Nur Aizah
Karya: Nur Aizah binti Ramli

Aku antara aksara warta mayapada,
Jika aku menjadi watak cerita,
Pasti aku ada,
Sudah puas aku berdiri ,
Melawan yang dikeji,
Memendam karya yang termuatkan rasa,
Aku mudah goyah ,
Dalam ayat aku sendiri.

Aksara warta selalu menipu,
Aksara warta kerap mencela,
Apa yang ditulis,
Bukanlah yang dirasa,
Tapi mampukah aku menukar sebuah cerita,
Menjadi cerita Bidadari Syurga,
Kurunglah aku ,
Rantailah aku,
Supaya mati nafsuku,
Tegak imanku,
Untuk hidup dalam sebuah cerita,
Cerita yang hanya sedetik di hujung masa.
Nur Aizah
Ditulis oleh: Nur Aizah binti Ramli

       Perubahan sering berlaku dalam diri kita. Baik perubahan dalaman mahupun perubahan luaran kedua-duanya membawa erti suatu proses menukarkan keadaan sedia ada kepada keadaan yang baharu. Pengaruh daripada pelbagai medium menjadi pendorong kepada transformasi perubahan diri.
      Perubahan yang positif membawa manfaat kepada diri kita, tetapi perubahan yang negatif pasti akan membawa kecelakan kepada diri. Semakin bertambah umur semakin banyak perubahan yang dilihat berlaku di depan mata. Mengapa kita harus terikut-ikut dengan cara orang lain, sedangkan cara kita adalah lebih baik. Mengapakah kita mengenepikan budaya yang baik? Suka pula untuk mengagungkan budaya yang jelik, yang tidak tertelan oleh santapan deria.
      Justeru, pakailah pakaian yang sejuk mata memandang, bertuturlah dengan bahasa yang bersantun moga terdidik hati orang yang mendengar kata-kata bermanfaat. Hargailah nikmat yang diberi sementara, semuanya bukan milik kita. Malulah kepada-Nya kerana kita hanya meminjam dari-Nya untuk seketika sahaja, apabila cukup masa tiada lagi untuk kita kerana semua telah dikembalikan semula kepada yang Maha Esa.
     
INGATLAH aku dan kamu: Pandangan pertama manusia adalah pada luaran. Memanglah pakaian adalah peragaan manusia semata-mata, tetapi dalaman kita semestinya  lebih baik daripada apa yang kita pakai.

Pakai yang sopan, menutup aurat,
Penyejuk mata penghalang musibah,
Panduan diberi untuk beringat,
Ke arah yang baik, kita perlu berubah. 
Nur Aizah
Oleh: Nur Aizah binti Ramli

      Kehidupan yang serba mencabar menuntut manusia untuk berfikir secara waras. Namun, hal ini perlu diseimbangkan dengan emosi yang positif. Mudahlah untuk disebut 'sabar', namun untuk melalui perkara tersebut adalah sesuatu yang menyakitkan. Merenung dan berfikir tentang apa yaang telah kita lakukan seharian dapat menyedarkan hati yang alpa dan akal yang leka. Masa yang paling sesuai muhasabah diri adalah sebelum tidur. Terlalu banyak yang tersirat di sini. Bukan untuk diluah bulat-bulat , tapi untuk cermin hati bagi diri. Apakah kita terlalu mulia untuk membenci orang lain? Apakah juga kita sentiasa benar dalam aliran pemikiran sendiri? Renungkan...Perasaan adalah perkara yang tidak statik, bahkan sering berubah ubah. Baca situasi di bawah.

Hati: Sampai hati mereka berbuat demikian pada aku.
Akal: Tidak mengapa, usahlah ambil hati. Sabar...
Hati: Lepas ni aku tak nak ambil peduli tentang mereka.

        Situasi demikian yang mencambahkan rasa dendam yang bersarang di hati, dan jika dibiar melarat akan menjadi istana syaitan untuk mengapi-apikan manusia. Saya ini bukanlah telalu bagus untuk memberikan nasihat, sedangkan diri ini kerap melakukan dosa, cuma perkara yang boleh diingatkan, sebaiknya dikongsi dengan orang lain. 


"Befikirlah satu abad untuk memberi manusia yang lain rasa sakit kerana kesakitan itu akan kembali semula pada tuannya apabila dia lupa diri. Rasa sakit yang pedih adalah rasa sakit di hati." -Nur Aizah Ramli-
        
Nur Aizah
Karya: Nur Aizah binti Ramli

Tika bayu menyapa mesra,
Aku tidak berasa bahagia,
Entah hati diruntun bara,
Ditiup angin bertambah menyala,
Mengapa demikian terjadi ia?,
Ampuh iman tak dapat bertahan,
Apa yang ada salah belaka,
Bukankah ada jalan  bercahaya?

Salahkan sesuatu bukanlah aku,
Jiruskan air tambahkan sabarku,
Bara jangan dibiar melata,
Kelak terbakar seluruh jiwa,
Tenangkan segumpal daging yang merah,
Jangan hancur dimamah amarah,
Itu semua punca berbalah ,
ucaplah satu kalimah,
sejukkan hati tiada gundah,
Astaghfirullahal A'zim.
Nur Aizah
Karya: Nur Aizah binti Ramli

            Kekusutan yang datang menyergah ruang fikiran mendesak Puan marina berbuat demikian. Lia dan Azrul menemui Puan Marina dalam keadaan tidak sedarkan diri apabila dia tekad untuk membunuh diri sendiri. Namun, Puan Marina masih terselamat kerana tidak sempat untuk menggantung diri pada tali di kipas syiling, dan hanya terjatuh dari atas kerusi.

‘Sanggup ibu buat begitu? Mengapa ibu? Ibu dah tak sayangkan Lia ke?’, tanya Lia  bertubi-tubi.

‘Ibu jika ada masalah sekalipun, janganlah buat begitu. Kami anak-anak ibu. Ibu boleh luahkan perasaan kepada kami. Kami sangat sayangkan ibu’, rintih Azrul.

            Puan Marina hanya menitiskan air mata. Namun, kejernihan air mata yang mengalir di pipi tidak mampu untuk menceritakan masalah yang tersimpul mati dalam ruang fikirannya.

‘Ceritakanlah pada kami ibu’, pujuk Lia dengan suara yang memujuk.

‘Keluar dulu nak, ibu nak berehat’, pinta Puan Marina.

            Serentak itu pintu bilik terbuka. Ayah mereka meluru masuk ke dalam wad. Dia seperti dalam keadaan yang tergesa-gesa segera mendapatkan Puan Marina.

‘Rina tak apa-apa ke?’, tanya Encik Malik pada isterinya.

            Azrul  dan Lia meminta diri untuk keluar dari bilik dan memberi peluang kepada ibu dan ayah mereka untuk berbual.

‘Kring’, telefon Lia berdering.

Lia segera mengangkat.

“Ha, sekarang dah puas tengok ibu kau? Itu baru sikit Lia. Ada yang lebih dasyat akan menyusul selepas ini’, ugut lelaki misteri.

‘Kau beritahu aku sekarang apa yang kau nak’,soal Lia

‘Kan aku dah cakap aku nak kasih sayang ibu kau. Itu pun aku nak kena ajar ke. Belajar tinggi pun, tak berguna juga kau ni’, lelaki misteri itu melepaskan tawanya di hujung telefon.

‘Kau nak aku buat apa?’, tanya Lia

‘Aku nak jumpa kau’, balas lelaki misteri

‘Di mana?’, tanya Lia

‘Esok aku akan beritahu’jawab lelaki itu

            Lelaki misteri terus meletakkan telefon.
***
‘Sudahlah, jangan diganggu lagi budak-budak tu. Mereka dah ada hidup masing-masing. Sepatutnya kau bersyukur ada yang menjaga Si Lia tu’, nasihat Mak Long kepada Lokman.

‘Anak saya. Hak saya. Saya nak balik’, kata Lokman

‘Tapi dulu kau yang beri’, pintas ibu  saudara Lokman

‘Itu dulu, tapi sekarang saya dah berubah. Saya nak hidup bersama mereka semula’ jawab Lokman

‘Fikirlah baik-baik’ nasihat Mak Long.

            Lokman merenung jauh ke luar tingkap. Dia melihat ada beberapa orang anak kecil sedang bermain-main di laman rumah. Tiba-tiba terlintas dalam ruang khayalan wajah Lia yang leka bermain mainan patung Barbie yang dibeli semasa hari lahir anak perempuannya itu. Lokman berasa kekayaan yang dimiliki tidak bererti tanpa kehadiran insan yang disayangi. Dia mahu kembalikan saat itu semula, namun bagaimana.

“Saya akan dapatkan semula dari Malik’, tegas Lokman.
Nur Aizah

Karya: Nur Aizah binti Ramli

           Lia merenung di hadapan kaca televisyen. Drama telenovela yang ditonton seperti terlakar kisah hidup dirinya. Lia berkhayal dalam dunianya sendiri mencari suatu kepastian yang masih bersembunyi di celah kekaburan kabus semalam.
          Gadis itu memikirkan kata-kata Auntie Sarah yang seakan menyindir dirinya dan ibu.

“Lia dan ibu masih belum faham keadaan keluarga ini. Hidup Lia dan ibu tak sama dengan kehidupan kami", kata Auntie Sarah.

“Kring….”…telefon berdering.

          Telefon rumah yang berdering tidak pun diangkat. Lia membiarkan bunyi itu berlalu bersama fikirannnya yang terbang melayang.

“Assalamualaikum”, Puan Marina mengangkat ganggang telefon.

          Suara itu mengejutkan Lia. Lia memandang ke arah ibunya. Lain benar wajah Puan Marina semasa bercakap. Dia seakan memendam perasaan benci, sebak dan sebagainya. Lia segera mendapatkan ibunya.

“Kenapa ibu?”, soal Lia.

“Tiada apa-apa”, jawab ibunya.

“Mengapa akhir-akhir ni Lia tengok ibu dah lain. Selalu termenung. Apa yang ibu fikirkan?”,

          Puan Marina tidak dapat menahan rasa yang terbuku di dalam hati. Dia terus masuk ke bilik tanpa sempat dikejar Lia. Lia membiarkan ibunya bersendirian. Azrul yang berselisih dengan Puan Marina terkejut melihat keadaan ibunya.

"Kenapa dengan ibu?”, tanya Azrul kepada Lia.

“Entah la, lepas ibu cakap dengan seseorang melalui telefon. Ibu terus jadi macam tu." jawab Lia

“Ibu ada masalah tu”,Azrul mengagak.

“Kring”, telefon berdering lagi.

          Pada kali ini, Lia pantas menjawab bunyi telefon yang berdering itu. Belum pun sempat Lia bercakap, suara dari telefon kedengaran.

“Dah fikir masak-masak. Pilih antara dua”, tegas lelaki itu.

“Hei, ni siapa?”,tanya Lia

“Ooo..kau ni Lia kan. Anak si pemungut kasih tu. Mak dan anak sama saja”,sindir suara misteri.

“Siapa kau ni? Apa yang kau mahu dari ibu aku?”soal Lia.

“Tak lebih dari kasih sayang ibu kau yang aku nak”, balas lelaki misteri.

“Ei, tak tahu malu. Entah kuman dari mana kau ni. Nak ambil ibu aku pula. Kau boleh jalan la. Sekali lagi kau ganggu ibu aku….”, ugut Lia.

“Jangan kurang ajar dengan aku. Baiklah sekarang kau dah cabar aku kan.”marah lelaki misteri

“Kau nak buat apa. Aku tak takut la”, jawab Lia

          Lelaki itu meletakkkan telefon. Lia tersentak kerana dia belum puas melepaskan amarahnya yang meluap-luap itu.

“Siapa tu akak?”,tanya Azrul

“Dia tak beritahu. Sakitnya hati!”,jawab Lia yang geram.

“Dia ada ugut apa-apa tak akak?”soal Azrul.

          Lia mundar mandir di ruang tamu. Dia sedang mencari jalan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Tiba-tiba kedengaran bunyi kuat benda yang terjatuh. Bunyi itu datangnya dari bilik atas. Lia dan Azrul segera berpandangan sesame sendiri. Fikiran mereka adalah pada Puan Marina. Mereka segera berlari ke tingkat atas. Pintu bilik dikunci.

“Ibu! Ibu!, jerit Azrul dan Lia.

          Azrul berlari ke bawah mengambil kunci pendua. Setelah pintu dibuka alangkah terkejutnya dua beradik tiri itu apabila melihat ibu mereka terbaring di atas lantai dengan mata yang terpejam. Meluru dua beradik mendapatkan ibu mereka.
Nur Aizah


Karya: Nur Aizah binti Ramli

Sepatah kata,
Semahal ilmunya,
Semulia insan,
Sebaik dirinya.

Seperti diriku,
Cuba menjejak,
Cuba meneka,
Dalam ruang sempit,
Aku membolos diri,
Mencari ilmu padanya,
Duhai guru ajarkan aku,
Ilmu mendidik hati yang lara,
Agar tenang jiwaku sentiasa,
Terlepas dari buruan dunia.