahi. Ah Lim memulakan bicara pada Arif dan Abu, wajah mereka seperti kaget pada kisah yang diceritakan Ah Lim. Loceng berbunyi tanda waktu pengajaran dan pembelajaran akan bermula. 

"Syamin tak balik pun lagi, aku rasa dia dah lama kat bilik pejabat, kau rasa dia dapat terima semua ni?", tanya Arif pada Abu. Abu hanya menggelengkan kepala, tiada kata yang dapat dilafazkan, hanya insan sekuat Syamin yang boleh melalui semua ini. Suasana kelas sunyi seketika pabila Syamin melangkah masuk, wajahnya tampak tenang. Dia mendekati Arid dan Abu.

"Aku kena balik sekarang", ujar Syamin.

"Tapi kenapa?", soal Abu dengan tiba-tiba.

"Ayah aku masuk hospital, jadi aku kena balik", Arif dan Abu menganggukka kepala. Syamin mengambil beg dan menggalasnya.

"Kau pergi dengan siapa ni?", tanya Arif.

"Cikgu Mashitah yang hantar", Syamin menjawab dengan wajah sudah memerah, dia semakin cuba menyembunyikab perasaan yang dialami meskipun sukar. Dia tidak mahu rakan karibnya terlalu bimbang pada nasib yang menimpa dirinya. 

"Jaga diri ya, lepas sekolah nanti kami ke sana", kata Arif. Syamin hanya merenung dan berlalu pergi. Redup matanya menahan rintik permata dari berguguran.