Nur Aizah
Karya: Nur Aizah binti Ramli
 


 "Tik..tik..tik" rintik hujan membasahi bumi. Kedengaran pula desiran angin mengusik pohon yang rendang memayungi tanah gersang. Di seberang jalan, kelihatan seorang anak gadis dalam perkiraan usia belasan tahun duduk menunggu bas. Suasana mendung dan suram lantas membawa fikirannya melayang pada sebuah kenangan yang sukar ditafsir pengertiannya pada diri yang masih belum matang
"Aku nak kau dengan si Lisa ni berambus dari rumah aku, sekarang!, bentak Johan kepada Rina.
" Kenapa abang? Rina isteri abang dan Lisa ni anak abang, sanggup abang nak halau kami?!", tanya Rina yang kebingungan dengan tindakan suaminya.
    Tanpa bercakap panjang, Johan menuju ke dalam bilik dan membawa beg yang berisi pakaian lalu dilemparkan di hadapan pintu rumah. Rina yang begitu sebak dengan situasi yang berlaku terus memegang erat tangan Lisa dan berlalu keluar dari rumah itu.
    "Gedebush", simbahan air dari lopak air yang berdekatan terkena pada Lisa, hanya lirikan tajam mata Lisa tertumpu pada sebuah kereta yang meluncur laju tanpa menghiraukan dirinya yang duduk menunggu bas di tepi jalan. Sempat dia menghafal no plat kereta tu.
   "Ya Allah, apa kena dengan driver ni bawa kereta macam nak berlumba, biadap betul la... dia ingat aku yang kat tepi ni tunggul ke ha..!!!, Lisa bengang dan tidak dapat menahan rasa marah yang membuak-buak di dalam hati.
    Segala bayangan kisah lampau yang tergambar dalam fikirannya terus  hilang entah ke mana. Wajah manis gadis yang berusia 18 tahun ini  masam mencuka dek malang yang menimpa diri. Sudah kelihatan kelopak tenang air yang hampir mengalir di pipinya. Manakan tidak hari ni segala yang dibuat semuanya tidak menjadi  tambahan pula jualan perhiasan maniknya kurang laris.
    Bas yang ditunggu sudah kelihatan, dia segera mendepakan tangan. Setelah bas berhenti Lisa menapak masuk ke dalam bas. Dia tidak menghiraukan bajunya yang kotor terkena simbahan air tadi, tetapi masih bengang pada insan yang telah memperlakukannya begitu.
    "Psst..pssstt" bunyi itu seolah-olah memanggil dirinya untuk menoleh ke belakang.
    " Wa...cantik baju, baru beli ek? Nanti belikan untuk abang ya..hehe", usik Hairi.
    Jika diikutkan hati mahu saja dilayangkan penampar sulungnya pada pipi tembam si Hairi, teman sekampung yang selalu saja menyakat dirinya tatkala mereka bertemu muka. Lisa masih boleh bersabar dan hanya menjeling tajam pada Hairi. Bagaimana hari ni mereka boleh berjumpa di dalam bas, selalunya tidak pernah sebab Hairi ada motor.
    "Adoi, kau tengok tu Man, dia main jeling-jeling dengan aku, ni yang aku jadi semakin sayang ni Lisa oi...hahaha", Hairi semakin galak mengganggu Lisa.
     Seketika sampailah Lisa ke destinasinya, dia menuruni anak tangga tanpa memalingkan muka pada Hairi. Baginya wajah Hairi yang begitu geli  memang tak patut dipandang.
      "Bye-bye sayang", jerit Hairi dari atas bas.
       "Memang tak tahu malu jantan ni, memalukan kaum lelaki je, eii..siapalah yang nak kat dia tu, dah la tak cukup tinggi, gatal pulak tu", leter si Lisa di dalam hati.
     Hujan masih belum berhenti, rintiknya mengenai pada wajah Lisa yang masih bergetah dan licin tanpa sebarang cela. Langkah Lisa semakin pantas pabila melalui lorong menuju ke rumahnya. Semak samun dan pohon besar merendang begitu menyeramkan untuk dilalui terutama ketika waktu petang.
     "Assalamualaikum, mak...Lisa dah balik,"
      "Waalaikumussalam, Lisa dah balik ye, macamana dengan jualan hari ni?
     "Hari ni kurang laris mak, mungkin sebab hujan orang tak ramai berkunjung ke Pasar Tani", jawab Lisa dengan suara yang lesu.
     "Em, tak mengapalah Lisa, hujan tu rahmat Allah pada seluruh makhluk di alam ini, apa yang ada kita bersyukur ya., senyum Rina pada Lisa.
      Rina memandang tepat pada pakaian Lisa lantas bertanya.
      " Eh, kenapa pakaian Lisa kotor ni, main hujan ke?
      "Tak la, tadi waktu Lisa tunggu bas ada kereta masuk membelah lopak air, jadi air tu terkena pada Lisa, habis basah, geram betul?"
      "Ala kesiannye anak mak ni, mungkin musibah yang menimpa Lisa hari ni ada hikmahnya, sabar ya nak, pujuk Rina  sambil menggosok bahu anaknya. Sudahlah, pergi mandi lepas tu tolong mak sediakan makan malam",
     Begitulah kehidupan dua beranak, Lisa dan ibunya. Setelah ibunya diceraikan, tinggallah mereka di rumah usang tinggalan arwah nenek sebelah ibunya. Kehidupan mereka hanya bergantung sepenuhnya pada jualan gelang dan rantai manik juga mengambil upah menjahit pakaian.
    "Bila kau nak sedar, kau tu hina! tau tak hina, jijik, jelik semua tu pada kau! Muka macam kau memang tak layak untuk hidup kat atas muka bumi ni" kata seorang lelaki yang betubuh tegap dengan wajah yang begitu bengis.
    "Kenapa ayah cakap macam tu pada Lisa, Lisa anak ayah, darah daging ayah tak baik ayah cakap macam tu, rintih Lisa yang begitu sebak dengan kata-kata dari ayahnya.
    "Anak aku, hahahahahahah....wajah yang bengis tadi bertukar menjadi suka pabila mendengar kenyataan dari Lisa dan seketika bertukar seperti singa yang kelaparan.
   "Kau tu anak ...."
   "Abang!", jerit pada suatu suara yang tidak dipastikan dari mana arahnya.
    "Argh..!!!", Lisa terkejut lalu terbangun dari tidur.
   "Lisa? Kenapa ni?, tanya ibunya.
    " Mak, Lisa mimpi...Lisa ni sebenarnya anak siapa mak? Kenapa ayah bencikan Lisa? Kenapa ayah tak nak melihat wajah Lisa mahupun membelai Lisa", Lisa bertanya sambil air mata terus berlinang ke pipinya.
    "Lisa, kenapa Lisa tanya begini. Dengar ya, Lisa anak mak, jangan tanya lagi sayang. Tiada sesiapa yang dapat pisahkan mak dari Lisa. Sudah, Lisa jangan menangis lagi," pujuk ibunya sambil mengesat air mata Lisa.
     Rina begitu menyayangi Lisa, meskipun kemewahan tidak dapat ditaburkan kepada Lisa cukuplah hanya kasih sayang menjadi peneman baginya dan Lisa.Sungguhpun demikian, Lisa tetap dijaga dan segala keperluan diberikan yang terbaik untuk Lisa.
     Pagi tu, Lisa bangun awal seperti kebiasaaan. Jarak sekolah yang tidak begitu jauh dari rumah memudahkan Lisa untuk berjalan kaki. Tahun ini, Lisa akan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia(SPM), dia begitu berazam untuk belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai impiannya menjadi seorang penulis novel yang terkenal. Dia juga mahu meningkatkan taraf hidup keluarga kepada yang lebih baik serta memberikan kehidupan yang lebih selesa buat bonda tercinta.
    Masa yang berlalu mendewasakan Lisa yang kini berusia 24 tahun. Memiliki Ijazah Sarjana Muda Dengan Kepujian(Penulisan Kreatif) melayakkan dirinya menjadi seorang penulis muda yang begitu berbakat. Kebanyakan karyanya kini menjadi kegilaan remaja, bertakhtakan nama pena Lisa Farina dia mempertaruhkan seluruh jiwanya dalam dunia seni untuk berkarya.
    " Lisa, sudah-sudahlah menaip, mari makan sekarang, nanti sejuk pula lauk pauk ni" panggil ibunya.
    "Ya mak, kejap lagi Lisa datang, ada sikit je lagi", jawab Lisa.
      Kesibukannya semakin bertambah semenjak bergelar  penulis terkenal. Dirinya kerapkali menjadi tumpuan syarikat bagi penghasilan karya baharu yang lebih mantap untuk tatapan peminat setianya.
    "Lisa, ni ada surat untuk awak, Iza menghulurkan sampul surat berwarna coklat tanpa alamat lengkap penerima.
   "Terima kasih Iza", Lisa menerima surat tersebut dengan wajah yang penuh dengan tanda tanya.
     Hujung sampul surat dikoyakkanm lalu lipatan kertas A4 berwarna putih dikeluarkan. Lisa membuka lipatan kertas dengan berhati-hati. Pabila dibuka, terdapat tulisan berwarna merah terdampar pada helaian kertas itu. Setiap baris kata dibaca dengan penuh teliti.
  
   Lisa, 
   "Jika kau nak nyawa kau dan mak kau selamat, sediakan wang berjumlah RM100 000, 
     kalau kau tak dapat sediakan wang sebanyak tu, kau takkan dapat lihat wajah mak kau lagi. 
     Aku akan hubungi kau dari semasa ke semasa. Tapi kau ingat! Jangan beritahu pada orang lain, 
      jika tidak kau akan dapat habuannya dari aku.!!!!"


     Lisa yang berdiri tadi terduduk di atas kerusi dengan wajah pucat yang penuh kebingungan. Dia benar-benar terkejut pada ugutan yang diterimanya. Sebelum ini dia sesekali tidak pernah menerima surat yang berunsur ugutan terutama untuk mengancam nyawanya. Pada perkiraan firasatnya yang kembali distabilkan mungkin ada insan lain yang cemburu pada kejayaan yang semakin dijulangnya. Fikiran sengaja dilayangkan pada imbasan wajah rakan-rakan penulis. Tidak ada seorang pun yang disyaki untuk melakukan perbuatan sedemikian.
   " Ah, ini mungkin cuma notis ugutan dari orang yang ingin menjatuhkan aku, mungkin jua orang ini mahu menguji tahap emosi aku, biarlah", surat ugutan itu direnyukkan lalu dibuang ke dalam bakul sampah di sisi meja.
  " You have one message, please open it", bunyi nada dering mesej pada telefon bimbit Lisa.
   "Kau dah baca? Bagus, sekarang aku nak kau buat seperti yang aku arahkan. Aku beri tempoh 24 jam bermula sekarang untuk kau. Sediakan wang segera jika kau nak tengok wajah ibu kau lagi"
    Mesej dari private nombor itu tidak dapat didail menyukarkan Lisa untuk mengesan nombor yang menghantar mesej padannya.
   Ugutan yang dianggap mainan bertukar menjadi keadaan yang benar-benar berlaku. Apakah ugutan itu daripada seorang penjenayah? Apakah juga dari seorang yang mengenali aku? Mak..mak, aku kena pastikan ibu aku selamat. Dia segera menekan  butang pada telefon bimbit.
   " Tut...tut", hatinya berdebar-debar menunggu panggilannya dijawab oleh ibu.
   " Hello, assalamualaikum, " kedengaran suara ibu di hujung talian.
   "Waalaikumussalam, mak sihat? Mak tak apa-apa ke?," tanya Lisa yang kerisauan.
   " Ya, mak sihat. Kenapa nak? Lisa ok ke?" ibunya berbalas tanya.
   " Tiada apa-apa, alhamdulillah jika mak sihat, Lisa risau, mak tinggal di rumah kunci pintu tau, jika ada orang yang tak dikenali jangan buka pintu ya, mak dengar dan ikut ya cakap Lisa", pinta Lisa pada ibunya.
   " Ya mak tahu dan ikut, tapi ke.....tut tut"
    " Mak...mak..."
    Belum sempat Lisa menjawab talian terputus.
    " Hah, apa yang terjadi. Ya Allah, selamatkan ibuku."
   " Iza, aku kena keluar sekarang, ada hal yang sangat penting, tolong beritahu Encik Hashim ya", pesan Lisa kepada Iza dalam keadaan yang tergesa-gesa.
   Lisa berlalu pergi tanpa sempat ditanya secara lanjut Iza. Dalam keadaan yang sedemikian Lisa tidak dapat menumpukan perhatian dan berfikir dengan waras. Dia bimbang jika ibu diapa-apakan. Lisa cuba menelefon semula ibunya tetapi tidak berjaya.
     Enjin kereta segera dihidupkan. Lisa mengundurkan kereta ke belakang dibantu cermin hadapan dan sisi. Seketika pandangan dan pergerakannya terhenti pabila dirasakan ada benda tajam yang diacukan pada lehernya.
   " Terus pandu dan ikut arahan aku". Lisa mengikut saja arahan orang itu.
    Ketakutan yang menimpa dirinya tidak dapat ditahan sehingga menitiskan air mata, Pandangannya kabur dek air mata yang memenuhi kelopak matanya.
    ''Kau nangis ye, jangan takut.. habis sangat pun kau mati je...hahahaha....Diam!!!!.. Kalau kau nangis aku bunuh nanti," Gertak penjenayah itu.
    " Belok kiri pastu terus je." arah lelaki itu.
     " Aik, bukan ke ni kawasan rumah aku, apa yang dia nak buat ni, siapa lelaki ni macamana dia boleh tahu mana aku tinggal, tanya Lisa di dalam hati.
     Pada saat itu, Lisa hanya ingat pada mak, apa yang dah jadi pada ibu sekarang. Adakah orang ni ada kaitannya dengan kehilangan ibu.
    Suasana malam kian suram dek kisah yang dilalui Lisa. Dia hanya mampu berdoa agar ada insan yang dapat membantunya. Fendi, teman rapatnya diharapkan dapat membantunya. Tetapi bagaimana? "Fendi...tolong aku", jerit Lisa di dalam hati.
    Sampai saja di rumah. Lelaki itu menanggalkan topengnya dan berpura-pura baik kerana tidak mahu menimbulkan rasa pelik pada jiran. Tindakannya mahu dikaburkan supaya niatnya tidak dapat dihidu oleh siapapun. Pada waktu inilah peluang bagi Lisa untuk segera mencari telefon bimbit menaip mesej pendek
 " tlg..", namun belum sempat ditekan butang send pada Fendi. Lelaki itu membuka pintu dan menarik Lisa keluar. Rentapan kasar pada Lisa membuatkan telefon bimbitnya jatuh terhentak di lantai kereta.
   "Ah, sakit"
    Tubuhnya dilempar kasar di atas lantai marmar. Matanya tertumpu ke arah marmar menuju ke arah tubuh lelaki itu,
 " Lelaki ni....hah?!..."
     " Kenapa? kau terkejut?!!"
 "Mana mak, mana kau sorokkan mak aku?!"
 " Oh, mak kau ada, kesian dia tunggu kau lama sangat".
 "Kenapa kau masih ganggu kami, apa yang kau nak"
 " Apa yang aku nak? Kau dah tahu tanya lagi.. Aku nak duit la, beri aku RM100 000 lepas tu aku akan lepaskan mak kau"
     Lisa berdiri dan cuba melawan lelaki tersebut. Namun hentaman kuat pada mukanya membuatnya terdiam seketika.
    " Aduh!!", lelehan darah dikesat pada bibirnya.
    " Macamana, nak lawan lagi ke?, Kau tak payah susah susah, serahkan sahaja duit tu"
     "Baik, aku akan berikan pada kau duit tapi lepas pukul 12 tengahari esok.Lepas tu kau  kena janji lepas ibu aku dan jangan ganggu kami lagi", jerit Lisa pada lelaki yang langsung tidak dihormatinya lagi dek perbuatannya itu.
    "Ya, macam tu la sayang, hahahaha" hilai tawa suara lelaki itu bergema pada rumah.
     "Gedegam!!!" Bunyi hentakan pada pintu bilik kedengaran.
     "Ish degil betul la orang tua ni, tak habis-habis nak buat perangai"
      Lisa dapat mengagak ibunya dikurung di dalam bilik itu, tangan yang diikat cuba dirungkaikan ikatannya. Lighter penyangak yang ada diatas meja segera digapai dengan kaki. Lisa segera memutuskan ikatan dengan nyalaan api pada lighter. Setelah dapat dilepaskan dia segera mengambil pasu kaca yang terhias di atas meja. Namun, belum sempat dia bersedia dengan pasu di tangan, pintu bilik dihentam dengan kuat.
     " Penyangak tu dah keluar, bodoh betul la", kata Lisa.
     Dia segera membetulkan keadaan seperti tadi, dan berpura-pura seolah-olah tangannya masih diikat.
     "Apsal mak kau degil ha....?!!!! Macam perangai kau"
      " Macam perangai kau juga", lawan si Lisa.
      Lelaki itu mengalihkan wajah dan merenung tepat pada Lisa. Dia menampar wajah Lisa.
      "Kurang ajar kau ya, memang dasar anak luar nikah macam ni la kan", jerit Johan pada Lisa
      " Luar nikah? Apa maksud kau?!!, tanya Lisa.
     " Mak kau dan aku kahwin sebab kau la",
      Lisa tersentak lalu terdiam.Dia menangis semahu-mahunya. Apakah benar apa yang dikatanya lelaki tu. Tubuhnya terbaring longlai di atas lantai. Namun, perasaan marahnya masih membuak kerana tindakan ayah yang mengurung dan memukul ibu. Lelaki itu tidak menghiraukan Lisa yang menangis lalu berehat di atas sofa sambil menonton televisyen.
    "Kau memang manusia yang bertopengkan syaitan"
     Lisa berjalan perlahan-lahan menuju ke bilik di tingkat atas, dia pasti bahawa ibunya terkurung di atas sana. Kunci pendua yang disimpan di bawah tangga diambilnya. Lelaki itu langsung tidak perasan pada pergerakannya.
     " Mak..mak..mak" Lisa menggerakkan ibunya yang lemah di atas lantai.
      " Lisa, maafkan mak nak.Mak bersalah," rintih ibunya.
      " Sudahlah mak, apa yang terjadi telah terjadi". Kita perlu cari jalan untuk selamatkan diri. Mari ikut Lisa kita lari ikut pintu belakang"
       Ikatan pada ibu dirungkaikan, mereka menuju ke tangga dan menapak perlahan. Dilihatnya lelaki itu masih nyenyak tertidur di atas sofa.
      Mereka segera menuju ke dapur. Dalam keadaan yang tergesa-gesa Lisa tertolak gelas di atas meja lalu pecah berderai di atas lantai.
     "Pranggg"
    " Mak cepat lari.....",jerit Lisa.
    "Hoi.....!!!!!!" Mana korang nak pergi tu?!" , jerit lelaki tersebut. Dia terus berlari ke dapur, direntap rambut Lisa. Berlaku pergelutan dua beranak, Rina menjerit supaya keadaan itu dileraikan.
    " Abang, sudah bang. Lisa tak bersalah" jerit Rina.
    " Kau diam!! Lisa ni pembawa malang. Hina! Jijik! Kotor! Busuk!, bentak Johari pada Rina
     " Yang hina, jijik, kotor, busuk sume tu abang....abang!!!bukan Lisa", jelas Rina.
     " Apa kau kata, ulang sekali lagi", mata Johari kini terarah pada Rina. Lisa yang dicekiknya tadi dilempar ke dinding sehingga luka didahinya. Lisa sudah lemah tidak berdaya lagi. Nyawanya tinggal seperti nyawa-nyawa ikan. Rina takut namun tetap dikuatkan semangatnya supaya Johari tidak terus menyangkanya lemah.Rina tahu tubuhnya pasti akan dibelasah seperti dahulu. Namun, dia tidak gentar demi nyawanya untuk Lisa. Rina masih ingat Johari memang kekasihnya tetapi suatu ketika dahulu, dia mengaku dia tersalah pilih teman hidup kerana Johari adalah syaitan bertopengkan manusia. Cintanya adalah pada nafsu semata-mata tanpa meletakkan sebarang matlamat dalam perhubungan. Namun, nasi sudah menjadi bubur dan hidup mesti diteruskan.
      " Kau ni pun satu, memang nak kena jugak ke?", satu tumbukan mengenai pada perut Rina. Rina diperlakukan seperti bola disepak dan diterajang. Rina berlari ke ruang tamu namun sempat ditarik lengannya oleh Johari. Kali ini Rina sempat memegang kayu hoki yang memang sentiasa diletakkan dibelakang pintu rumah.
     " Kau rasa hebat sangat la boleh pegang kayu hoki tu..hahahhaha..",gelak Johari yang mempersendakan tindakan Rina.
     Tanpa berlengah panjang panjang Rina mengetuk kepala Johari bertalu-talu. Namun kayu itu dipegang kuat oleh Johari yang menolak kasar Rina ke pintu rumah yang tertutup. Rina tidak terdaya untuk memegang tombol pintu. Johari mengeluarkan pistol yang terselit di sisi pinggangnya.Pistol dihalakan tepat pada kepala Rina.
     Bunyi tembakan kedengaran dari ruang tamu. Tubuh rebah di atas lantai. Mata merenung tajam pada wajah itu.
    "Mak!!", Lisa yang tersedar dek bunyi tembakan itu menjerit memanggil ibunya. Dia yang masih kebingungan kerana hentakan kuat di kepala merangkak perlahan-lahan mencari ibu.
    " Lisa, anak mak, kau tak apa- apa ke nak?",tanya ibu.
    " Mak, mak baik-baik saja kan? Alhamdulillah, tapi siapa yang kena tembak?", Lisa melihat wajah lelaki itu di atas lantai. Darah membasahi lantai marmar, mata lelaki itu masih merenung tepat ke arah mereka
     " Polis datang, ibu pun tidak tahu bagaimana keadaan ini berlaku, bila ibu tersedar ibu terdengar suara kau menjerit dan Fendi segera mendapatkan ibu."
     "Fendi?"
     " Ya. Lisa" Fendi berdiri dan menyapa Lisa.
      " Bagaimana awak datang sini, saya tak beritahu awak pun"
      " Tapi awak yang hantar mesej pada saya, lepas dapat mesej saya terus hubungi awak tapi tak diangkat, saya cari awak kat pejabat tak der pun, Iza cakap awak keluar petang tadi sampai sekarang masih belum pulang, saya bimbang terus bergegas ke sini", jelas Fendi.
      Lisa mula mengingat, rasanya dia tidak sempat pun menghantar mesej pada Fendi, mungkin juga telefon bimbitnya yang terjatuh telah terhentak pada lantai lalu tertekan butang send. 
      " Semuanya kehendak dan kuasa Allah SWT, Lisa....mak mintak maaf, mak pasti kamu dah tahu keadaan sebenar yang berlaku. Mak benar-benar menyesal, maafkan mak nak. Mak salah pilih laluan hidup mak, kata Rina yang menangis teresak-esak lalu dipeluk oleh Lisa.
      " Apa yang berlaku tak dapat diulang untuk diperbetulkan semula yang pasti mak dan Lisa sekarang dah bersatu dan bahagia." pujuk Lisa pada ibunya.

    
  
0 Responses

Post a Comment