Nur Aizah


MESEJ
Karya: Nur Aizah binti Ramli

Segaris garisan jingga merentasi pemandangan di dada langit seperti segaris luka berdarah yang makin diresapi gelap malam yang mula melangkah ke garisan waktu. Di perbatasan itu, kedengaran suara-suara riuh menyapa tubuh yang kaku yang menyeliratkan fikiran umat akan perkara yang telah terjadi.

            “Apa yang terjadi kepada dia?” Tanya seorang wanita.

            “Mesti kes bunuh diri ni” Jawab seorang lelaki

            Namun, mereka bukanlah pihak polis atau ahli forensik yang dapat mengesahkan apa yang telah berlaku. Hanya andaian menyebarkan cerita yang dilihat. Cerita itu pula akan dikait menjadi baju cerita untuk si mayat. Jika si mayat dapat bangun bercerita, sudah tentu cerita itu tidak disukai olehnya. Fitnah yang berleluasa menyakitkan dirinya.  Mati telah mati. Tiada yang boleh diubah. Tiada saksi hanya alam.

             “Mungkin dia hutang dari premis pinjaman yang tidak berdaftar?” Seorang tua berteka teki.

            “Dia kena rompak ni. Tengoklah tiada apa yang ditinggalkan kecuali seluar panjangnya sahaja” Jawab seorang anak muda.

            Suara yang lain masih membincangkan perkara itu. Bunyi siren polis mematikan segala perbualan. Berpasang-pasang mata tertancap pada anggota polis yang turun dari kenderaan. Mereka benar-benar ingin tahu punca kejadian. Malam yang tiba tidak mampu menghambat seluruh jiwa untuk kembali ke sarang masing-masing.

            Mayat kaku diletakkan atas plastik hitam dan ditutup. Mayat itu diusung menggunakan  stretcher ke ruang belakang jip. Ahli forensik memeriksa sekitar kawasan untuk mencari bukti-bukti yang boleh menjawab persoalan mereka nanti.  Tubuh mayat masih belum berulat namun pucat. Mungkin masa kematiannnya kurang dari 24 jam yang lalu.

            Lampu-lampu neon yang terpasang di tepi jalan sekali sekala menyuluh wajah mayat seperti cerita seram. Petugas yang berada di bahagian belakang jip tetap tenang kerana telah biasa dengan keadaan itu. Jasad itu tidak bernyawa lagi, jadi dia tidak akan bangun dan mencekik atau menghisap darahnya seperti yang ditonton di dalam filem ataupun drama.

            “Alam baqa ialah alam yang kekal abadi. Tiada sesiapa yang dapat keluar darinya setelah melangkah ke sana”

            “Tapi ustaz, pernah terjadi seseorang itu telah mati tetapi dia hidup kembali”

            “Dengan izin Allah swt”

            Dialog yang pernah didengar ketika di surau. Benarlah kata-kata itu. Pendengarannya terasa berdesing seperti bunyi vakum. Ah, paling dibenci. Apa yang berlaku. Mata berpinar-pinar. Lantas rebah di sebelah mayat tadi.

            “Saudara, bangun!” Gerak seorang petugas lain.

            “Eh, saya ada di mana?” Tanya Radzi

            “Kita baru tiba di hospital. Awak tertidur tadi.” Jelas petugas itu.

            Radzi merenung lama petugas itu. Dia sedar dia masih di atas jip bersama mayat tadi. Lalu dia mengusung bersama petugas itu masuk ke dalam makmal.

            “Siapa nama awak? Tak pernah jumpa sebelum ini.” Tanya Radzi.

            “Saya Munir. Pekerja baharu. Baru bertugas hari ini. Jawab Munir.

            Radzi mengangguk tanda faham. Dia bersalam dengan Munir dan meminta diri untuk pulang semula ke balai. Munir memandang dari jauh. Wajahnya berkerut seperti dirundung masalah yang sangat berat sehingga menampakkan urat-urat hijau di dahinya.

***
           
         Radzi menerima panggilan telefon daripada makmal. Dia dapat mengagak, ini mesti mengenai keputusan DNA dari makmal mengenai mayat yang dihantar tempoh hari.

            “Baiklah pukul 12 tengah hari saya datang ambil keputusannya”. Kata Radzi.

            Radzi melihat jam di tangan yang menghampiri pukul 9 pagi. Dia masih di pejabat, menekan-nekan papan kekunci menulis sesuatu. Dia begitu khusyuk menghadap mesin teknologi itu. Sehingga tidak menyedari  pagi telah berkejar ke tengah hari.

            “Allahu Akbar” ucap Radzi.

            Dia tersedar setelah terkejut mendengar bunyi tayar pecah di luar balai. Masa berbaki 30 minit untuk dia pergi ke hospital. Masih sempat, lagipun jarak hospital dengan balai tidak jauh. kata hatinya. Radzi berjalan laju menuju ke kereta. Dia sangat mementingkan masa.

            Dalam perjalanan tekaknya terasa sangat kering. Dia meninjau-ninjau di tepi-tepi jalan jika terlihat ada gerai yang menjual air.

            “Air jambu batu. Wah, sedapnya!” Kata Radzi

            Radzi memberhentikan kenderaannya di tepi jalan. Seorang wanita yang sebaya umur dengannya dan seorang budak lelaki  ada di situ, barangkali membantu ibunya berniaga.

