Nur Aizah





Karya: Nur Aizah, Mas, Shila dan Husna

Perit hidup menelan derita,
Menyulam rasa menghampar duka,
Selingan kasih meruntun jiwa,
Lapan taruhan merangkai cinta,
Dipajak atas nama seorang balu,
Kuteguhkan hati kuatkan nurani,
Biar terkorban jasad,
Jangan terpunah jiwa,
Kuseru seluruh semangat,
Membawa matlamat dengan satu harapan,
Amanah Tuhan menjadi sandaran,
Moga berjaya dunia dan akhirat.






Hasil Ilham: Keratan akhbar pengorbanan seorang balu membesarkan 8 orang anak

Nur Aizah
Karya: Nur Aizah binti Ramli

Menapak aku di lorong sepi,
Pada malam yang beransur sunyi,
Menjentik memori pada bayang,
Apakah  mengekori,
Atau sudah berlalu pergi,
Pilihan padaku,
 Hilangkan bayang,
Berada pada gelap pekat malam,
Atau berlindung di redup awan.

Kini kuberlari meninggalkan bayang,
Setelah kupasti diekori,
Puas kugagahkan hati,
Kadang jua kutewas sendiri,
Iman setitis embun senipis zarah,
Mana bisa mampu kalahkan bayang,
Kuhimpun seluruh tekad,
Pajakkan nyawa pertahankan jiwa,
Agar mampu kuberdiri,
Tanpa bayang itu lagi.

Nur Aizah
Karya: Nur Aizah binti Ramli

Ruang ini,
Melukis gambaran insan,
Yang bisa kutafsir sendiri,
Segala rasa dilakar pada kata-kata,
Kekadang bisa membahagiakan,
Kekadang bisa mengguris perasaan.

Ruang ini,
Medan peradaban dunia,
Hitam putih kau yang memilih,
Tersilap langkah kau binasa,
Tersalah aturmu membawa padah,
Mahu kujerit pada mereka,
Ruang ini sekadar jaringan,
Ruang ini sekadar pemudahcara,
Usah disalahguna,
Pengalaman mengajar kita,
Akan peri pentingnya berbahasa.
Nur Aizah
Karya: Nur Aizah binti Ramli

"Ibu..petang ni adik nak ke hospital dengan Abu, boleh tak?", pinta Arif pada ibunya. Dia menyuarakan hasratnya tanpa sempat menyalin baju sekolah. Jika ikutkan hati mahu sahaja dia pergi menemani Syamin selepas waktu sekolah tadi, tapi bimbang pula jika ibunya risau dan terlebih dahulu meminta izin.

"Kenapa adik nak ke hospital?", tanya Mak Dah pada Arif. Mak Dah yang baru selesai kerja memasak di dapur mengelap tangan pada tuala yang disangkut di tepi dinding.

"Ayah Syamin masuk hospital, keadaannya teruk juga, adik pun dapat tahu dari Ah Lim, kasihan Syamin, sudahlah tiada ibu ayah pula sakit", kata Arif yang begitu bersimpati pada musibah yang menimpa Syamin. Meskipun, Pak Awang sering kali menyisihkan kasihnya pada Syamin namun Syamin tidak pernah menyingkirkan kasih  daripada ayahnya. Syamin baik tingkah lakunya dia sedaya mungkin cuba menyembunyikan keburukan yang ayahnya lakukan.

" Nak pergi berdua saja ke dengan Abu? Kita tunggu ayah balik ya...boleh pergi sama", cadang Mak Dah.

     Setelah solat zohor mereka pun bertolak ke hospital. Pak Cot pun sudah lama tidak bertemu muka dengan Pak Awang, hubungan mereka kian renggang bila Pak Awang mulai hilang punca bila isterinya meninggal dunia. Rutin hariannya juga berubah, sudah tidak mahu ke kebun, sekarang ni dah tumbuh lalang, tidak mahu bergaul dengan masyarakat sekitar sebaliknya  pelbagai alasan yang diberi. Dengar khabar dia terlibat dengan pinjaman duit dari "Along", itulah yang menjadikan keadaan lebih parah.

"Abang....mana wad tempat Awang kena tahan?" Mak Dah merentap seketika selingan Pak Cot pada gambaran tentang sahabatnya tadi. Pak Cot yang tersedar pada lamunan segera mencari kaunter pertanyaan.
Dilihatnya ada seorang jururawat perempuan sedang leka melihat fail berwarna biru di meja. Pak Cot mendekati seraya bertanya.

"Assalamualaikum cik, boleh cik periksa Awang bin Saleh di wad bilik apa?", jururawat muda itu tersenyum dan menaip sesuatu pada papan kekunci.

"Tingkat 3 bilik 27", kata jururawat Julia itu. Mak Dah, Arif dan Abu berjalan mengikut Pak Cot yang mencari bilik Pak Awang. Pelbagai keadaan orang yang sakit, ada yang di atas kerusi roda, terbaring di atas katil. Arif melihat  seorang nenek yang tenat sakit di bilik berdekatan dengan tangga, kedengaran dengusan nafasnya di kerongkong. Arif dan Abu berhenti seketika melihat kejadian itu, ramai orang yang mengerumuni nenek mungkin jua saudara mara nenek tersebut, ada seorang lelaki yang masih muda usianya dalam perkiraan 30-an mengajar nenek itu mengucap.

"Arif, Abu ke sini", Mak Dah memegang tangan dua orang anak tadi dan membawa mereka menuju ke bilik Pak Awang. Arif hanya mengikut sahaja ibunya, dia masih mahu terus melihat adegan tadi, apakah yang terjadi pada nenek, mungkin jua dia telah meninggal dunia, fikirnya. Masuk sahaja ke bilik Pak Awang, diperhatikan tangan juga kaki Pak Awang dibalut dengan kain, kakinya seperti disimen, Syamin tidak pula kelihatan. Pak Awang yang tersedar akan kehadiran empat beranak tadi membetulkan kedudukannya dan tersenyum ke arah mereka. Pak Cot bersalam dan menepuk belakang Pak Awang. Pak Awang yang terbatas pergerakannya bisa berasa terharu akan kehadiran Pak Cot sekeluarga. 

"Pak Awang, Syamin mana? Dia cakap dia datang sini lepas sekolah", tanya Arif yang tercari-cari kelibat Syamin.

"Syamin...datang sini? Tak der pun...sejak Pak Cik sedar bayangnya masih belum kelihatan", wajah Pak Awang mulai gelisah. Dahinya kian berpeluh seperti merasai sesuatu yang buruk telah berlaku pada Syamin.

"Betul ke Pak Cik Syamin tak datang sini, habis tu dia cakap Cikgu Mashitah yang akan hantar dia", Abu menjawab.

"Arif ....Abu tolong cari Syamin...dia dalam bahaya", Pak Awang benar bimbang, menggeletar tangan kirinya memegang tangan Arif merayu agar ditemukan anaknya Syamin.

"Kami boleh cari tapi di mana Pak Cik? Sekarang ni kedudukan sebenar Syamin pun kami tak tahu", jelas Arif.

"Kamu cari Syamin di rumah, orang tu mungkin bawa Syamin ke sana sebab dia nak sesuatu dari dalam rumah tu...tolong Pak Cik ya", berlinang air mat Pak Awang. Pak Cot masih lagi kebingungan pada hal yang berlaku namun mengikut sahaja tindakan yang diputuskan oleh Pak Awang. Kini, Syamin diancam malapetaka dan dia mesti dibantu. Serentak itu, mereka bergegas menuju semula ke rumah untuk mencari Syamin. Rumah Syamin yang agak tersorok dari jalan raya membuatkannya sunyi sekali. Arif memberi arahan pada ayahnya untuk memberhentikan kereta jauh dari rumah dia dan Abu akan mengintip apa yang berlaku di dalam rumah. Tubuh kecil mereka mudah untuk bergerak dan tidak akan disedari oleh penjahat itu. Laluan belakang rumah dilalui berhati-hati. Didekatkan telinga pada dinding kayu, Abu pula mengintai pada lubang di celah tingkap. Sunyi dan tiada apa-apa pergerakan.

"PPPrannnnggg....!!!!! Cakaplah......kat mana ayah kau sorok barang tu?" terdengar suara kasar memukul gegendang telinganya. Bunyi pinggan yang pecah tu kemungkinan mereka berada di bahagian dapur. Serentak itu, tangisan yang tersedu sedan kedengaran.

"Saya tak tahu...ayah tak pernah cakap pun mana dia letak barang tu........isk...iskk...",suara itu seperti Syamin. Arif membisikkan sesuatu pada Abu, Abu menggelengkan kepala namun akhirnya akur jua, dia pergi menjauhi Arif. Arif bergerak perlahan-lahan ke pintu belakang rumah Syamin, dia mahu tahu keadaan Syamin dengan lebih lanjut. Kini Syamin duduk terjelopok di atas lantai dengan tiga orang lelaki mengelilinginya.Seorang lelaki Cina duduk di atas tangga, tatu yang penuh di lengan menyeramkan Arif, seorang lagi membelakangkan Arif hanya nampak tubuhnya pada bahagian belakang sahaja, namun dari lenggok bahasa lelaki ini berketurunan Melayu dan seorang lagi duduk mencangkung sambil memegang muka Syamin. Ligat fikiran Arif memikirkan cara untuk melepaskan Syamin dari bahaya itu, kudratnya yang kecil tidak mampu mengalahkan ketiga tiga penjahat itu. 

"Gedebuk.....", bunyi sesuatu yang besar dan berat terjatuh di luar rumah. Penjahat itu sudah mula risau, seorang darinya keluar dan memeriksa bunyi yang terhasil itu.

"Arghhh.....!!!", kedengaran jeritan penjahat itu memaksa dua orang rakannya melihat apa yang terjadi. Pada waktu inilah Arif mengambil kesempatan masuk melalui tingkap kayu dan menuju ke arah Syamin yang sudah tidak bermaya yang tertunduk lesu di atas lesu. Baginya jerat yang dipasang tadi telah mengena.

"Arif.....macamana kau boleh ada di sini", Syamin yang terkejut dengan kehadiran Arif lalu mengelap air mata di pipi dan bangun cuba untuk melepaskan diri. Tubuhnya yang agak gempal menyukarkannya melepasi tingkap, puas ditolak oleh Arif. Namun, keadaan lebih genting apabila kedengaran tapak kaki berdetak laju dari lantai rumah. Arif dan Syamin pantas bergerak, berselindung di balik perigi buruk di dalam semak, semoga tidak dijumpai penjahat itu. 

"Mana pula dia pergi..." suara itu menyergah hati dan emosinya. Dua sahabat tadi berpelukan kerana terlalu takut, petang yang hampir ke senja seakan memahami bahawa nyawa mereka semakin terancam apabila tubuh mereka dicari tiga penjahat tadi.Mereka memberanikan diri bergerak perlahan-lahan menuju ke jalan besar yang sudah tidak jauh dari penglihatan mata. Namun untuk sampai ke sana bukanlah mudah, jika tersalah langkah parah mereka dikerjakan, tambahan pula pistol yang sentiasa terselit di pinggang menjadi mimpi ngeri buat sahabat tadi jika menerobos ke isi kulit mereka.

"Arif, macamana kita nak ke sana, dua orang tu masih berjaga di sana", tanya Syamin sambil jari telunjuk dihalakan pada penjahat tadi.

"Kau ikut je aku, pasti semuanya selamat", kata Arif meyakinkan Syamin yang ketakutan. Tangan Arif tidak dilepaskan. Mereka merangkak perlahan-lahan, kereta ayahnya sudah nampak dan hanya beberapa meter sahaja untuk ke sana. Arif memaksa Syamin untuk ke sana dahulu sementara dia berjaga di belakang, Syamin cuba bergerak meskipun kerisauan melingkari hatinya. 

"Hoi budak ...mana kau nak lari!!!!!", serentak itu Syamin tergamam dan terhenti di situ. Suara Arif yang memintanya untuk segera berlari tidak dihiraukan, kakinya bagai dipaku di atas tanah. Pistol dikeluarkan dan dihalakan tepat pada tubuh Syamin. Arif yang melihat segera melangkah luas menyelamatkan Syamin, keadaan berlaku dengan cepat.Tubuh Syamin ditolak ke tepi. 

"Beng...beng...!!", Dua das tembakan kedengaran. Kedua-dua jasad tadi jatuh menyembah bumi. Mata keduanya saling berpandangan seperti menyampaikan suatu pesanan terakhir.Arif memegang tangan Syamin yang terketar ketar memegang dadanya. Darah merah pekat membasahi tanah. Pak Cot dan Mak Dah yang  melihat kejadian itu segera keluar meluru ke arah anak mereka. Mak Dah segera memangku Arif....hanya satu kalimah yang terlafaz dari bibir Arif...."adik...minta maaf", ....Allah...." kepalanya terkulai layu namun tangan kanannya masih erat menggenggam tangan Syamin. Lelaki yang menembaknya tadi cuba meloloskan diri namun tidak berjaya apabila dikepung polis yang baru sahaja tiba. 

"Ariiiiffffff!!!!" Syamin menjerit kesayuan melihat tubuh sahabatnya kini terbujur kaku, Abu tersesak-esak meratapi pemergian sahabatnya. Mak Dah diam membisu, insiden tadi merentap seluruh rasa dan jiwanya. Pak Cot memeluk erat tubuh isteri dan anaknya. Terasa seakan semalam dia baharu menerima Arif sebagai cahaya matanya yang bongsu, namun kini menjauh pergi dalam perjuangan hidup menyelamatkan Syamin. Teringat pula Syamin pada gurauan Arif beberapa hari lalu.

"Syamin jika aku pergi mana-mana, kau tengok-tengokkan ibu dan ayah aku, kau ni dah macam adik aku jadi bila aku tiada kau jaga diorang ya", tangisan yang tertahan menitis jua tatkala melihat Pak Cot Mak Dah dan ayahnya bersembang di anjung rumah banglo miliknya. Syamin telah menjadi usahawan berjaya dalam bidang pertanian membawa satu matlamat yang diamanatkan oleh sahabatnya Arif dan disempurnakan kerana dia begitu berhutang nyawa dengan Arif.

"Semoga kau tenang di sana, abangku..."

Nur Aizah
Karya: Nur Aizah binti Ramli


"Ayah...Sya...min.....em...sya.." Syamin tersekat-sekat untuk menuturkan sesuatu yang dihasratkan di dalam hati. Dia yang masih trauma pada kejadian semalam yang merentap seluruh keyakinan juga keberaniannya semasa bersemuka dengan Pak Awang. Tidak pula dia berani untuk memandang apatah lagi berkata lantang.


"Apa dia...Syamin...cakap sahajalah..ayah dah nak pergi kerja" kata ayahnya sambil memakai kasut. Pagi itu awal pula ayahnya keluar pergi kerja.

"Em...Syamin kena bayar yuran sekolah...dah lama tertunggak...cik....gu..." belum pun sempat dia menghabiskan kata-kata ayahnya memintas.

"Kan hari tu ayah dah beri duit pada Syamin", jawab Pak Awang. Matanya yang membulat merenung tajam pada Syamin.

"Ya, tapi ayah beri tak sepenuhnya masih berbaki RM50", ujar Syamin tertunduk-tunduk takut untuk melihat wajah garang Pak Awang. Misainya yang tebal, ditambah pula dengan tubuh yang tegap berdiri menggusarkan hati Syamin andai tersalah bicara.

"Tunggulah sehari dua lagi ayah dapat gaji ayah beri pada Syamin", begitulah alasan yang sentiasa didengar setiap kali meminta duit dari ayahnya. Belum pun sempat  Syamin bersalam, ayahnya berlalu pergi. Pilu hatinya tatkala ayah bertingkah sedemikian. Cemburu di hati bila melihat rakan-rakannya yang lain begitu mesra dilayan oleh ibu bapa mereka.

"Syamin.......Syamin......" panggilan itu mengejutkan fantasinya. Kelihatan dua susuk tubuh sahabat baiknya  datang untuk pergi ke sekolah bersama-sama.

"Ya, aku datang", jerit Syamin dari dalam rumah. Pintu dikunci, dia menumpang basikal dengan Arif. Jarak dari rumah dua kilometer, jika Arif keletihan dia pula yang akan mengayuh. Dingin suasana pagi itu, kabus jugamasih belum beranjak pergi, namun sudah kelihatan murid-murid sekolah dihantar ibu bapa.

"Min...kenapa kau tak datang ngaji semalam, kau sakit ke?", tanya Abu. Syamin masih diam, akalnya cuba mencari alasan supaya tidak diketahui sahabat

" a...ku, aku....sakit perut", ringkas Syamin menjawab.

"Ye ke, aku dan Abu dah risau kalau ayah kau belasah sampai kau tak boleh bangun pergi mengaji, apsal ayah kau marah sangat semalam", Arif berbalas tanya.

"Ayah aku marah sebab aku tak kemas rumah......eh.....hari ni subjek Cikgu Badrul kan, ada beberapa soalan yang dia beri aku tak jawab sebab tak faham, nanti kau ajarkan ya", Syamin mengelak daripada disoal lagi." Arif dan Abu berpandangan sesama sendiri mereka tetap tak berpuas hati, namun hasrat mereka untuk bertanya semula dibatalkan.

  Sesi persekolah berlangsung seperti kebiasaan, Arif, Syamin dan Abu berada di dalam satu kelas. Mereka mempunyai kelebihan yang tersendiri, Arif lebih bijak dalam matematik, Syamin menyukai subjek Bahasa Inggeris manakala Abu lebih pandai bermain kata-kata dan semestinya dalam subjek Bahasa Melayu. Hubungan mereka sangat akrab seperti adik beradik, kemana sahaja mesti bersama.

"Kringgg.....!!!!" Loceng rehat berbunyi, semua murid-murid berpusu-pusu ke kantin. Tidak pula bagi tiga sahabat ini, mereka akan sama-sama menjamah makanan yang dibawa dari rumah. Syamin tampak lebih malu untuk berkongsi dengan Arif dan Abu kerana dia sahaja yang tidak membawa bekal. 

"Min.....Minnn..." bergegas lari Ah Lim ke arah mereka menyebut nama Syamin.

"Ada apa Lim", tanya Syamin.

"Penolong kanan HEM nak jumpa kau, ada hal katanya dan dia minta kau segera berjumpa dengannya", jelas Ah Lim yang tercungap-cungap. Tanpa membuang masa Syamin berlari lari anak ke arah pejabat sekolah. Ah Lim, Abu dan Arif yang melihat mengerutkan dahi. Ah Lim memulakan bicara pada Arif dan Abu, wajah mereka seperti kaget pada kisah yang diceritakan Ah Lim. Loceng berbunyi tanda waktu pengajaran dan pembelajaran akan bermula. 

"Syamin tak balik pun lagi, aku rasa dia dah lama kat bilik pejabat, kau rasa dia dapat terima semua ni?", tanya Arif pada Abu. Abu hanya menggelengkan kepala, tiada kata yang dapat dilafazkan, hanya insan sekuat Syamin yang boleh melalui semua ini. Suasana kelas sunyi seketika pabila Syamin melangkah masuk, wajahnya tampak tenang. Dia mendekati Arid dan Abu.

"Aku kena balik sekarang", ujar Syamin.

"Tapi kenapa?", soal Abu dengan tiba-tiba.

"Ayah aku masuk hospital, jadi aku kena balik", Arif dan Abu menganggukka kepala. Syamin mengambil beg dan menggalasnya.

"Kau pergi dengan siapa ni?", tanya Arif.

"Cikgu Mashitah yang hantar", Syamin menjawab dengan wajah sudah memerah, dia semakin cuba menyembunyikab perasaan yang dialami meskipun sukar. Dia tidak mahu rakan karibnya terlalu bimbang pada nasib yang menimpa dirinya. 

"Jaga diri ya, lepas sekolah nanti kami ke sana", kata Arif. Syamin hanya merenung dan berlalu pergi. Redup matanya menahan rintik permata dari berguguran. 





Nur Aizah
Karya: Nur Aizah binti Ramli

"Dah tau kerja kat rumah ni banyak yang perlu diuruskan masih lagi nak keluar!!", gertak Pak Awang pada Shamin.

"Min keluar main kejap je, lagipun Min rasa bosan duduk di rumah, tak der kawan", Shamin menjawab dengan suara yang tersekat-sekat. 

   Serentak itu, tali pinggang yang dipakaikan Pak Awang ditanggalkan, Shamin yang memandang sudah tahu bahawa tubuhnya akan berbirat lagi, dia sudah lali dengan semua ini, ayahnya menjadikan dirinya tempat melepaskan geram. Meskipun, puas dirayu untuk menghentikan tetapi tidak diendahkan. Tika itu terdengarlah jeritannya yang menahan kesakitan.
  
"Ayah, sakit.....sakit......jangan buat lagi......sakit....Min....minta maaf", namun Pak Awang seperti orang yang pekak, tidak dapat mendengar rintihan dari anaknya. Akhirnya Shamin terkulai layu di atas lantai, dia hanya bisa berbaring kerana kepedihan itu tidak bisa mengenai lantai simen yang sejuk, nanti menjadi letih parah. Ayahnya yang melihat keadaan itu berlalu pergi keluar mungkin ke tempat biasanya di pondok dalam semak itu bermain kad sambil minum air yang memabukkan. Tika itu, mengalir deras air mata menuruni pipinya, dibiarkan mengalir dimanakah kasih sayang yang didambakan, siapakah yang menjadi pelindung padanya sekarang, lebih baik dia mengiku jejak ibu ke alam sana, biar ayah sendirian di sini supaya dia tahu akan peritnya rasa jika tidak berkasih sayang. 

"Ibu....ibu....kenapa tinggalkan Shamin. Ibu...Shamin nak ikut ibu, ibu tak sayangkan Shamin ke...Ayah tak macam dulu lagi, ayah dah tak sayangkan Shamin", tangisannya semakin menjadi-jadi. Senja mulai berangkat meninggalkan siang lalu malam menyinggah menghamparkan sejuta rasanya pada makhluk ciptaan Allah. Sesusuk tubuh yang keletihan masih dalam perbaringan, pintu rumah dikuak perlahan kedengaran derapan tapak kaki menghampiri tubuh itu, lalu dibelai-belai rambut anak itu dengan penuh rasa kasih, cintanya tidak dapat disampaikan sekadar mendoakan keselamatan semoga menjalani kehidupan yang sempurna. Disentuh lembut luka yang berbirat tadi, lalu menitis air matanya mengenai luka itu. Air jernih yang menitik itu, penyembuh pada luka yang terkesan pada tubuh Shamin.Shamin membukakan mata, terasa sangat luar biasa keadaan di sekelilingnya, kesakitan tadi tidak lagi terasa. 

    Sapu tangan warna biru lembut dalam genggamannya, itulah satu-satunya peninggalan dari ibu yang dia ada selain sekeping gambar yang terselit pada sebuah buku. Diciumnya sapu tangan itu, masih lagi terasa harumnya, seperti bau haruman yang ibu selalu pakai.

*****************************

      "Arif, cepat siap-siap..boleh kita jemaah maghrib bersama, lepas ni mengaji Quran", perintah Mak Dah. Arif yang baru pulang dari bermain bola segera masuk ke bilik air dan solat jemaah bersama ayah, ibu kakak dan abangnya. Selesai solat kedengaran ada suara yang memberi salam. Mak Dah segera ke muka pintu dan membukanya kelihatan beberapa orang anak-anak yang sebaya Arif datang ke rumah untuk mengaji, abu juga turut serta bersama. Pak Cot mengajar anak-anak mengaji pada setiap malam kecuali malam jumaat, memang tradisi sejak ayahnya meninggal Pak Cot yang diwariskan untuk mengajar anak-anak di kampung itu mengaji al-Quran.
     "Abu...Shamin tak datang mangaji ke malam ni", tanya Arif yang duduk bersebelahan Abu. Dia curi-curi bersembang dengan Abu sambil ayahnya mengajar murid yang lain.
       "Aku lalu depan rumah dia gelap sahaja, aku ingatkan dia dah datang sini", jelas Abu.
    "Aku rasa bapak dia tak kasi dia datang la, sebab petang tadi la.....takpun......" belum sempat Arif menghabiskan kata-kata, ayahnya telah memanggil untuk diperdengarkan bacaan. 
      Anak-anak mulai beransur pulang ke rumah masing-masing, tinggal Abu sahaja yang masih lagi bersembang dengan Arif. Mereka tidak berpuas hati terhadap Shamin, ada sesuatu yang telah berlaku padanya, Adakah dia dibelasah begitu terus oleh Pak Awang atau Pak Awang telah berbuat sesuatu yang buruk padanya. Mereka berteka sesama sendiri.
       "Arif...kenapa Shamin tak datang malam ni, dia sakit ke...petang tadi ayah tengok dia sihat sahaja?", tanya Pak Cot yang menyedari ketiadaan Shamin. Arif menjelaskan segala yang berlaku, Pak Cot yang mendengar menggelengkan kepala, rasa simpatinya pada Shamin.  Meskipun bukan anaknya sendiri tetapi umur Shamin yang sebaya dengan anak bongsunya itu telah dianggap sebagai anak sendiri. 
        "Semoga Allah SWT melindungi Shamin, amin....., Arif, Abu,...esok kamu pergilah tengokkan Shamin, bimbang juga jika terjadi sesuatu padanya", Arif dan Abu yang mendengar menganggukkan kepala.

Nur Aizah
Karya: Nur Aizah binti Ramli




"Orang tu datang lagi ke?" tanya Shamin sendirian. Arif yang memandang penuh dengan soalan yang hendak diajukan.


"Orang mana Shamin, kenapa diorang selerakkan rumah kau?" Arif menyoal Shamin. Shamin diam sahaja, dia hanya tunduk merenung kertas yang memenuhi ruang tamu.

"Shamin aku tanya ni, jawablah", Arif memegang bahu Syamin dan meneruskan lagi pertanyaan itu. Shamin masi lagi membisu, dia menyandarkan tubuh pada dinding dan duduk terjelopok di lantai rumah. Arif membiarkan Shamin berkeadaan sedemikian, mungkin Shamin hendak mencari mulanya cerita itu.

"Ayah aku,...dia ada berhutang dengan beberapa orang Cina, aku pun tak tahu siapa, selalu juga aku tengok diorang datang marahkan ayah aku bila aku tanya ayah, ayah cakap tak der apa apa. Aku pasti ayah menyembunyikan sesuatu dari aku", jelas Shamin.

"Ayah kau berhutang?Sebab apa pula? Bukankah pendapatannya sebagai pengawal keselamatan sudah cukup untuk menampung kehidupan kau sekeluarga?" Arif ingin tahu.

"Sejak ibu aku meninggal tahun lepas, hidup ayah dah tak menentu kadang-kadang balik rumah, kadang tak balik aku tak tahu ke mana dia pergi, tinggalkan aku seorang diri, aku sunyi tiada orang yang nak aku luahkan perasaan", Shamin bersedih dan hampir menangis.

"Sabar ya Shamin. aku akan tolong kau", Arif menepuk-nepuk belakang Shamin untuk menenangkannya.

"Tapi bagaimana?" soalan itu membuatkan Arif kelu. Betul juga tanya Shamin itu bagaimana dia mahu menolong, padahal dia juga tidak tahu dari mana hendak mula.

"Kau tahu, setiap masalah ada jalan penyelesaiannya, kita sama-sama cari idea untuk selesaikan, marilah kita kemaskan rumah kau ni dulu, nanti kau ikut aku kita sama makan kat rumah aku ya" pujuk Arif.Dua sahabat itu bergotong royong mengemaskan rumah, sekejap sahaja telah selesai. Maka, berjalanlah mereka untuk menjamu selera di rumah, Shamin berhenti.

"Kenapa Shamin, kau tak kunci pintu ke?", tanya Arif.

"Aku malu la nak pergi rumah kau, nanti apa pula kata orang tua kau..",jawab Shamin dengan merendah diri.

"Shamin, aku sangat berkecil hati jika kau tak nak ikut aku makan di rumah", Arif cuba mempengaruhi Shamin. Puas dipujuk akhirnya mereka sampai juga ke rumah. Pak Lang yang tiba sedari tadi sedang berehat-rehat di hadapan rumah.

"Arif kau pergi mana?" tanya ayah sambil diperhatikan ibu. Arif hanya tersengih-sengih dan memanggil ibu ke dapur. Tangan Shamin dipimpin bersama. Dijelaskan segalanya pada ibu, ibu sangat bersimpati. Disiapkan segala makanan untuk Arif dan Shamin jamah. Sungguh berselera Shamin makan, mungkin juga tidak pernah merasa lauk sesedap itu tidakpun, sudah lama tidak merasa air tangan seorang ibu. Arif sayu melihat keadaan Shamin, dia rasa sangat bersyukur kerana masih dikurniakan keluarga yang lengkap dan bahagia. Selesai makan dua sahabat itu hilang entah ke mana. Belum pun sempat Mak Dah berpesan supaya diminta ayah Shamin datang ke rumah.
   *****************************
   Mereka menuju ke padang bola sepak, rutin harian di waktu petang. Sambil menunggu Abu, Ah Lim dan Chandran, mereka berehat-rehat di bawah pohon ketapang yang tumbuh merendang di atas padang. Berbaring keduanya sambil melihat kepulan awan yang pelbagai bentuk.

"Shamin, kau rasa kan besar nanti kau nak jadi apa ya?" tanya Arif sambil.

"Aku nak jadi pilot, boleh bawa kapak terbang", tangannya diletakkan di udara sambil meluncur seperti kenderaan itu. 

"Kalau aku nak jadi.......", belum pun sempat menghabis kata-kata terjahan daripada Abu, Ah Lim dan Chandran kedengaran memekik di telinganya.

"Berangan ye", agak Chandran.

"Terkejut la korang ni tak boleh ke datang sopan-sopan, ni tak main sergah je mahu terbang nyawa aku tadi", marah Arif. Serentak itu kawan-kawannya ketawa.

"Jomlah main", ajak Ah Lim. Arif yang marah tadi disejukkan hatinya pada ajakan Ah Lim. Angin yang bertiup membuatkan mereka tidak letih untuk bermain. Tiada masalah yag difikirkan selain untuk berseronok. Bola disepak sekejap ke tengah padang, sekejap ke luar padang. Terdengar juga pekikan dan gelak tawa Abu yang suka berjenaka membuatkan mereka tidak kering gusi. Dari kejauhan kelihatan sesusuk tubuh menghala laju ke arah mereka.

"Shamin.....Shaminn!!!....Balik!!", jerit Pak Awang dengan ranting kayu di tangan. Shamin yang terkejut pada panggilan itu hanya kaku di atas padang. Tangannya direntap kasar. Ranting yang dipegang tadi, sempat dilibas pada betis Shamin, menjerit dia kesakitan. Sahabat lain yang melihat seperti dipaku pada libasan itu. 

"Pak Cik....." Arif tiba-tiba menjerit memanggil Pak Awang supaya perbuatannya itu dihentikan segera.

"Kau diam!!!..." Pak Awang terus membawa Shamin pulang ke rumah. Entah apa yang dilakukan pada Shamin. Risau di hati Arif bertandang kembali, gelisah kiranya sahabatnya itu dibelasah teruk oleh Pak Awang.