I made this widget at MyFlashFetish.com.

Nur Aizah
Oleh: Nur Aizah binti Ramli



“Suria! Oo Suria, datang sini cepat, ambil semua pakaian ini bawa cuci di telaga sana”, bising Mak Temah kepada Suria.

“Ya, Suria datang ibu”, jawab Suria perlahan.

“Datang pun kamu, ni ha..bawa cuci semua pakaian ini, petang nanti aku mahu pakaian ini siap dikering dan digosokkan. Kalau semua kerja ini tidak siap jangan makan, faham!!!", tegas Mak Temah kepada Suria.

Berjalanlah Suria membawa bakul berisi pakaian sambil menitis air matanya mengenangkan nasib malang dan terpaksa pula berkongsi hidup dengan ibu tirinya di pondok usang itu. Sambil berjalan Suria terdengar seakan-akan ada sesuatu yang mengekorinya. Semakin dia percepatkan langkah, semakin cepat benda itu mengejarnya. Apabila dia berhenti, benda tersebut menghentikan langkahnya. Suria semakin ketakutan. Suria mengintai-intai di balik pohon ketapang jika benda itu masih mengekorinya. Setelah yakin bahawa tiada yang mengekorinya. Dia memalingkan semula wajah ke hadapan. Alangkah terkejut bukan kepalang apabila wajah yang sedang berhadapan dengannya adalah wajah hodoh suatu lembaga, yang berwajah gelap, dengan kulit muka yang mengelupas dan badan yang penuh kudis dan berlendir.

Suria kelu tidak bersuara, badannya terbaring lemah tidak terdaya. Lembaga itu semakin menghampiri dan berwajah ganas. Suria menggigil ketakutan sehinggakan akar pokok yang dipegang hampir putus. Hanya bunyi koyakan daging dan ratahan seperti binatang buas yang kedengaran. Darah berhamburan ke sana sini membasahi bumi tanda korban petualang telah tumbang.

Amin tersedar dari lamunan ilusi ngerinya. Dia melihat kawasan yang gelap di sekelingnya dan mula mencari sedikit petanda agar dia tahu kedudukan asalnya. Cahaya bulan purnama yang bersinar memberi ruang kepadanya untuk bergerak.

"Arggghhhh!!!",jerit Amin

Berderau darah Amin apabila tangannya menyentuh kasar pada dua batu yang bertulis tulisan jawi. Keadaan yang gelap membuatkan tulisan tersebut nampak kabur dan tidak dapat dibaca. Tanpa berlengah lagi Amin segera bangun dan mencari basikalnya untuk bergegas pulang, dia berlari ke sana sini bagi mendapatkan basikal buruknya itu. Rupanya basikal itu tersadai di tengah jalan tar di tepi rumah usang itu. Amin mempercepatkan langkah dan segera mendapatkan basikalnya lalu berkayuh pulang ke rumah.

Setelah sampai di rumah, lampu di ruang tetamu masih dinyalakan, dia sudah mengagak bahawa belakangnya pasti akan berbirat lagi. Namun, dia tetap gagahkan kaki melangkah dengan wajah yang masih pucat dengan keadaan yang dia alami sebentar tadi. Pintu dikuak perlahan. Suasana di dalam rumah seperti menunggu kepulangannya.

" Amin!Kau ke mana? Sudah pukul 3 pagi baru pulang, kenapa kau tak pulang esok saja?!", marah Pak Husin pada Amin.

Belum sempat Amin menjawab badannya direntap kasar dan kayu rotan sebesar dua ibu jari orang dewasa hinggap di badannya.

"Maafkan Amin ayah, Amin terjatuh dan pengsan di rumah buruk di pinggir sawah itu, percayalah ayah" , rayu Amin yang mengharap ayahnya berhenti melibas rotan itu ke badannya.

"Rumah buruk di pinggir sawah?", Pak Hussin bertanya sambil memandang muka isterinya yang penuh kerisauan dan ketakutan.
0 Responses

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails