I made this widget at MyFlashFetish.com.

Nur Aizah
 Karya: Nur Aizah binti Ramli


Jantung kini berdegup kencang derapan tapak kaki anjing liar mengejar seseorang, suara salakannya menggerunkan. Arif berlari sekuat hati, bimbang jika digigit anjing yang tubuhnya lebih tinggi dari Arif. Air liur yang menitik-nitik ke tanah menggelikan, bagaimana jika terkena pada tubuh, jenuh bersamaklah dia. Dari jalan besar Arif berlari masuk ke dalam hutan, mungkin keadaan di dalam hutan akan mengelirukan anjing tersebut. Nafasnya tercungap-cungap, kakinya terasa kebas kerana berlari bagai tak cukup tanah. Salakan tadi sudah tidak kedengaran, Arif diam seketika untuk memastikan anjing itu sudah tidak ada lagi dan kini Arif menarik nafas lega.Memang padanlah dia dikejar anjing itu, sebab sengaja membaling batu pada anjing yang enak mencari makan di tong sampah.
   Arif adalah anak kepada Mak Dah dan Pak Cot yang nakal budaknya. Hujung minggu sahaja susah untuk mencari kelibatnya, ada sahaja rencana yang dirancang, jika tidak dengan rakan-rakan Abu, Ah Lim, Chandran, dan Shamin seorang diri pun boleh jadi nakalnya. Anak yang berusia 10 tahun ini petah juga berbicara, ada sahaja yang menjadi alasan  untuk mengelakkan diri dimarahi oleh Mak Dah dan Pak Cot. Tubuhnya yang kecil dan lincah membuatkan dia tak boleh duduk diam. Sebut sahaja anak siapa yang tak pernah diganggu yang sebaya dengannya, bahkan yang sebesar-besar budak pun takut padanya. 
   "Lapar pula rasa perut ni, balik dulu la", perut berkeroncong sakan, letih pun ada kerana berkejaran dengan anjing tadi. Kawan-kawan yang turut sama membaling batu pada anjing tersebut hilang entah ke mana. Yang peliknya dia juga yang dipilih anjing tu, kenapa tidak dipilih Shamin yang berbadan besar tidakpun Ah Lim yang juara pecut sekolah. Denai di dalam hutan dilalui dengan teliti, bimbang jika terpijak benda berbisa yang duduk menyelinap di bawah dedaunan yang kering. Jalan di dalam hutan yang dilaluinya itu menghubungkan pada kampungnya yang disebelah sana. Biarpun dalam satu kilometer, kudrat dirinya masih kuat. Matahari mula terpacak dan membahang di atas kepala, cahayanya kekadang mengusik tubuh Arif yang berpeluh. Irama sang burung menyanyi riang, desiran angin yang berpuput menghilangkan rasa letih yang mencengkam.
    "Adik........!! Baru balik....pergi mana tadi?! Puas ibu cari...", suara ibunya mula menyakitkan telinga. Dari tingkap dapur yang terbuka kelibat Arif mudah sahaja dilihat, Mak Dah sedang membasuh pinggan ketika itu memandang Arif yang baru pulang dari bermain, bajunya kotor dan berpeluh. Maka bermulalah syarahan sampingan dari ibunya. Itu yang dia malas untuk berehat di rumah, tidak pula mengelakkan diri daripada menolong ibunya, tapi satu tabiat ibu yang tidak disukai adalah berleter. Walaupun dia anak bongsu daripada tiga adik beradik namun tidak pula dimanja-manjakan seperti orang lain.
   "Pergi naik atas, mandi, tukar baju pastu turun makan", perintah ibunya. Wanita yang berusia empat puluhan itu, sentiasa memastikan disiplin anak-anaknya terjaga. Jika hendak di harap pada Pak Cot yang 24 jam sibuk seharian mengadap kebunnya. Hanya kerja rumah yang mengisi kebosanannya untuk bersembang dan berkongsi rasa. Selesai mandi dia terus turun untuk makan. Dibukakan tudung saji, ada pelbagai lauk pauk hari ni.
    "Banyaknya ibu masak....Ada orang nak datang ke hari ini?", tanya Arif.
    "A'ah, Pak Lang kamu dari Rompin nak datang sini, katanya nak makan di sini tapi tak sampai pun lagi", Mak Dah melihat jam di dinding yang sudah pukul satu tengahari. Arif sudah lapar, takkan nak tunggu diorang datang, mahu lembik aku nanti.
    "Tak boleh ke, kalau Arif makan dulu", tanya Arif.
    "Kejap ye, nanti diorang sampai lah. Tak manis jika tetamu belum sampai kita dah makan, jika lapar makan lah dulu mee goreng yang ibu masak pagi tadi", pujuk Mak Dah pada Arif. Aiman dan Anisa masih belum pulang daripada kelas tambahan, mungkin juga sehingga ke petang. Sunyilah rumah jika mereka tiada, sebab itulah Arif tak lekat di rumah, dicarinya kawan-kawan dan bermain apa sahaja di luar sana.
  Kedengaran enjin kereta masuk ke dalam kawasan rumah, Mak Dah yang mengemas di ruang tamu tertinjau-tinjau di tingkap melihat Pak Lang dah sampai iaitu abangnya. Sungguh gembira hatinya, Arif yang didapur segera menghabiskan mee goreng dan membasuh pinggan yang dimakan tadi di sinki. Mulut dan tangan yang basah dilap untuk menyambut Pak Langnya. Suara lelaki memberi salam, ada beberapa orang yang mengikutnya.
    "Jemputlah naik Alang", Mak Dah bersalam dengan abang, isteri juga anak-anaknya yang dibawa bersama. 

                                      ****************************************
        Keringat membasahi tubuh Pak Cot, setelah selesai mesin rumput di kebun. Pak Cot duduk berehat di bawah pondok kecil yang dibinanya beberapa tahun yang lalu.Kebun pisang yang diusahakan semakin menampakkan hasil, jadi kenalah membanting tulang lebih untuk memastikan kualitinya. Tubuh yang gempal itu kuat bekerja, untuk menyara keluarganya, siapa lagi hendak mencari makan, jika bukan dia.
       "Ayah....ayah....." , suara Arif kedengaran memanggil ayahnya. Pak Cot sudah nampak kelibat anaknya dari jauh.
        "Arif, ayah kat sini, ada apa adik cari ayah?", tanya ayahnya.
       "Pak Lang dah sampai", jawab Arif menggaru-garu lengannya yang digigit nyamuk. Pak Cot mengangguk dan mengemas perkakasannya untuk pulang. 
    "Adik baliklah dulu, nanti ayah menyusul dari belakang, ada sedikit sahaja lagi kerja yang nak dibereskan", jelas Pak Cot kepada anak bongsunya. Arif yang menurut perintah menapak pulang. Dilihatnya sekeliling kebun ayah telah kelihatan buah pisang yang masih belum masak, pandai ayah berkebun, pujinya di dalam hati. 
        Di pertengahan jalan, dia terlihat Shamin duduk termenung di atas jambatan. Berkerut dahinya melihat Shamin yang tampak sedih seperti ada sesuatu yang tidak kena. Dia mendekati Shamin.
      "Shamin, kenapa kau kat sini lagi, lepas kena kejar anjing kau tak balik rumah lagi?", tanya Arif yang ingin tahu.
     "Buat apa aku nak balik rumah, tak der sapa pun", Shamin seorang anak yatim yang kematian ibu. Ayahnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kedai emas di bandar menuntutnya untuk tinggal bersendirian. Dia terpaksa berdikari untuk masak sendiri dan melakukan segala-gala keperluan.
        "Em, kalau macam tu, jom aku temankan kau balik rumah", pujuk Arif. yang terlupa pada pesan ibu supaya lekas pulang dan tidak menyinggah ke mana-mana. Meskipun, dia budak yang nakal tetapi tentang hal kawan-kawan dia memang tidak berkira. Mereka berjalan meniti di atas jambatan dan menuju ke rumah Shamin yang tidak jauh dari tempatnya bertenggek tadi. Alangkah terkejutnya Arif dan Shamin apabila melihat keadaan dalam rumah, seperti tongkang pecah. Shamin yang ternyata terkejut meneliti setiap sudut dalam rumah dari ruang tamu hinggalah ke bilik.
        "Apa yang berlaku?", fikirannya terawang-awang mencari jawapan pada keadaan yang terjadi.








           

     

0 Responses

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails