I made this widget at MyFlashFetish.com.

Nur Aizah
Karya: Nur Aizah binti Ramli




Aku lelah di muka pintu, kilat menyuluh tubuhku, lalu terbentuk bayang-bayang di hadapan yang bermain perasaan denganku. Guruh meretak di dada langit seperti memberi ingatan buatku. Ruang itu dapat kulihat  berkelip-kelip. Imej yang berbayang menjadi persoalan, adakah ini tarikh keramat dalam hidup?

Aku menoleh ke belakang. Masih kelam, masih kejam, mereka masih meribut mencari aku. Aku memaksa kaki untuk melangkah masuk ke dalam rumah kerana kerakusan malam hampir dapat mengejarku. Pintu ditutup dan dikunci. Mata yang kecil dibesarkan, Empat indera lain mula digunakan sepenuhnya. Aku terpinga-pinga, di dalam gelap aku cuba mencari haluan.

            Pada saat ini aku tidak percaya pada sesiapapun. Mungkin pada rumah yang sebuah ini dapat aku tumpahkan kepercayaan. Walau tidak berbicara, barangkali dapat menyimpan rahsia sementara siang menjelang tiba. Aku membetulkan posisi berdiri dan bersandar di dinding rumah.

“Selamat…” Aku menarik nafas lega.

            Aku berharap mereka tidak menjumpaiku. Tubuh yang luka ini tidak mampu lagi bergerak jauh. Aku duduk di atas lantai konkrit dengan tubuh yang dibasahi peluh dan darah. Fikiran mula melayang teringatkan Yon yang mungkin telah menjadi taruhan.

'Yon, aku harap kau selamat' Doaku di dalam hati .

Kini keletihan mula melingkungi seluruh otot kaki dan tangan. Semakin diurut bertambah sakit.

“Aduh!”

Hampir terkeluar air mata apabila tempat luka yang aku urut. Perbuatan binatang itu ternyata meracuni isi dagingku.

            Aku cuba berdiri berdekatan dengan jendela, cahaya yang samar-samar dari kilat menyuluh kaki kiri aku yang luka. Besar juga torehan di bahagian betis. Aku cuba mencari sesuatu untuk membalut luka. Sesekali aku menjeling di laman rumah yang meragukan. Mataku tertarik pada garaj yang masih kukuh kedudukannya, tetapi ada objek yang bergerak di situ seperti benda hidup. Aku mengetap bibir. Tubuh yang sakit ini segera aku sembunyikan bimbang jika binatang itu dapat menghidu aku. Belum sempat menyandar di tepi dinding, kelihatan sesusuk tubuh yang besar dengan wajah yang hitam merenung tajam ke arahku. Dia mencekik leherku sehingga kedua-dua kakiku tidak mencecah ke lantai. Nafas ini terasa sesak.

            “Tolong, lepaskan aku.” Aku merayu dengan suara yang tersekat-sekat.

            Aku terkapar-kapar kelemasan cuba bernafas, tiba-tiba kaki aku disentap.

            “Za, bangun. Za, Za!”

            Aku terkejut lantas bangun dari lamunan.

            “Astaghfirullah hal a’zim” ucapku.

            Yon berada di sebelah aku dengan tuala di atas kepalanya.

            “Apa kena dengan kau ni? Terpekik terlolong? Sekarang kau pergi mandi, lagi 20 minit pukul 8 pagi.” Arah Yon.

            “Dah tu kenapa?”Aku hairan.

            “Ish budak ni. Eh, kau tu ada pembentangan. Kenalah awal sampai ke bilik kuliah. Ini untuk markah kau juga.” Leter Yon.

            Aku melompat turun dari katil. Aku mula menggelabah mencari tuala dan terus menuju ke bilik air. Air diratakan sekali lalu sahaja, kemudian aku terus menyarungkan pakaian. Aku berlari ke bilik kuliah, Yon aku tinggalkan di belakang. Dia faham dan memang menyuruh aku segera sampai ke sana.

            “Kreek” pintu kuliah dibuka.

            Di saat itu aku terkejut melihat semua orang memandang aku. Aku meneliti jam di tangan yang masih berbaki 5 minit sebelum pukul 8 pagi, tapi aku kuatkan hati untuk masuk dalam bilik kuliah.

            “Maaf saya terlambat” ucapku pada seluruh kelas.

            Suasana senyap. Semua terpinga-pinga dan ada juga sampai mulut ternganga.

            “Awak pelajar saya?” Tanya Puan Katijah.

            Aku diam, mataku liar mencari Sara, Intan dan yang lain. Sekali lagi aku berkhayal, tersalah masuk bilik kuliah. Malu, malu, malu. Aku keluar perlahan-lahan sambil tersengih-sengih macam kerang busuk.

            'Semalam kelas aku macam di situ. Kenapa hari ni lain pula?'Tanyaku sendirian.

            Aku berjalan pantas meneka bilik kuliah. Dari tingkat bawah sampai tingkat atas. Telefon bimbit aku ambil dari dalam beg. Butang pada kekunci ditekan.

            “Helo, Sara. Kelas Doktor Imran di bilik kuliah mana?” Soalku.

         “Kau tak tahu? Kuliah hari ni dibatalkan sebab Doktor Imran cuti sakit.” Jawab Sara dengan bersahaja.

            Aku meletak telefon. Rasa seperti hendak menggigit telinga Sara dari dalam telefon. Mengapa dia tak maklumkan pada aku padahal bilik Sara dan aku hanya bersebelahan sahaja?

             “Huh!”Aku mendengus kasar lalu mencari haluan untuk pulang ke kolej kediaman.
Nur Aizah

Karya: Nur Aizah binti Ramli


            Aku bangun awal, tidak seperti sebelum ini sebab aku tidak mahu tertukar kelas lagi.Aku menuju ke makmal, dan terpandangkan Sara yang turut menuju ke muka pintu.

            “Sabar, sabar” ujarku perlahan.

          Semua rakanku masuk di dalam kelas. Puan Mariam mengarahkan kami membuat eksperimen mengkaji struktur badan tikus yang dibedah.

Mula-mula, aku memang geli. Eksperimen ini adalah untuk tujuan aku tetap teruskan juga. Mata dibiar tertutup. Nafas yang sesak dipandu supaya kembali normal. Keadaan ini dapat meredakan emosi itu.

Tiba-tiba…Aku kembali ke alam kelam, sambungan episod semalam

            Aku di dalam sebuah bilik gelap. Tidak segaris cahaya dapat kulihat selain semuanya hitam belaka. Aku tidak tahu untuk bergerak ke mana-mana, Aku menyambar suatu lintasan cahaya putih di balik kegelapan itu.

            “Krakktum!” Bunyi guruh mengusik perasaanku.

            Jantung ini berdegup kencang. Apakah kisah yang bakal mengundang aku ini? Adakah aku watak utama dalam mimpi yang berepisod ini.

            Menerusi deria sentuh aku meraba-raba di sekeliling. Sesuatu yang keras dan rata. Ramalanku, itu adalah dinding. Aku semakin lega kerana aku mungkin berada di sebuah bangunan dan berasa akan selamat di sini. Tanganku terasa menyentuh sesuatu yang berlekuk-lekuk seperti suatu ukiran. Aku mengagak itu adalah bingkai gambar yang besar.

            Kakiku semakin berani untuk melangkah begitu juga tangan yang laju meraba mencari suis. Selalunya suis ada dekat dengan pintu.       
  
             “Ha, dah dapat!”

            Aku menekan semua suis yang ada di situ. Hatiku bernyanyi suka.

            “Ish, kenapa tak menyala lampu ni?”

            Barangkali elektrik terputus akibat hujan lebat tadi. Tiba-tiba aku terdengar bunyi.

“Kreekk”

Seperti bunyi daun pintu yang dibuka. Derapan tapak kaki masuk ke dalam ruang itu. Aku diam dan menahan nafas. Dari tapak kaki itu aku merasa tidaklah besar orang itu, tetapi yang menyeramkan bunyinya menyeret sesuatu begitu mendebarkan. Tiba-tiba suatu cahaya kecil kelihatan dari arah tapak kaki itu. Bunyi seperti geseran mancis. Peluh berjerau turun membasahi dahi. Sekarang kelihatan cahaya yang kecil besar sedikit. Dia memasang api pada pelita. Aku dapat melihat sedikit rupa tubuh lembaga itu seperti seorang lelaki yang bertongkat. Aku meneliti rupa wajahnya. Kemudian, dia terus memandang. Lama dia merenung kemudian terus berlalu pergi.

“Siapa orang itu? Mengapa dia tidak menegur aku? Ish kat mana aku sekarang ni?” Bertubi-tubi soalan terlafaz dari bibir ini.

Dipengaruhi rasa ingin tahu aku bergerak ke laluan orang tadi. Perlahan-lahan aku berjalan.

“Aduh!” Aku terjatuh.

Entah apa yang menyekat laluanku tadi. Aku bangun kembali. Tiba-tiba ruang yang gelap menjadi terang benderang. Mataku berpinar-pinar menelan cahaya yang masuk ke dalam mata. Beberapa kali mata aku terkedip-kedip membetulkan pandangan yang kabur. Aku memerhati dari sudut pintu keseluruhan bilik. Bagai hendak tersembul biji mata ini melihat segala perkakasan bilik beserta kejadian di dalamnya.

“Astaghfirullahal a’zim”

Ini bukanlah sebuah bilik tetapi tempat kurungan yang memuatkan segala alatan tajam. Benda yang menghalang laluanku tadi adalah rantai besi yang besar. Kesan-kesan darah pada alatan merisaukan aku.

‘Mengapa aku boleh berada di sini? Adakah aku adalah mangsa atau hanya sebagai pemerhati dalam cerita. Aku mahu keluar dari sini, tetapi bagaimana?'

“Tolong!”Jeritanku puas mungkin boleh didengari seluruh bangunan.

“Zaitun!!!” Jeritan itu memanggil namaku tetapi siapa.

Aku membuka mata. Seorang merenung aku dengan wajah seperti hendak mengaum.

“Zaitun, apa halnya ni?!” Tanya wanita itu dengan lembut.

“Maafkan saya” jawapan ringkas dariku.

Serentak itu, kedengaranlah hilai tawa rakan-rakan yang seronok melihat gelagat aku tadi. Sebab itulah aku digelar Minah Khayal. Suka berkhayal, kali ini aku memang malu. Malu untuk kali yang kedua. Kemudian, mereka bersurai kembali ke tempat masing-masing menyambung tugasan.

Aku tersipu-sipu menahan rasa malu . Terasa seperti diintai oleh sejuta mata dari mikroskop. Puan Mariam berada dekat dengan aku, dia seperti sedang menyukat arah tumpuan fikiran yang telah kabur.Pisau kecil di atas meja kembali dipegang dan aku mula fokus pada tugasan eksperimen.

“Hei manusia, kalau nak bedah aku, cepatlah!” suara halus berbisik padaku

            Gerak hatiku sedang membaca sesuatu. Apakah itu suara rakan, atau suara Cik Siti( tikus). Aku menggelengkan kepala dan menafikan semua kejadian itu.

            ‘Binatang ini berkata-kata? Ish mengarutlah’ hatiku berkata-kata.

            “Penakutlah kau ni. Buatlah betul-betul” sindir suara halus itu kepadaku.

            ‘Baiklah ini kali kedua. Jika kali ketiga…”

            “Jika kali ketiga kau tak bedah aku. Aku akan gelar kau penakut. Tubuh besar hati kecil” sindiran tadi disertai dengan hilai tawa yang didengar.

            “Ish aku ni kena penyakit skizophernia ke? Kenapa boleh dengar suara-suara yang pelik ni?”

            Aku cuba kuatkan hati untuk tidak mempedulikan kata-kata tadi dan meneruskan pembedahan ke atas haiwan putih itu. Selesai sahaja penilaian dibuat, aku duduk berteleku sendirian di ruang legar hadapan perpustaan. Hari ini aku lebih banyak mendiamkan diri semuanya sebab kejadian aneh yang menimpa aku. Mungkin itu semua adalah monolog aku dengan diri aku sendiri.  Tiba-tiba aku terdengar percakapan dari sudut kolam:

            “Kecil sungguh dunia di dalam kawasan ini. Perkara yang sama setiap hari. Teringin pula hidup di tasik…”

            “Merungut sahaja awak ni. Bersyukurlah dengan apa yang kita ada. Lagipun manalah kita mampu untuk pergi ke sana melainkan seluruh tempat ini ialah air.”

            “Tapi saya teringin…”

            “Sudahlah. Jangan bersedih”

            Sungguh terkejut hatiku ini pabila suara si makhluk itu dapat aku dengari. Aku mendekati kolam dan melihat ikan-ikan kap yang berenang-renang”

            “Ikan boleh bercakap” spontan aku bercakap.

            Tiba-tiba kesemua ikan mengalihkan tubuh mereka ke arah aku dengan mata yang menjegil dan tidak berkelip. Aku terkedu dan segera bangun berlari meninggalkan kawasan itu.

            ‘Apa yang dah jadi dengan aku? Adakah ini suatu kelebihan atau musibah?’

            Langkah kakiku kian pantas meninggalkan bunyi-bunyi alam yang berbisik berbicara tentang sesuatu. Aku semakin keliru. Dari berlari anak aku berlari laju.

            “Aduh!” Aku terlanggar sesuatu yang besar.

            Objek yang aku langgar tadi turut jatuh. Aku membetulkan posisi tubuh dan memandang orang di hadapanku. Dia berbaju putih.

            “Eh, Doktor Imran. Maafkan saya, saya tidak sengaja” ucapku.

            “Lain kali-hati-hati, Mengapa awak tergesa-gesa?”

            “Tiada apa-apa?”

            “Awak masih dengar suara-suara halus itu?”

            “Bagaimana doktor tahu?”

            Doktor Imran hanya tersenyum dan aku masih terpaku keliru. Aku menggaru-garu kepala. Aku terus berjalan. Di ruang kaki lima itu ada tersedia suatu ruangan papan kenyataan yang memuatkan beberapa gambar. Aku melihat satu per satu. Mengapa semua orang di dalam gambar memakai baju yang sama berwarna hijau? Aku melihat keadaan di sekeliling berubah. Mereka juga memakai baju berwarna hijau dan hanya beberapa sahaja yang berwarna putih. Akalku kian memperoleh kesimpulan tatkala melihat pakaian yang dipakai olehku memberi tafsiran pada suatu kehidupan dan pemurnian jalan hidup yang perlu disegarkan semula.
-TAMAT-
Nur Aizah
Karya: Nur Aizah binti Ramli

Aku antara aksara warta mayapada,
Jika aku menjadi watak cerita,
Pasti aku ada,
Sudah puas aku berdiri ,
Melawan yang dikeji,
Memendam karya yang termuatkan rasa,
Aku mudah goyah ,
Dalam ayat aku sendiri.

Aksara warta selalu menipu,
Aksara warta kerap mencela,
Apa yang ditulis,
Bukanlah yang dirasa,
Tapi mampukah aku menukar sebuah cerita,
Menjadi cerita Bidadari Syurga,
Kurunglah aku ,
Rantailah aku,
Supaya mati nafsuku,
Tegak imanku,
Untuk hidup dalam sebuah cerita,
Cerita yang hanya sedetik di hujung masa.
Nur Aizah
Ditulis oleh: Nur Aizah binti Ramli

       Perubahan sering berlaku dalam diri kita. Baik perubahan dalaman mahupun perubahan luaran kedua-duanya membawa erti suatu proses menukarkan keadaan sedia ada kepada keadaan yang baharu. Pengaruh daripada pelbagai medium menjadi pendorong kepada transformasi perubahan diri.
      Perubahan yang positif membawa manfaat kepada diri kita, tetapi perubahan yang negatif pasti akan membawa kecelakan kepada diri. Semakin bertambah umur semakin banyak perubahan yang dilihat berlaku di depan mata. Mengapa kita harus terikut-ikut dengan cara orang lain, sedangkan cara kita adalah lebih baik. Mengapakah kita mengenepikan budaya yang baik? Suka pula untuk mengagungkan budaya yang jelik, yang tidak tertelan oleh santapan deria.
      Justeru, pakailah pakaian yang sejuk mata memandang, bertuturlah dengan bahasa yang bersantun moga terdidik hati orang yang mendengar kata-kata bermanfaat. Hargailah nikmat yang diberi sementara, semuanya bukan milik kita. Malulah kepada-Nya kerana kita hanya meminjam dari-Nya untuk seketika sahaja, apabila cukup masa tiada lagi untuk kita kerana semua telah dikembalikan semula kepada yang Maha Esa.
     
INGATLAH aku dan kamu: Pandangan pertama manusia adalah pada luaran. Memanglah pakaian adalah peragaan manusia semata-mata, tetapi dalaman kita semestinya  lebih baik daripada apa yang kita pakai.

Pakai yang sopan, menutup aurat,
Penyejuk mata penghalang musibah,
Panduan diberi untuk beringat,
Ke arah yang baik, kita perlu berubah. 
Nur Aizah
Oleh: Nur Aizah binti Ramli

      Kehidupan yang serba mencabar menuntut manusia untuk berfikir secara waras. Namun, hal ini perlu diseimbangkan dengan emosi yang positif. Mudahlah untuk disebut 'sabar', namun untuk melalui perkara tersebut adalah sesuatu yang menyakitkan. Merenung dan berfikir tentang apa yaang telah kita lakukan seharian dapat menyedarkan hati yang alpa dan akal yang leka. Masa yang paling sesuai muhasabah diri adalah sebelum tidur. Terlalu banyak yang tersirat di sini. Bukan untuk diluah bulat-bulat , tapi untuk cermin hati bagi diri. Apakah kita terlalu mulia untuk membenci orang lain? Apakah juga kita sentiasa benar dalam aliran pemikiran sendiri? Renungkan...Perasaan adalah perkara yang tidak statik, bahkan sering berubah ubah. Baca situasi di bawah.

Hati: Sampai hati mereka berbuat demikian pada aku.
Akal: Tidak mengapa, usahlah ambil hati. Sabar...
Hati: Lepas ni aku tak nak ambil peduli tentang mereka.

        Situasi demikian yang mencambahkan rasa dendam yang bersarang di hati, dan jika dibiar melarat akan menjadi istana syaitan untuk mengapi-apikan manusia. Saya ini bukanlah telalu bagus untuk memberikan nasihat, sedangkan diri ini kerap melakukan dosa, cuma perkara yang boleh diingatkan, sebaiknya dikongsi dengan orang lain. 


"Befikirlah satu abad untuk memberi manusia yang lain rasa sakit kerana kesakitan itu akan kembali semula pada tuannya apabila dia lupa diri. Rasa sakit yang pedih adalah rasa sakit di hati." -Nur Aizah Ramli-
        
Nur Aizah
Karya: Nur Aizah binti Ramli

Tika bayu menyapa mesra,
Aku tidak berasa bahagia,
Entah hati diruntun bara,
Ditiup angin bertambah menyala,
Mengapa demikian terjadi ia?,
Ampuh iman tak dapat bertahan,
Apa yang ada salah belaka,
Bukankah ada jalan  bercahaya?

Salahkan sesuatu bukanlah aku,
Jiruskan air tambahkan sabarku,
Bara jangan dibiar melata,
Kelak terbakar seluruh jiwa,
Tenangkan segumpal daging yang merah,
Jangan hancur dimamah amarah,
Itu semua punca berbalah ,
ucaplah satu kalimah,
sejukkan hati tiada gundah,
Astaghfirullahal A'zim.
Nur Aizah
Karya: Nur Aizah binti Ramli

            Kekusutan yang datang menyergah ruang fikiran mendesak Puan marina berbuat demikian. Lia dan Azrul menemui Puan Marina dalam keadaan tidak sedarkan diri apabila dia tekad untuk membunuh diri sendiri. Namun, Puan Marina masih terselamat kerana tidak sempat untuk menggantung diri pada tali di kipas syiling, dan hanya terjatuh dari atas kerusi.

‘Sanggup ibu buat begitu? Mengapa ibu? Ibu dah tak sayangkan Lia ke?’, tanya Lia  bertubi-tubi.

‘Ibu jika ada masalah sekalipun, janganlah buat begitu. Kami anak-anak ibu. Ibu boleh luahkan perasaan kepada kami. Kami sangat sayangkan ibu’, rintih Azrul.

            Puan Marina hanya menitiskan air mata. Namun, kejernihan air mata yang mengalir di pipi tidak mampu untuk menceritakan masalah yang tersimpul mati dalam ruang fikirannya.

‘Ceritakanlah pada kami ibu’, pujuk Lia dengan suara yang memujuk.

‘Keluar dulu nak, ibu nak berehat’, pinta Puan Marina.

            Serentak itu pintu bilik terbuka. Ayah mereka meluru masuk ke dalam wad. Dia seperti dalam keadaan yang tergesa-gesa segera mendapatkan Puan Marina.

‘Rina tak apa-apa ke?’, tanya Encik Malik pada isterinya.

            Azrul  dan Lia meminta diri untuk keluar dari bilik dan memberi peluang kepada ibu dan ayah mereka untuk berbual.

‘Kring’, telefon Lia berdering.

Lia segera mengangkat.

“Ha, sekarang dah puas tengok ibu kau? Itu baru sikit Lia. Ada yang lebih dasyat akan menyusul selepas ini’, ugut lelaki misteri.

‘Kau beritahu aku sekarang apa yang kau nak’,soal Lia

‘Kan aku dah cakap aku nak kasih sayang ibu kau. Itu pun aku nak kena ajar ke. Belajar tinggi pun, tak berguna juga kau ni’, lelaki misteri itu melepaskan tawanya di hujung telefon.

‘Kau nak aku buat apa?’, tanya Lia

‘Aku nak jumpa kau’, balas lelaki misteri

‘Di mana?’, tanya Lia

‘Esok aku akan beritahu’jawab lelaki itu

            Lelaki misteri terus meletakkan telefon.
***
‘Sudahlah, jangan diganggu lagi budak-budak tu. Mereka dah ada hidup masing-masing. Sepatutnya kau bersyukur ada yang menjaga Si Lia tu’, nasihat Mak Long kepada Lokman.

‘Anak saya. Hak saya. Saya nak balik’, kata Lokman

‘Tapi dulu kau yang beri’, pintas ibu  saudara Lokman

‘Itu dulu, tapi sekarang saya dah berubah. Saya nak hidup bersama mereka semula’ jawab Lokman

‘Fikirlah baik-baik’ nasihat Mak Long.

            Lokman merenung jauh ke luar tingkap. Dia melihat ada beberapa orang anak kecil sedang bermain-main di laman rumah. Tiba-tiba terlintas dalam ruang khayalan wajah Lia yang leka bermain mainan patung Barbie yang dibeli semasa hari lahir anak perempuannya itu. Lokman berasa kekayaan yang dimiliki tidak bererti tanpa kehadiran insan yang disayangi. Dia mahu kembalikan saat itu semula, namun bagaimana.

“Saya akan dapatkan semula dari Malik’, tegas Lokman.
Nur Aizah

Karya: Nur Aizah binti Ramli

           Lia merenung di hadapan kaca televisyen. Drama telenovela yang ditonton seperti terlakar kisah hidup dirinya. Lia berkhayal dalam dunianya sendiri mencari suatu kepastian yang masih bersembunyi di celah kekaburan kabus semalam.
          Gadis itu memikirkan kata-kata Auntie Sarah yang seakan menyindir dirinya dan ibu.

“Lia dan ibu masih belum faham keadaan keluarga ini. Hidup Lia dan ibu tak sama dengan kehidupan kami", kata Auntie Sarah.

“Kring….”…telefon berdering.

          Telefon rumah yang berdering tidak pun diangkat. Lia membiarkan bunyi itu berlalu bersama fikirannnya yang terbang melayang.

“Assalamualaikum”, Puan Marina mengangkat ganggang telefon.

          Suara itu mengejutkan Lia. Lia memandang ke arah ibunya. Lain benar wajah Puan Marina semasa bercakap. Dia seakan memendam perasaan benci, sebak dan sebagainya. Lia segera mendapatkan ibunya.

“Kenapa ibu?”, soal Lia.

“Tiada apa-apa”, jawab ibunya.

“Mengapa akhir-akhir ni Lia tengok ibu dah lain. Selalu termenung. Apa yang ibu fikirkan?”,

          Puan Marina tidak dapat menahan rasa yang terbuku di dalam hati. Dia terus masuk ke bilik tanpa sempat dikejar Lia. Lia membiarkan ibunya bersendirian. Azrul yang berselisih dengan Puan Marina terkejut melihat keadaan ibunya.

"Kenapa dengan ibu?”, tanya Azrul kepada Lia.

“Entah la, lepas ibu cakap dengan seseorang melalui telefon. Ibu terus jadi macam tu." jawab Lia

“Ibu ada masalah tu”,Azrul mengagak.

“Kring”, telefon berdering lagi.

          Pada kali ini, Lia pantas menjawab bunyi telefon yang berdering itu. Belum pun sempat Lia bercakap, suara dari telefon kedengaran.

“Dah fikir masak-masak. Pilih antara dua”, tegas lelaki itu.

“Hei, ni siapa?”,tanya Lia

“Ooo..kau ni Lia kan. Anak si pemungut kasih tu. Mak dan anak sama saja”,sindir suara misteri.

“Siapa kau ni? Apa yang kau mahu dari ibu aku?”soal Lia.

“Tak lebih dari kasih sayang ibu kau yang aku nak”, balas lelaki misteri.

“Ei, tak tahu malu. Entah kuman dari mana kau ni. Nak ambil ibu aku pula. Kau boleh jalan la. Sekali lagi kau ganggu ibu aku….”, ugut Lia.

“Jangan kurang ajar dengan aku. Baiklah sekarang kau dah cabar aku kan.”marah lelaki misteri

“Kau nak buat apa. Aku tak takut la”, jawab Lia

          Lelaki itu meletakkkan telefon. Lia tersentak kerana dia belum puas melepaskan amarahnya yang meluap-luap itu.

“Siapa tu akak?”,tanya Azrul

“Dia tak beritahu. Sakitnya hati!”,jawab Lia yang geram.

“Dia ada ugut apa-apa tak akak?”soal Azrul.

          Lia mundar mandir di ruang tamu. Dia sedang mencari jalan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Tiba-tiba kedengaran bunyi kuat benda yang terjatuh. Bunyi itu datangnya dari bilik atas. Lia dan Azrul segera berpandangan sesame sendiri. Fikiran mereka adalah pada Puan Marina. Mereka segera berlari ke tingkat atas. Pintu bilik dikunci.

“Ibu! Ibu!, jerit Azrul dan Lia.

          Azrul berlari ke bawah mengambil kunci pendua. Setelah pintu dibuka alangkah terkejutnya dua beradik tiri itu apabila melihat ibu mereka terbaring di atas lantai dengan mata yang terpejam. Meluru dua beradik mendapatkan ibu mereka.
Nur Aizah


Karya: Nur Aizah binti Ramli

Sepatah kata,
Semahal ilmunya,
Semulia insan,
Sebaik dirinya.

Seperti diriku,
Cuba menjejak,
Cuba meneka,
Dalam ruang sempit,
Aku membolos diri,
Mencari ilmu padanya,
Duhai guru ajarkan aku,
Ilmu mendidik hati yang lara,
Agar tenang jiwaku sentiasa,
Terlepas dari buruan dunia.
Related Posts with Thumbnails