I made this widget at MyFlashFetish.com.

Nur Aizah
Karya: Nur Aizah binti Ramli




Aku lelah di muka pintu, kilat menyuluh tubuhku, lalu terbentuk bayang-bayang di hadapan yang bermain perasaan denganku. Guruh meretak di dada langit seperti memberi ingatan buatku. Ruang itu dapat kulihat  berkelip-kelip. Imej yang berbayang menjadi persoalan, adakah ini tarikh keramat dalam hidup?

Aku menoleh ke belakang. Masih kelam, masih kejam, mereka masih meribut mencari aku. Aku memaksa kaki untuk melangkah masuk ke dalam rumah kerana kerakusan malam hampir dapat mengejarku. Pintu ditutup dan dikunci. Mata yang kecil dibesarkan, Empat indera lain mula digunakan sepenuhnya. Aku terpinga-pinga, di dalam gelap aku cuba mencari haluan.

            Pada saat ini aku tidak percaya pada sesiapapun. Mungkin pada rumah yang sebuah ini dapat aku tumpahkan kepercayaan. Walau tidak berbicara, barangkali dapat menyimpan rahsia sementara siang menjelang tiba. Aku membetulkan posisi berdiri dan bersandar di dinding rumah.

“Selamat…” Aku menarik nafas lega.

            Aku berharap mereka tidak menjumpaiku. Tubuh yang luka ini tidak mampu lagi bergerak jauh. Aku duduk di atas lantai konkrit dengan tubuh yang dibasahi peluh dan darah. Fikiran mula melayang teringatkan Yon yang mungkin telah menjadi taruhan.

'Yon, aku harap kau selamat' Doaku di dalam hati .

Kini keletihan mula melingkungi seluruh otot kaki dan tangan. Semakin diurut bertambah sakit.

“Aduh!”

Hampir terkeluar air mata apabila tempat luka yang aku urut. Perbuatan binatang itu ternyata meracuni isi dagingku.

            Aku cuba berdiri berdekatan dengan jendela, cahaya yang samar-samar dari kilat menyuluh kaki kiri aku yang luka. Besar juga torehan di bahagian betis. Aku cuba mencari sesuatu untuk membalut luka. Sesekali aku menjeling di laman rumah yang meragukan. Mataku tertarik pada garaj yang masih kukuh kedudukannya, tetapi ada objek yang bergerak di situ seperti benda hidup. Aku mengetap bibir. Tubuh yang sakit ini segera aku sembunyikan bimbang jika binatang itu dapat menghidu aku. Belum sempat menyandar di tepi dinding, kelihatan sesusuk tubuh yang besar dengan wajah yang hitam merenung tajam ke arahku. Dia mencekik leherku sehingga kedua-dua kakiku tidak mencecah ke lantai. Nafas ini terasa sesak.

            “Tolong, lepaskan aku.” Aku merayu dengan suara yang tersekat-sekat.

            Aku terkapar-kapar kelemasan cuba bernafas, tiba-tiba kaki aku disentap.

            “Za, bangun. Za, Za!”

            Aku terkejut lantas bangun dari lamunan.

            “Astaghfirullah hal a’zim” ucapku.

            Yon berada di sebelah aku dengan tuala di atas kepalanya.

            “Apa kena dengan kau ni? Terpekik terlolong? Sekarang kau pergi mandi, lagi 20 minit pukul 8 pagi.” Arah Yon.

            “Dah tu kenapa?”Aku hairan.

            “Ish budak ni. Eh, kau tu ada pembentangan. Kenalah awal sampai ke bilik kuliah. Ini untuk markah kau juga.” Leter Yon.

            Aku melompat turun dari katil. Aku mula menggelabah mencari tuala dan terus menuju ke bilik air. Air diratakan sekali lalu sahaja, kemudian aku terus menyarungkan pakaian. Aku berlari ke bilik kuliah, Yon aku tinggalkan di belakang. Dia faham dan memang menyuruh aku segera sampai ke sana.

            “Kreek” pintu kuliah dibuka.

            Di saat itu aku terkejut melihat semua orang memandang aku. Aku meneliti jam di tangan yang masih berbaki 5 minit sebelum pukul 8 pagi, tapi aku kuatkan hati untuk masuk dalam bilik kuliah.

            “Maaf saya terlambat” ucapku pada seluruh kelas.

            Suasana senyap. Semua terpinga-pinga dan ada juga sampai mulut ternganga.

            “Awak pelajar saya?” Tanya Puan Katijah.

            Aku diam, mataku liar mencari Sara, Intan dan yang lain. Sekali lagi aku berkhayal, tersalah masuk bilik kuliah. Malu, malu, malu. Aku keluar perlahan-lahan sambil tersengih-sengih macam kerang busuk.

            'Semalam kelas aku macam di situ. Kenapa hari ni lain pula?'Tanyaku sendirian.

            Aku berjalan pantas meneka bilik kuliah. Dari tingkat bawah sampai tingkat atas. Telefon bimbit aku ambil dari dalam beg. Butang pada kekunci ditekan.

            “Helo, Sara. Kelas Doktor Imran di bilik kuliah mana?” Soalku.

         “Kau tak tahu? Kuliah hari ni dibatalkan sebab Doktor Imran cuti sakit.” Jawab Sara dengan bersahaja.

            Aku meletak telefon. Rasa seperti hendak menggigit telinga Sara dari dalam telefon. Mengapa dia tak maklumkan pada aku padahal bilik Sara dan aku hanya bersebelahan sahaja?

             “Huh!”Aku mendengus kasar lalu mencari haluan untuk pulang ke kolej kediaman.
0 Responses

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails