I made this widget at MyFlashFetish.com.

Nur Aizah
Karya: Nur Aizah binti Ramli

"Ibu..petang ni adik nak ke hospital dengan Abu, boleh tak?", pinta Arif pada ibunya. Dia menyuarakan hasratnya tanpa sempat menyalin baju sekolah. Jika ikutkan hati mahu sahaja dia pergi menemani Syamin selepas waktu sekolah tadi, tapi bimbang pula jika ibunya risau dan terlebih dahulu meminta izin.

"Kenapa adik nak ke hospital?", tanya Mak Dah pada Arif. Mak Dah yang baru selesai kerja memasak di dapur mengelap tangan pada tuala yang disangkut di tepi dinding.

"Ayah Syamin masuk hospital, keadaannya teruk juga, adik pun dapat tahu dari Ah Lim, kasihan Syamin, sudahlah tiada ibu ayah pula sakit", kata Arif yang begitu bersimpati pada musibah yang menimpa Syamin. Meskipun, Pak Awang sering kali menyisihkan kasihnya pada Syamin namun Syamin tidak pernah menyingkirkan kasih  daripada ayahnya. Syamin baik tingkah lakunya dia sedaya mungkin cuba menyembunyikan keburukan yang ayahnya lakukan.

" Nak pergi berdua saja ke dengan Abu? Kita tunggu ayah balik ya...boleh pergi sama", cadang Mak Dah.

     Setelah solat zohor mereka pun bertolak ke hospital. Pak Cot pun sudah lama tidak bertemu muka dengan Pak Awang, hubungan mereka kian renggang bila Pak Awang mulai hilang punca bila isterinya meninggal dunia. Rutin hariannya juga berubah, sudah tidak mahu ke kebun, sekarang ni dah tumbuh lalang, tidak mahu bergaul dengan masyarakat sekitar sebaliknya  pelbagai alasan yang diberi. Dengar khabar dia terlibat dengan pinjaman duit dari "Along", itulah yang menjadikan keadaan lebih parah.

"Abang....mana wad tempat Awang kena tahan?" Mak Dah merentap seketika selingan Pak Cot pada gambaran tentang sahabatnya tadi. Pak Cot yang tersedar pada lamunan segera mencari kaunter pertanyaan.
Dilihatnya ada seorang jururawat perempuan sedang leka melihat fail berwarna biru di meja. Pak Cot mendekati seraya bertanya.

"Assalamualaikum cik, boleh cik periksa Awang bin Saleh di wad bilik apa?", jururawat muda itu tersenyum dan menaip sesuatu pada papan kekunci.

"Tingkat 3 bilik 27", kata jururawat Julia itu. Mak Dah, Arif dan Abu berjalan mengikut Pak Cot yang mencari bilik Pak Awang. Pelbagai keadaan orang yang sakit, ada yang di atas kerusi roda, terbaring di atas katil. Arif melihat  seorang nenek yang tenat sakit di bilik berdekatan dengan tangga, kedengaran dengusan nafasnya di kerongkong. Arif dan Abu berhenti seketika melihat kejadian itu, ramai orang yang mengerumuni nenek mungkin jua saudara mara nenek tersebut, ada seorang lelaki yang masih muda usianya dalam perkiraan 30-an mengajar nenek itu mengucap.

"Arif, Abu ke sini", Mak Dah memegang tangan dua orang anak tadi dan membawa mereka menuju ke bilik Pak Awang. Arif hanya mengikut sahaja ibunya, dia masih mahu terus melihat adegan tadi, apakah yang terjadi pada nenek, mungkin jua dia telah meninggal dunia, fikirnya. Masuk sahaja ke bilik Pak Awang, diperhatikan tangan juga kaki Pak Awang dibalut dengan kain, kakinya seperti disimen, Syamin tidak pula kelihatan. Pak Awang yang tersedar akan kehadiran empat beranak tadi membetulkan kedudukannya dan tersenyum ke arah mereka. Pak Cot bersalam dan menepuk belakang Pak Awang. Pak Awang yang terbatas pergerakannya bisa berasa terharu akan kehadiran Pak Cot sekeluarga. 

"Pak Awang, Syamin mana? Dia cakap dia datang sini lepas sekolah", tanya Arif yang tercari-cari kelibat Syamin.

"Syamin...datang sini? Tak der pun...sejak Pak Cik sedar bayangnya masih belum kelihatan", wajah Pak Awang mulai gelisah. Dahinya kian berpeluh seperti merasai sesuatu yang buruk telah berlaku pada Syamin.

"Betul ke Pak Cik Syamin tak datang sini, habis tu dia cakap Cikgu Mashitah yang akan hantar dia", Abu menjawab.

"Arif ....Abu tolong cari Syamin...dia dalam bahaya", Pak Awang benar bimbang, menggeletar tangan kirinya memegang tangan Arif merayu agar ditemukan anaknya Syamin.

"Kami boleh cari tapi di mana Pak Cik? Sekarang ni kedudukan sebenar Syamin pun kami tak tahu", jelas Arif.

"Kamu cari Syamin di rumah, orang tu mungkin bawa Syamin ke sana sebab dia nak sesuatu dari dalam rumah tu...tolong Pak Cik ya", berlinang air mat Pak Awang. Pak Cot masih lagi kebingungan pada hal yang berlaku namun mengikut sahaja tindakan yang diputuskan oleh Pak Awang. Kini, Syamin diancam malapetaka dan dia mesti dibantu. Serentak itu, mereka bergegas menuju semula ke rumah untuk mencari Syamin. Rumah Syamin yang agak tersorok dari jalan raya membuatkannya sunyi sekali. Arif memberi arahan pada ayahnya untuk memberhentikan kereta jauh dari rumah dia dan Abu akan mengintip apa yang berlaku di dalam rumah. Tubuh kecil mereka mudah untuk bergerak dan tidak akan disedari oleh penjahat itu. Laluan belakang rumah dilalui berhati-hati. Didekatkan telinga pada dinding kayu, Abu pula mengintai pada lubang di celah tingkap. Sunyi dan tiada apa-apa pergerakan.

"PPPrannnnggg....!!!!! Cakaplah......kat mana ayah kau sorok barang tu?" terdengar suara kasar memukul gegendang telinganya. Bunyi pinggan yang pecah tu kemungkinan mereka berada di bahagian dapur. Serentak itu, tangisan yang tersedu sedan kedengaran.

"Saya tak tahu...ayah tak pernah cakap pun mana dia letak barang tu........isk...iskk...",suara itu seperti Syamin. Arif membisikkan sesuatu pada Abu, Abu menggelengkan kepala namun akhirnya akur jua, dia pergi menjauhi Arif. Arif bergerak perlahan-lahan ke pintu belakang rumah Syamin, dia mahu tahu keadaan Syamin dengan lebih lanjut. Kini Syamin duduk terjelopok di atas lantai dengan tiga orang lelaki mengelilinginya.Seorang lelaki Cina duduk di atas tangga, tatu yang penuh di lengan menyeramkan Arif, seorang lagi membelakangkan Arif hanya nampak tubuhnya pada bahagian belakang sahaja, namun dari lenggok bahasa lelaki ini berketurunan Melayu dan seorang lagi duduk mencangkung sambil memegang muka Syamin. Ligat fikiran Arif memikirkan cara untuk melepaskan Syamin dari bahaya itu, kudratnya yang kecil tidak mampu mengalahkan ketiga tiga penjahat itu. 

"Gedebuk.....", bunyi sesuatu yang besar dan berat terjatuh di luar rumah. Penjahat itu sudah mula risau, seorang darinya keluar dan memeriksa bunyi yang terhasil itu.

"Arghhh.....!!!", kedengaran jeritan penjahat itu memaksa dua orang rakannya melihat apa yang terjadi. Pada waktu inilah Arif mengambil kesempatan masuk melalui tingkap kayu dan menuju ke arah Syamin yang sudah tidak bermaya yang tertunduk lesu di atas lesu. Baginya jerat yang dipasang tadi telah mengena.

