Karya: Nur Aizah binti Ramli
"Terima kasih nek", ucapan itu tanda hormat Dania kepada nenek yang mengalungkan rantai loket berwarna biru padanya. Unik rantai itu mempunyai loket yang bercahaya dan keadaan dalamnya seperti pemandangan dari dasar laut, sangat indah. Dania kembali mendongakkan kepala untuk bertanya kepada nenek, namun wajahnya tampak kecewa pabila nenek tiada di hadapan dan sekitarnya.
"Mana nenek pergi", katanya yang sedang bermonolog sendirian.
Suasana tenang di bawah pohon ketapang bertukar menjadi kelam kabut, pohon-pohon mulai bergoyang seolah-olah tidak mengizinkan penyerahan loket daripada nenek untuk Dania. Daun-daun dan ranting kering mulai berguguran, tanah mulai merekah, lalu terhidu bau hanyir yang datangnya dari bawah tanah. Dania terkejut setelah menyedari rekahan tanah terdapat lendiran cecair pekat berwarna kuning dan mereah, keadaannya seperti campuran darah dan nanah.
" Ya Allah, apakah semua ini?"
Dania berlari sekuat hati kerana khuatir jika rekahan itu akan membawanya jatuh ke dalam.
" Aduh..", jerit Dania yang terjatuh akibat tersadung pada sesuatu. Dia memalingkan muka dan melihat kakinya dipegang oleh suatu lembaga yang muncul di balik rekahan itu. Dania hanya mampu menjerit sekuat hati kerana lembaga itu kian muncul sepenuhnya. Dania tidak mampu melepaskan diri kerana lembaga itu memegangnya begitu kuat.
"Arghh...lepaskan aku!! Mak..!!!! tolong Dania!!!!", namun tidak dapat didengari oleh sesiapa. Serentak itu, Dania terjaga dari tidur dan mendapati dirinya berpeluh bagai orang dikejar hantu.
"Dania bangun dah masuk waktu maghrib ni, menjerit tak tentu pasal, orang tua pesan tak baik tidur waktu senja-senja. Dah... pergi mandi, solat pastu turun makan", tegur Mak Jah kepada Dania. Dania sedar dia memang sengaja tidur petang itu dek keletihan setelah selesai tugasannya di Kampung Merapuh di Melaka. Kampung itu terkenal dengan khazanah lama yang masih belum diterokai. Tinggalan lama harus dilindungi untuk tatapan dan maklumat kepada generasi pada masa kini tentang tradisi kuno masa lalu.
Tuala dicapai lalu menuju ke bilik air. Dania anak bongsu Mak Jah dan Pak Halim. Dia sahaja yang tinggal bersama Mak Jah dan Pak Halim sementara dua orang abangnya telah berkahwin dan seorang menetap di Negeri Sembilan dan seorang lagi Johor. Memulakan karier sebagai ahli sejarah dan bekerja di bawah muzium negeri Melaka.Dania seorang gadis berusia 27 tahun, memiliki susuk tubuh yang agak gempal, tinggi lebih kurang lima inci tidak menampakkan dirinya yang berisi, kulitnya sawo matang seperti gadis asia.
"Run bukannya apa bang, tanah yang serelung tu berilah pada Run lagipun Run betul-betul nak guna,"jelas Harun, adik Pak Halim.
" Kau nak jual ke, kau tu...susah apa bendanya? Kebun getah yang ayah beri dulu pun tak habis makan kalau kau betul-betul usahakan, ni tak asyik dengan judi, perempuan, main ekor je manalah nak cukup.", leter Halim pada adiknya.
"Abang nak beri ke tak?! Kalau tak nak beri, janganlah berleter macam mak nenek, dah tak nak bagi tu cakap je la? Kedekut betul!!, tengking Harun pada abangnya.
Dania terdengar perbualan ayah dengan bapa saudaranya. Nampak tegang perbincangan mereka.
"Kenapa tu ye?", tertanya Dania di dalam hati.
" Kau mengendap sape tu Dania, bukan kau tak kenal Pak Su kau tu, datang sini tak dak yang lain nak mintak duit la tu",kata Mak Jah
"Mak ni, tak baik kata macam tu, dia tengah bincang pasal kebun getah dia kot", Dania menafikan apa yang dikatakan ibunya.
Harun berlalu pergi dengan wajah yang merah padam, motor dihidupkan dan dipandu sekuat hati keluar dari laman rumah abangnya. Barangkali marah atas teguran itu. Ayah yang melihat menggelengkan kepala.lalu masuk ke dalam rumah.
" Datang awal-awal rupanya ada hajat, lepas tu mengamuk bila tak dapat apa yang dia hendak, habis aku pun ditengkingnya", leter Pak Halim sendirian.
Post a Comment