            “Terima kasih.” Ucap wanita itu.

            “Sama-sama.” Balas Radzi

            Sebelum dia bergerak menaiki kenderaan. Ada seorang budak berlari laju seperti ke arahnya. Wajahnya pucat kerana kuat berlari.

            ‘Kenapa dengan budak ni?’ Bisik Radzi.

            Sangkaan Radzi budak itu mengenali dirinya tetapi sangkaan itu salah.

            “Ibu! Ibu!?” Panggil Si Anak

            “Ya, kenapa?” Tanya Si Ibu.

            “Ayah sakit lagi ibu. Ayah baring meronta-ronta. Lepas tu ada buih keluar dari mulut ayah.” Jelas Si Anak.

            Si ibu gelisah lalu meninggalkan gerai kepada anaknya yang seorang lagi untuk menjaga gerai. Si ibu membonceng motorsikal dan memecut laju masuk ke simpang jalan dan kemudian hilang dari pandangan mata.

            Radzi tergamam seperti melihat sebuah adegan cerita dalam drama televisyen. Dia berpatah balik ke gerai tersebut dan bertemu dengan budak yang menjaga gerai di situ.

            “Adik, ada masalah? Kenapa ibu balik cepat-cepat?” Soal Radzi.

            “Ayah sakit.” Ringkas budak itu menjawab.

“Selalu ayah adik sakit?” Radzi bertanya lagi.

“Sakit ayah tak kira waktu. Kadang-kadang seminggu dua tiga kali.” Jawab budak itu dengan ramah.

            “Adik tinggal di mana?” Tanya Radzi.

            “Kampung Purnama di sebelah kebun getah sana.” Jawab budak itu sambil menunjukkan arah jalan ke arah Kampung Purnama

            Radzi mengangguk. Dia membetulkan kedudukan jam di tangan. Lagi 5 minit menghampiri pukul 12. Radzi sempat mengulurkan not berwarna merah kepada budak itu dan lantas bergerak ke kereta.

            “Terima kasih pak cik”. Kata budak itu.

            “Sama-sama” Jawab Radzi.

            Kereta yang dipandu Radzi semakin laju kerana dia tidak mahu lambat seminit pun berada di makmal .Dia seperti bertanding dengan masa. Tanpa semena-mena, ada seseorang melintas dengan tiba-tiba di hadapan keretanya.Orang itu sempat menoleh ke arahnya dan tersenyum. Radzi sempat mengelak.

            Radzi terkejut lalu terjaga. Mencari mangsa yang telah dilanggar tadi tanpa melihat luka yang mungkin ada pada dirinya. Dia hairan kerana siang menjadi malam dan dia berada di dalam jip. Dia melihat sebelahnya ada sebuah stretcher dan di atasnya ada karungan plastik hitam.

            “Radzi? ” Panggil seorang lelaki.

            Radzi terkejut lalu mengucap Allahu Akbar sambil mengurut dada.

            “Kenapa dengan kau ni? Macam nampak hantu saja. Ini Pak Cik Rahman la” Kata Pak Cik Rahman.

            “Pak cik ni. Terkejut saya tau” Tegur Radzi.

            “Kau macam tak biasa dengan pak cik” Balas Pak Cik Rahman.

            Radzi menjeling tetapi masih tersenyum kerana Pak Cik Rahman memang tabiatnya suka muncul dalam diam.

            “Cepatlah kita angkat, jangan nak mengelamun lagi Radzi oi.” Bebel Pak Cik Rahman

            “Yalah, pak cik janganlah membebel” Kata Radzi.

            Mayat tadi diletakkan di dalam di tempat yang sepatutnya. Setelah menyelesaikan tugasnya pada hari itu. Radzi terus pulang ke rumah.

            Beberapa hari kemudian, pihak makmal menghubungi Radzi untuk memberikan maklum balas hasil ujian DNA.

            “Mayat disahkan mati dalam tempoh 18 jam semasa dia dijumpai. Dia mati bukan  disebabkan kes jenayah tetapi kerana penyakit.Walau bagaimanapun, pihak makmal masih tidak dapat mengenal pasti identiti mayat untuk diserahkan kepada waris terdekat untuk dikebumikan” Jelas ahli makmal.

            “Serahkan sahaja kepada pihak kami untuk menyiasat.” Kata Radzi.

            “Boleh saya lihat wajahnya?” Pinta Radzi

            “Silakan” Kata seorang ahli makmal.

            “Astaghfirullahal A’zim” Ucap Radzi.

            Radzi beristighfar kerana lelaki yang dilihat itu ialah lelaki yang mengejutkannya ketika dia tidur di dalam jip untuk mengangkat mayat dan merupakan lelaki yang sama ketika dia hendak melanggarnya dalam mimpi. Lelaki itu ialah Munir.

            Radzi terduduk kerana terkejut dengan peristiwa yang sangat aneh yang dialaminya. Dia berasa dirinya bertanggungjawab untuk melaksanakan amanah menyerahkan jenazah kepada keluarganya. Dia tidak menyangka komunikasinya di dalam mimpi adalah mesej yang hendak disampaikan oleh roh kepada dirinya. Segala yang telah berlaku adalah dengan izin Allah swt.

- Tamat.-
           
           
           
           
           
           

0 Responses

Post a Comment