Nur Aizah
Karya: Nur Aizah binti Ramli


"Ayah...Sya...min.....em...sya.." Syamin tersekat-sekat untuk menuturkan sesuatu yang dihasratkan di dalam hati. Dia yang masih trauma pada kejadian semalam yang merentap seluruh keyakinan juga keberaniannya semasa bersemuka dengan Pak Awang. Tidak pula dia berani untuk memandang apatah lagi berkata lantang.


"Apa dia...Syamin...cakap sahajalah..ayah dah nak pergi kerja" kata ayahnya sambil memakai kasut. Pagi itu awal pula ayahnya keluar pergi kerja.

"Em...Syamin kena bayar yuran sekolah...dah lama tertunggak...cik....gu..." belum pun sempat dia menghabiskan kata-kata ayahnya memintas.

"Kan hari tu ayah dah beri duit pada Syamin", jawab Pak Awang. Matanya yang membulat merenung tajam pada Syamin.

"Ya, tapi ayah beri tak sepenuhnya masih berbaki RM50", ujar Syamin tertunduk-tunduk takut untuk melihat wajah garang Pak Awang. Misainya yang tebal, ditambah pula dengan tubuh yang tegap berdiri menggusarkan hati Syamin andai tersalah bicara.

"Tunggulah sehari dua lagi ayah dapat gaji ayah beri pada Syamin", begitulah alasan yang sentiasa didengar setiap kali meminta duit dari ayahnya. Belum pun sempat  Syamin bersalam, ayahnya berlalu pergi. Pilu hatinya tatkala ayah bertingkah sedemikian. Cemburu di hati bila melihat rakan-rakannya yang lain begitu mesra dilayan oleh ibu bapa mereka.

"Syamin.......Syamin......" panggilan itu mengejutkan fantasinya. Kelihatan dua susuk tubuh sahabat baiknya  datang untuk pergi ke sekolah bersama-sama.

"Ya, aku datang", jerit Syamin dari dalam rumah. Pintu dikunci, dia menumpang basikal dengan Arif. Jarak dari rumah dua kilometer, jika Arif keletihan dia pula yang akan mengayuh. Dingin suasana pagi itu, kabus jugamasih belum beranjak pergi, namun sudah kelihatan murid-murid sekolah dihantar ibu bapa.

"Min...kenapa kau tak datang ngaji semalam, kau sakit ke?", tanya Abu. Syamin masih diam, akalnya cuba mencari alasan supaya tidak diketahui sahabat

" a...ku, aku....sakit perut", ringkas Syamin menjawab.

"Ye ke, aku dan Abu dah risau kalau ayah kau belasah sampai kau tak boleh bangun pergi mengaji, apsal ayah kau marah sangat semalam", Arif berbalas tanya.

"Ayah aku marah sebab aku tak kemas rumah......eh.....hari ni subjek Cikgu Badrul kan, ada beberapa soalan yang dia beri aku tak jawab sebab tak faham, nanti kau ajarkan ya", Syamin mengelak daripada disoal lagi." Arif dan Abu berpandangan sesama sendiri mereka tetap tak berpuas hati, namun hasrat mereka untuk bertanya semula dibatalkan.

  Sesi persekolah berlangsung seperti kebiasaan, Arif, Syamin dan Abu berada di dalam satu kelas. Mereka mempunyai kelebihan yang tersendiri, Arif lebih bijak dalam matematik, Syamin menyukai subjek Bahasa Inggeris manakala Abu lebih pandai bermain kata-kata dan semestinya dalam subjek Bahasa Melayu. Hubungan mereka sangat akrab seperti adik beradik, kemana sahaja mesti bersama.

"Kringgg.....!!!!" Loceng rehat berbunyi, semua murid-murid berpusu-pusu ke kantin. Tidak pula bagi tiga sahabat ini, mereka akan sama-sama menjamah makanan yang dibawa dari rumah. Syamin tampak lebih malu untuk berkongsi dengan Arif dan Abu kerana dia sahaja yang tidak membawa bekal. 

"Min.....Minnn..." bergegas lari Ah Lim ke arah mereka menyebut nama Syamin.

"Ada apa Lim", tanya Syamin.

"Penolong kanan HEM nak jumpa kau, ada hal katanya dan dia minta kau segera berjumpa dengannya", jelas Ah Lim yang tercungap-cungap. Tanpa membuang masa Syamin berlari lari anak ke arah pejabat sekolah. Ah Lim, Abu dan Arif yang melihat mengerutkan dahi. Ah Lim memulakan bicara pada Arif dan Abu, wajah mereka seperti kaget pada kisah yang diceritakan Ah Lim. Loceng berbunyi tanda waktu pengajaran dan pembelajaran akan bermula. 

"Syamin tak balik pun lagi, aku rasa dia dah lama kat bilik pejabat, kau rasa dia dapat terima semua ni?", tanya Arif pada Abu. Abu hanya menggelengkan kepala, tiada kata yang dapat dilafazkan, hanya insan sekuat Syamin yang boleh melalui semua ini. Suasana kelas sunyi seketika pabila Syamin melangkah masuk, wajahnya tampak tenang. Dia mendekati Arid dan Abu.

"Aku kena balik sekarang", ujar Syamin.

"Tapi kenapa?", soal Abu dengan tiba-tiba.

"Ayah aku masuk hospital, jadi aku kena balik", Arif dan Abu menganggukka kepala. Syamin mengambil beg dan menggalasnya.

"Kau pergi dengan siapa ni?", tanya Arif.

"Cikgu Mashitah yang hantar", Syamin menjawab dengan wajah sudah memerah, dia semakin cuba menyembunyikab perasaan yang dialami meskipun sukar. Dia tidak mahu rakan karibnya terlalu bimbang pada nasib yang menimpa dirinya. 

"Jaga diri ya, lepas sekolah nanti kami ke sana", kata Arif. Syamin hanya merenung dan berlalu pergi. Redup matanya menahan rintik permata dari berguguran. 





0 Responses

Post a Comment