"Arif.....macamana kau boleh ada di sini", Syamin yang terkejut dengan kehadiran Arif lalu mengelap air mata di pipi dan bangun cuba untuk melepaskan diri. Tubuhnya yang agak gempal menyukarkannya melepasi tingkap, puas ditolak oleh Arif. Namun, keadaan lebih genting apabila kedengaran tapak kaki berdetak laju dari lantai rumah. Arif dan Syamin pantas bergerak, berselindung di balik perigi buruk di dalam semak, semoga tidak dijumpai penjahat itu. 

"Mana pula dia pergi..." suara itu menyergah hati dan emosinya. Dua sahabat tadi berpelukan kerana terlalu takut, petang yang hampir ke senja seakan memahami bahawa nyawa mereka semakin terancam apabila tubuh mereka dicari tiga penjahat tadi.Mereka memberanikan diri bergerak perlahan-lahan menuju ke jalan besar yang sudah tidak jauh dari penglihatan mata. Namun untuk sampai ke sana bukanlah mudah, jika tersalah langkah parah mereka dikerjakan, tambahan pula pistol yang sentiasa terselit di pinggang menjadi mimpi ngeri buat sahabat tadi jika menerobos ke isi kulit mereka.

"Arif, macamana kita nak ke sana, dua orang tu masih berjaga di sana", tanya Syamin sambil jari telunjuk dihalakan pada penjahat tadi.

"Kau ikut je aku, pasti semuanya selamat", kata Arif meyakinkan Syamin yang ketakutan. Tangan Arif tidak dilepaskan. Mereka merangkak perlahan-lahan, kereta ayahnya sudah nampak dan hanya beberapa meter sahaja untuk ke sana. Arif memaksa Syamin untuk ke sana dahulu sementara dia berjaga di belakang, Syamin cuba bergerak meskipun kerisauan melingkari hatinya. 

"Hoi budak ...mana kau nak lari!!!!!", serentak itu Syamin tergamam dan terhenti di situ. Suara Arif yang memintanya untuk segera berlari tidak dihiraukan, kakinya bagai dipaku di atas tanah. Pistol dikeluarkan dan dihalakan tepat pada tubuh Syamin. Arif yang melihat segera melangkah luas menyelamatkan Syamin, keadaan berlaku dengan cepat.Tubuh Syamin ditolak ke tepi. 

"Beng...beng...!!", Dua das tembakan kedengaran. Kedua-dua jasad tadi jatuh menyembah bumi. Mata keduanya saling berpandangan seperti menyampaikan suatu pesanan terakhir.Arif memegang tangan Syamin yang terketar ketar memegang dadanya. Darah merah pekat membasahi tanah. Pak Cot dan Mak Dah yang  melihat kejadian itu segera keluar meluru ke arah anak mereka. Mak Dah segera memangku Arif....hanya satu kalimah yang terlafaz dari bibir Arif...."adik...minta maaf", ....Allah...." kepalanya terkulai layu namun tangan kanannya masih erat menggenggam tangan Syamin. Lelaki yang menembaknya tadi cuba meloloskan diri namun tidak berjaya apabila dikepung polis yang baru sahaja tiba. 

"Ariiiiffffff!!!!" Syamin menjerit kesayuan melihat tubuh sahabatnya kini terbujur kaku, Abu tersesak-esak meratapi pemergian sahabatnya. Mak Dah diam membisu, insiden tadi merentap seluruh rasa dan jiwanya. Pak Cot memeluk erat tubuh isteri dan anaknya. Terasa seakan semalam dia baharu menerima Arif sebagai cahaya matanya yang bongsu, namun kini menjauh pergi dalam perjuangan hidup menyelamatkan Syamin. Teringat pula Syamin pada gurauan Arif beberapa hari lalu.

"Syamin jika aku pergi mana-mana, kau tengok-tengokkan ibu dan ayah aku, kau ni dah macam adik aku jadi bila aku tiada kau jaga diorang ya", tangisan yang tertahan menitis jua tatkala melihat Pak Cot Mak Dah dan ayahnya bersembang di anjung rumah banglo miliknya. Syamin telah menjadi usahawan berjaya dalam bidang pertanian membawa satu matlamat yang diamanatkan oleh sahabatnya Arif dan disempurnakan kerana dia begitu berhutang nyawa dengan Arif.

"Semoga kau tenang di sana, abangku..."

0 Responses

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails