I made this widget at MyFlashFetish.com.

Nur Aizah
Oleh: Nur Aizah binti Ramli



“Jangan pergi! Jangan pergi! Aku mahu tahu lebih lagi, siapa kau? Siapa kau?! Tunggu!!!!!”, suara Amin memecah kesunyian malam tika rembulan mula menampakkan sinarnya. Kedengaran tapak kaki yang kasar melangkah menuju ke arah suara itu, langkah itu terhenti tika masuk ke dalam bilik Amin.

“Astaghfirullah hal azim…kenapa dengan kau ni Amin”, kata Mak Piah yang terkejut dengan tingkah laku Amin seakan akan orang kena sampuk.

“Abang!abang!abang!, cepat tengok anak kita ni…”, jerit Mak Piah yang bimbang melihat Amin meronta-ronta minta disedarkan.

            Pak Husin bergegas ke bilik Amin. Dia sempat membawa air putih dan membaca ayat suci al Quran lalu dipercikkan pada wajah Amin. Amin mula sedar dan memandang kedua-dua wajah orang tuanya.

“Kenapa dengan Amin ibu, kenapa dia pergi bu? Ibu, Amin mimpi..Amin mimpi..”, Amin tidak dapat meneruskan kata-kata kerana ketakutan dan kengerian mimpi yang dialaminya.

Mak Piah tidak memaksa untuk Amin menceritakan segalanya tetapi meminta Amin untuk bertenang dan berehat setelah diberikan air penawar yang dijampi oleh Pak Husin. Setelah Amin ditenangkan, pasangan suami isteri itu kembali ke kamar lalu pintu bilik Amin ditutup perlahan, kelihatan sepasang mata yang merah menyala memandang dari sebelah tempat tidur Amin. Mata yang penuh perasaan dendam, menyimpan rahsia yang belum tersingkap. Lembaga itu memeluk erat Amin sambil rambutnya diuraikan sehingga ke bawah katil.

“Abang ..Piah rasa Amin sudah tahu apa yang kita rahsiakan selama ini, apakah kita perlu beritahu dia abang?, tanya Mak Piah pada Pak Husin.

“Jangan beritahu apa-apa, Amin terlalu muda untuk mengetahui dan melalui segala peristiwa silam itu, lebih baik dirahsiakan”, pinta Pak Husin.

“Tapi bang, Piah risau jika benda itu mengganggu Amin lagi, Piah bimbang kalau dia apa-apakan Amin, Amin tidak bersalah bang”, rintih Mak Piah yang bimbang akan keselamatan anaknya itu.

“Sudah! Jangan kita bincang lagi hal ini, takut melarat entah ke mana”, Pak Husin mendengus kasar dan berjalan keluar duduk di ruang tamu sambil tangannya menggulung daun rokok untuk diisi tembakau. Mak Piah faham bahawa suaminya semakin risau dan gelisah memikirkan hal tersebut, dia tidak mahu mengganggu Pak Husin sebaliknya terus mengambil wuduk dan membaca al-Quran agar kegelisahan hatinya terubat apabila ayat-ayat suci itu dibaca.

Pagi itu, Mak Piah seperti biasa mengejutkan Amin untuk ke sekolah, disentuhnya kaki Amin terasa sejuk seperti mayat, dirasakan dahi Amin panas pula. Mak Piah tidak berpuas hati lalu menepuk lembut tubuh Amin.
“Amin..Amin..Amin, bangun nak”, panggil Mak Piah.

Amin mula membuka mata dan mengeliat, matanya merah berair, mulutnya pucat bagai orang mati. Mak Piah semakin gelisah lalu segera menelefon suaminya untuk segera pulang. Amin dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Doktor mengesahkan Amin hanya demam biasa dan diberikan panadol, antibiotic, dan vitamin bagi meningkatkan penghasilan darah dalam badannya. Amin juga dinasihatkan untuk minum banyak air dan makan sayur-sayuran bagi mengekalkan kecergasan tubuhnya.

Sampai di rumah Amin berehat dan tertidur akibat mengantuk hasil tindak balas ubat yang dimakannya tadi. Tidur Amin berpanjangan sehingga ke petang. Mak Piah tidak henti-henti menjenguk Amin di bilik bagi memastikan anak bongsunya dalam keadaan baik. Selesai melakukan kerja memasak dan memberi Amin makan, Mak Piah sempat untuk membaca al-Quran di telinga Amin.

“Kedegammm!!!!!”,tiba-tiba pintu bilik dan tingkap terhempas kuat walaupun tiada angin yang menolaknya. Tirai mula berombak ganas seakan petanda buruk datang menyerang. Mak Piah mula gusar akan kedatangan makhluk itu yang mengganggu keluarganya. Dia menguatkan lagi bacaan ayat kerusi yang dihafalnya dan berhenti tika melihat Amin menggelupur di lantai bagai cacing kepanasan.

“Amin, kenapa ni..bangun nak, beritahu pada ibu apa yang berlaku pada kau”,kata Mak Piah sambil air matanya jatuh berlinang pabila melihat anaknya berkeadaan sedemikian.

Amin merenung tajam pada wajah ibunya dengan mata yang merah berair, wajah yang bengis bagai orang yang menyimpan dendam berkurun lamanya.

“Apa yang kau dah buat pada aku!!!

“Kenapa kau bunuh aku!!”, Tengking Amin pada Mak Piah.

“Apa yang aku dah buat pada kau, selama aku hidup tidak pernah aku membunuh orang, tidak juga pernah aku mencederakan siapa pun, bahkan Amin tidak pernah pula aku sakiti, keluar kau dari tubuh suci ini, keluar kau!!, Mak Piah menguatkan bacaan dan sejurus itu mengambil senggegam beras kunyit dan air penawar yang telah dibacakan dengan ayat suci lalu dihamburkan pada tubuh Amin. Amin bagai terseksa dan tersembur air liur dari badannya dan tiba-tiba berhenti seketika tidak sedarkan diri. Mak Piah yakin bahawa benda itu telah pergi dari tubuh anaknya. Dia segera mendapatkan tubuh anaknya yang sudah lemah longlai. Amin tidak bertenaga umpama orang yang berjuang melawan musuh di medan perang.

“Argggghhhh, sakit!!!!!...Amin lepaskan ibu”, jerit Mak Piah. Tangan Amin mencekik kuat leher ibunya seraya berkata;
“Mana kaki aku! mana kaki aku! kembalikannya padaku! aku sakit, aku… aku sakit, kembalikannya!!, jerit benda yang menumpang pada badan Amin itu.

“Allahuakbar…Allahuakbar..Allahuakbar..”..kedengaran suara garau dari luar bilik menjerit kuat.

Pintu bilik dikuak kasar, kelihatan bayang tubuh yang sasa berdiri di depan Amin dan Mak Piah, bayang itu melangkah berani masuk ke dalam bilik sambil mulutnnya terkumat kamit membaca sesuatu. Mak Piah memandang wajah tersebut dan yakin bahawa itu adalah suaminya.

“Wahai Jin, aku tahu mana asalmu, dari api engkau dijadikan, dengan tanah engkau mendustai, maka kembalilah ke tempat asalmu, sebelum jasadmu dibinasakan dengan ayat-ayat suci Maha Pencipta aku dan kamu!!!!..Kembalilah! Jangan kau ganggu anak cucu Adam, kami adalah sebaik-baik kejadian, keluarlah engkau dengan cara yang baik dari tubuh suci itu!!..Pinta Pak Husin dengan tegas.

Cengkaman Amin pada leher Mak Piah dilepaskan dan matanya ditumpukan sepenuhnya ke arah Pak Husin.
“Aku tak peduli, aku mahu bahagian aku, aku tak tenteram, aku mahu semula kaki aku, kaki aku yang kau ambil! yang kau simpan! , kerana aku tolak pinangan kau!, kerana aku tak terima cinta kau!”, tengking Amin sambil mengilai kuat.

Pak Husin kebingungan, apa maksud lembaga itu, kaki? Siapa dia? tanya Pak Husin di dalam hati.
Pak Husin mula berfikir seketika…Dahulu kala, pernah juga ayahnya bercerita akan perihal datuknya, Rahim, yang mengamalkan ilmu hitam dan menggunakan ilmu itu dengan menyihir seorang gadis yang bernama Suria, tetapi cerita tersebut tidak tersebar luar di kampung kerana khuatir akan pandangan masyarakat pada keluarga Pak Husin. Pak Husin tersentak kerana benda itu sedang berada dekat di hadapannya.

“Apa sekarang kau sudah ingat?Ingat.. di mana kau simpan kaki aku?, tanya lembut suara itu bagai suara perempuan muda.

“Pak Husin memejamkan mata dan meminta Mak Piah agar tidak berhenti membaca surah yang dia hafal, Pak Husin terkumat kamit membaca sesuatu, ilmu agama dan perubatan islam yang diturunkan ayah pada dirinya tidak disia-siakan. Dia segera membuka mata dan merenung tajam pada benda itu yang tersenyum sinis berbaring di atas katil. Dia meminta Mak Piah memegang tubuh kecil Amin sekuat hati dan Pak Husin memegang ibu jari kaki Amin sambil membaca ayat-ayat suci lantas mennyentap kuat ibu jari Amin sebagai tanda benda itu dikeluarkan dari tubuh Amin.

“Arrrggghhhhhhhhhhhh…sakit….!!!!!!!”.Jerit suara itu.

Pak Husin terus memasukkan di dalam botol kecil dan menutupnya kuat…dia tersandar keletihan pada tubuh isteri yang memangkunya. Mengalir air mata melihat keadaan Amin yang terpaksa memperjuangkan nyawa dek rasukan lembaga itu, tetapi dia bersyukur lembaga itu tidak akan lagi mengganggu keluarganya. Namun ,terlintas di hatinya bahawa kaki yang dimaksudkan lembaga itu perlu dia cari agar roh Suria tenang di alam sana.

Malam itu juga dia melakukan solat tahajud, solat sunat taubat, dan solat sunat hajat bagi mendapatkan petunjuk di mana kaki Suria disembunyikan. Dia bersungguh-sungguh bermunajat dengan isteri yang setia disampingnya. Hampir subuh dia terlelap seketika di pangkuan isterinya. Pak Husin tersentak dan terus bangun memandang isterinya yang telah tidur dibuai mimpi. Dia terus berjalan menuju ke dapur dan mengambil cangkul yang tersadai di tepi rumah.

“Bismillahirrahmanirrahim”, Pak Husin mengucapkan ayat itu agar kerjanya diberkati dan dilindungi oleh Allah SWT.

“Ktooookkkk!!!”, Lantai di dapur rumah dipecahkan. Pak Husin mencangkul dengan penuh bertenaga seperti menjumpai harta karun yang bernilai.

“Apa yang abang buat tu? Tidak boleh tunggu pagi ke..sudah hampir subuh ni..”,tanya Mak Piah yang bangun akibat terkejut dengan bunyi kuat dari arah dapur.

Pak Husin tidak mempedulikan kata-kata isterinya, sebaliknya dia terus asyik dengan kerja yang dilakukan tanpa bersuara sepatah pun, tingkahnya terhenti dan merenung tajam pada benda yang dijumpai itu. Dia pasti bahawa inilah yang lembaga itu maksudkan. ..dia meminta Mak Piah mengambil sehelai kain putih dan membalut tulang tersebut. Itulah tulang kaki Suria yang datuknya tanam dahulu, segala persoalan kini telah terjawab.
“Alhamdulillah”,kalimat yang terlafaz dari bibir Pak Husin.

Pagi itu, tulang kaki arwah Suria ditanam berdekatan dengan kuburnya. Walaupun Suria telah lama pergi terasa seakan dia lebih tenteram di sana. Pak Husin, Mak Piah dan Amin menghadiahkan surah Yasin kepada rohnya agar tenang bersama roh orang-orang yang soleh. Mereka melangkah pulang sambil diperhatikan lembaga putih yang tersenyum riang tanda syukurnya pada keihlasan hati keluarga itu membantunya.

       Suara cengkerik dan desiran angin di sawah pada petang itu ibarat irama syahdu yang membawa perkhabaran gembira buat si pesawah tanda rezeki mereka masih ada dan kerja menuai dapat dijalankan. Kelihatan jentera kuning mula bergerak ke dalam petak-petak sawah untuk memungut padi yang sudah masak. Anak-anak kecil riang gembira kerana mereka dapat melihat mesin padi. Mereka memendam hasrat bersama pesawah untuk meraikan hari itu, tetapi hanya duduk di tepi sawah memandang sayup dari batas sana.

        Begitu juga dengan Amin yang hanya mampu melihat dari atas rumah dan tidak dizinkan untuk turun bersama anak-anak yang lain bermain di padang. Di kejauhan itu, dia tersenyum apabila segala persoalan di hatinya kini telah terjawab, meskipun peristiwa itu menjadi titik hitam bagi dia dan keluarga. Namun, dia cukup gembira apabila roh Suria kini tenang dan terus bersemadi di alam sana.
Nur Aizah
Oleh : Nur Aizah binti Ramli






“Kau memang tak tahu malu, anak yang tak kenal di untung? Aku beri kau makan, minum, pakaian dan sebagainya masih malas buat kerja, sudah lewat begini masih belum pulang!! Aku betul-betul tak puas hati dengan kau.. jagalah kau, siap aku kerjakan!!", marah Mak Temah sendirian.


Guruh berdentum kuat diikuti hujan lebat membasahi bumi, suasana suram menyelubungi kawasan sekitar rumah, pohon-pohon kelapa beralun ke sana sini ditiup angin, padi yang menguning berombak girang tanda syukur atas nikmat yang Allah beri. Namun, Mak Temah masih menunggu Suria yang masih belum pulang dari mencuci pakaian, Mak Temah begitu gelisah , rasa senak dan bergelodak di dadanya kerana kemarahan dan ketidakpuasan hati masih belum dihamburkan kepada Suria.

Dia memandang laluan denai yang dilalui Suria masih belum bertapak lagi, direnungnya awan yang masih kelabu menunjukkan tanda hujan tidak akan berhenti. Tiba-tiba di suatu sudut kelihatan kelibat orang yang berlari kelam kabut ke arah rumahnya. Mak Temah bersedia dengan kata yang akan dihamburkan pada Suria. Namun, impiannya terhalang apabila, kelibat manusia tadi bukanlah Suria tetapi Wak Senin. Kelihatan orang tua itu, termengah-mengah kepenatan sambil menarik nafas.

“Apa kena dengan Wak ni? Berlari bagai orang dikejar hantu?, tanya Mak Temah.
“Temah oi…penduduk kampung sekarang tengah berkumpul di dalam hutan dekat dengan telaga sana”, kata Wak Senin satu per satu.

“Kenapa dengan telaga tu.. dah tak der air ke..tak pun telaga tu dah keluarkan emas ye..?”, sindir Mak Temah pada Wak Senin.

“Bukan ..Temah..kau barsabar ya dengan apa yang akan aku khabarkan ini..kau nak tau.. anak tiri kau, Suria, mati dibaham binatang buas di rimba sana, mayatnya sangat mengerikan.. kakinya tiada hilang entah ke mana, yang tinggal hanya badan dan kepala sahaja,”jelas Wak Senin.

“Astaghfirullah hal azim, betul ke Wak Senin, Suria telah mati, Suria …Suria…Suria”, rintih Mak Temah.

Wajah Mak Temah kini bertukar sedih dan pilu, butir-butir permata jatuh membasahi pipi wanita yang semakin berusia itu, tiada lain yang tergambar dalam fikirannya kecuali wajah Suria yang begitu baik pada dirinya dan tidak pula pernah merungut jika disuruh membuat kerja. Suria menganggap Mak Temah sebagai ibunya walaupun bukan Mak Temah yang melahirkannya. Namun bagi Mak Temah berlainan pula, Suria dianggap sebagai beban baginya. Mak Temah mula menyesal. Dia segera sedar dari lamunannya dan bersiap-siap ke tempat kejadian bersama Wak Senin. Walaupun, Suria adalah anak tirinya namun di tebing hatinya masih lagi tersimpan sedikit rasa kasih dan sayang untuk Suria. Dia mula menyesal dan berasa sangat bersalah kerana menyuruh Suria melakukan kerja-kerja rumah yang sepatutnya dia selesaikan. Tetapi sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Suria kini tiada pada jasad, rohnya telah pergi jauh bersama ibunya, Jannah, di alam sana. Tinggallah Mak Temah sendirian…sudahlah suaminya juga telah lama meninggal dunia, maka hidupnya kini sebatang kara di rumah itu.

Pengebumian Suria dilaksanakan secepat mungkin, pada malam itu juga jenazahnya dikebumikan. Bacaan tahlil untuk tujuh malam diadakan bagi mengiringi pemergiannya arwah Suria. Kematian Suria masih menjadi tanda tanya di dalam hati Mak Temah. Siapa yang membunuh Suria? Apakah Suria ada musuh? Seingat Mak Temah, Tini satu-satunya teman yang Suria ada. Suria juga tidak pernah keluar dari rumah apatah lagi bergaul dengan orang yang tidak dikenali. Persoalan ini terus ligat bermain di fikiran Mak Temah.

Pada malam ketujuh bacaan tahlil di rumah Mak Temah, hujan di sertai angin yang sangat kuat. Penduduk kampung yang membaca Yasin di beranda terpaksa masuk ke dalam rumah akibat tempias hujan. Selesai membaca tahlil tinggallah Mak Temah bersama dua orang temannya yang tinggal berdekatan. Mereka membantu Mak Temah mengemas makanan dan peralatan yang telah digunakan.

“Kkkkraaaakkkk”, bunyi umpama sesuatu benda kuat yang dipatahkan kedengaran.

Mak Temah melihat di luar jika ada ada dahan pokok yang patah dan jatuh akibat ditiup angin. Namun, tiada apa yang dijumpai…Mak Temah memandang ke kiri dan kanan. Mata Mak Temah terhenti seketika pada rimbunan semak di belakang rumahnya. Ada sesuatu yang sedang memerhati ke arahnya dari sana. Bayangan seakan-akan manusia dengan wajah yang hitam dan kurang jelas…Mak Temah mula berasa bulu romanya menegak lalu Mak Temah membaca ayat kerusi sebanyak yang boleh…Alhamdulillah benda tersebut hilang dan seingat Mak Temah pada pandangan sepintas lalu benda itu pergi, dia memerhati ada sesuatu yang dipegang lembaga itu..seakan akan... Mak Temah segera mematikan fikirannya dan terus masuk ke dalam rumah. Dia membetulkan diri dan wajahnya supaya tidak diketahui temannya akan keadaan yang berlaku padanya sebentar tadi.
Nur Aizah
Oleh : Nur Aizah binti Ramli



Di sekolah Sani dan Karim asyik sibuk bersembang sambil mulut mengunyah nasi lemak yang dibeli di kedai Mak Munah tadi. Nasinya terasa lemak dengan adunan santan yang cukup rasa, ditambah pula dengan sambal ikan bilis yang melengkapkan lagi resepi nasi lemak Mak Munah yang terkenal itu. Di suatu sudut, ada sepasang mata yang memerhatikan mereka, lembaga itu segera menghampiri mereka dengan langkah sederas angin lalu menyapa dua tubuh tadi.

“Woi!!!, sedapnya makan… sampai lupa aku yang tercongok kat sana dari tadi,bukannya nak ajak ke nak belanja ke, ini tak.. makan sorang-sorang”, Amin menyeloroh sendirian sambil tersenyum sinis kepada dua sahabat tadi.

“Apa cerita kau datang lewat ke sekolah hari ni, kalau tidak sebelum Pak Cik jaga tu sampai kau dah awal tiba di sekolah, kau kencing malam ek…itu pasal yang datang lambat”, ejek Sani diikuti hilaian tawa karim yang memecahkan suasana hening di sekitar sekolah.

“Arghh…banyak la kau punya kencing malam, aku ada cerita baik punya, lepas aku cerita ni gerenti korang tak berani nak lalu sana lagi, kata Amin menakut-nakutkan Sani dan Karim.

“Apa ceritanya Amin, kau ni macam-macam hal la, cuba kau jadi penglipur lara kejap, ceritakan kepada kami apa yang saspen sangat cerita kau ni”, kata Karim sambil menjilat jarinya tanda sudah selesai memakan nasi lemak Mak Munah.

“Uih..cerita dia memang saspen, aku pendekkan cerita aku ni, semalam aku balik dari mengaji di rumah Tok Kawi, lalu je kat kawasan rumah buruk tu aku rasa seram sejuk.. aku lihat kiri,kanan, depan dan belakang bimbang kalau ada benda yang ikut aku pulang, sedang asyik aku meninjau-ninjau tiba-tiba aku terlanggar pohon ketapang kat tepi jalan sana. Maka, aku pun pengsan seketika, aku mimpi seorang gadis yang sangat cantik tetapi cantik dia kejap je sebab ada seekor makhluk aneh macam cerita “Alien Vs Predator” tu, muka dia sangat menyeramkan..dia menyerang dan melapah gadis itu tanpa belas kasihan. Kesian gadis tu menjadi korban pertamanya.Pada waktu tu, aku tersentak lalu terjaga…"

“Kkkkriiiiiinnnngggg!!!!!, loceng berbunyi menandakan kelas akan bermula sebentar lagi.

Amin tidak dapat menghabiskan ceritanya, mereka bersiap-siap dan berjalan masuk ke dalam kelas. Sebelum masuk ke kelas masing-masing, namun mereka sempat lagi menunjukkan isyarat untuk bertemu semula semasa pulang nanti.

Fikiran Amin menerawang entah ke mana lantaran mimpi yang dialaminya semalam. Kematian Suria terus menjadi tanda tanya di hatinya. Siapakah Suria? Mengapa dia dibunuh? Apakah kematiannya ada kaitan dengan ibu tirinya atau ada orang yang iri hati padanya? Dan persoalan yang menjadi keutamaannya sekarang apakah benar kisah yang dialaminya itu? Jika benar, apa yang harus dilakukan?

“Amin!!! Sila jawab soalan saya tadi”,suara Cikgu Jamilah bergema di dalam kelas.

“Soalan apa Cikgu?, Ya…Kucing saya belum makan lagi cikgu, kata kerja makan digunakan, betul ke cikgu?”, jawab Amin sambil tersengih-sengih.

Semua kawan kelasnya mentertawakan perbuatannya sebentar tadi, Amin tertunduk malu. Dia sedar kesalahannya yang berkhayal di dalam kelas. Dilihatnya, muka Cikgu Jamilah mula bertukar bengis dan menghampiri Amin.

“Amin, kamu berdiri atas kerusi sampai Cikgu sudahkan pembelajaran hari ini! Sikap kamu yang asyik leka dan berkhayal telah mengganggu fokus kawan-kawan yanglain,”tegas Cikgu Jamilah.

Amin menurut segala yang disuruh oleh Cikgu Jamilah dan diperhatikan oleh kawan-kawannya yang lain. Suasana pengajaran dan pembelajaran dalam kelas diteruskan sehinggalah jam 1.30 tengah hari. Setelah loceng berbunyi murid-murid mula mengemas barang dan beratur keluar dari kawasan sekolah. Sudah ada waris yang menunggu untuk mengambil anak-anak, ada pula yang menaiki bas tetapi bagi anak sepeti Amin yang tinggal di kampung itu, dia hidup berdikari dengan menaiki basikal ke sekolah.

“Mana Sani dan Karim ni? Janji dengan aku nak tunggu di sini, bayang diorang pun aku tak nampak lagi”, bebel Amin sendirian sambil diperhatikan dua sahabat dari belakang.

“Hai..kau ni boleh tahan membebel .. mengalahkan tok nenek, hehehe…,” tawa Sani.

“Memang la, dah korang lambat..em ..mesti lambat habiskan kerja sekolah, buat kerja macam kura-kura , kan kita dah lewat ni”, rungut Amin.

“Maaf la Amin, tadi Cikgu Tarmizi beri soalan kuiz, siapa yang jawab dengan betul boleh la keluar awal..almaklumlah kawan-kawan kau ni genius sangat.. jadi keluar la lambat sikit, hehehe, jangan marah ya”, pujuk Karim tanda rasa bersalah.

“Em..ya la, aku nak bincang dengan korang.. petang nanti kita ke rumah buruk di tepi sawah tu nak tak? Aku ada hal yang masih belum terjawab lagi dan buat aku asyik terfikirkan tentangnya, korang berdua boleh pergi kan? Boleh la ya?..”,pinta Amin kepada Sani dan Karim.

“Kau gila ke, tempat tu berpuaka .. aku tak nak dan tak sanggup nak pergi.. bahaya la Amin.. tempat tu dah makan ramai orang. Takkan kau nak pergi, kau tak takut ke? Sebelum ni dah banyak kemalangan yang berlaku kat situ, ada pula yang meninggal walaupun langgarnya sedikit cederanya tidak. Aku tak nak la Amin ikut kau”, jelas Karim.

“Betul apa yang Karim cakapkan, kau jangan ikutkan sangat semangat jantan kau tu, nanti binasa diri, kau tak payah pergi ya”, pujuk Sani.

Amin mendiamkan diri seraya berfikir seketika tentang rancangannya di rumah buruk itu. Hatinya masih tidak berpuas hati andai segala misteri masih belum terbongkar dan lambaian Suria seolah-olah memanggil dirinya untuk menyelami apa isi yang ada di dalam rumah itu.
Nur Aizah
Oleh: Nur Aizah binti Ramli



“Suria! Oo Suria, datang sini cepat, ambil semua pakaian ini bawa cuci di telaga sana”, bising Mak Temah kepada Suria.

“Ya, Suria datang ibu”, jawab Suria perlahan.

“Datang pun kamu, ni ha..bawa cuci semua pakaian ini, petang nanti aku mahu pakaian ini siap dikering dan digosokkan. Kalau semua kerja ini tidak siap jangan makan, faham!!!", tegas Mak Temah kepada Suria.

Berjalanlah Suria membawa bakul berisi pakaian sambil menitis air matanya mengenangkan nasib malang dan terpaksa pula berkongsi hidup dengan ibu tirinya di pondok usang itu. Sambil berjalan Suria terdengar seakan-akan ada sesuatu yang mengekorinya. Semakin dia percepatkan langkah, semakin cepat benda itu mengejarnya. Apabila dia berhenti, benda tersebut menghentikan langkahnya. Suria semakin ketakutan. Suria mengintai-intai di balik pohon ketapang jika benda itu masih mengekorinya. Setelah yakin bahawa tiada yang mengekorinya. Dia memalingkan semula wajah ke hadapan. Alangkah terkejut bukan kepalang apabila wajah yang sedang berhadapan dengannya adalah wajah hodoh suatu lembaga, yang berwajah gelap, dengan kulit muka yang mengelupas dan badan yang penuh kudis dan berlendir.

Suria kelu tidak bersuara, badannya terbaring lemah tidak terdaya. Lembaga itu semakin menghampiri dan berwajah ganas. Suria menggigil ketakutan sehinggakan akar pokok yang dipegang hampir putus. Hanya bunyi koyakan daging dan ratahan seperti binatang buas yang kedengaran. Darah berhamburan ke sana sini membasahi bumi tanda korban petualang telah tumbang.

Amin tersedar dari lamunan ilusi ngerinya. Dia melihat kawasan yang gelap di sekelingnya dan mula mencari sedikit petanda agar dia tahu kedudukan asalnya. Cahaya bulan purnama yang bersinar memberi ruang kepadanya untuk bergerak.

"Arggghhhh!!!",jerit Amin

Berderau darah Amin apabila tangannya menyentuh kasar pada dua batu yang bertulis tulisan jawi. Keadaan yang gelap membuatkan tulisan tersebut nampak kabur dan tidak dapat dibaca. Tanpa berlengah lagi Amin segera bangun dan mencari basikalnya untuk bergegas pulang, dia berlari ke sana sini bagi mendapatkan basikal buruknya itu. Rupanya basikal itu tersadai di tengah jalan tar di tepi rumah usang itu. Amin mempercepatkan langkah dan segera mendapatkan basikalnya lalu berkayuh pulang ke rumah.

Setelah sampai di rumah, lampu di ruang tetamu masih dinyalakan, dia sudah mengagak bahawa belakangnya pasti akan berbirat lagi. Namun, dia tetap gagahkan kaki melangkah dengan wajah yang masih pucat dengan keadaan yang dia alami sebentar tadi. Pintu dikuak perlahan. Suasana di dalam rumah seperti menunggu kepulangannya.

" Amin!Kau ke mana? Sudah pukul 3 pagi baru pulang, kenapa kau tak pulang esok saja?!", marah Pak Husin pada Amin.

Belum sempat Amin menjawab badannya direntap kasar dan kayu rotan sebesar dua ibu jari orang dewasa hinggap di badannya.

"Maafkan Amin ayah, Amin terjatuh dan pengsan di rumah buruk di pinggir sawah itu, percayalah ayah" , rayu Amin yang mengharap ayahnya berhenti melibas rotan itu ke badannya.

"Rumah buruk di pinggir sawah?", Pak Hussin bertanya sambil memandang muka isterinya yang penuh kerisauan dan ketakutan.
Nur Aizah
Oleh: Nur Aizah binti Ramli




Burung berkicau riuh bernyanyi, terbang menuju ke sarang di pohon sana, awan berarak menutup mentari, anak-anak di padang mula bergegas pulang namun ada juga yang dikejar si ayah kerana degil masih bermain di padang. Ketika itu, angin senja pun bertiup sepoi-sepoi bahasa pada pohon-pohon yang liuk melambai. Kedengaran merdu suara muazzin melaungkan azan.

"Amin!Amin!Amin! Mana anak bertuah ni? Sudah senja begini masih belum pulang", bebel Mak Piah sendirian.
Mak Piah tertinjau-tinjau di luar jendela mengharap agar kelibat anak bongsunya itu. Hatinya bertambah resah apabila Pak Hussin telah pulang, Mak Piah khuatir jika Amin dirotan lagi. Serentak dengan itu, kedengaran bunyi pintu belakang dikuak perlahan dengan derapan tapak kaki kecil melangkah masuk perlahan-lahan.

"Amin! Kamu baru pulang ya! Sudah berapa kali ibu pesan lepas main bola segeralah pulang ke rumah. Waktu senja tak baik berkeliaran di luar sana. Kamu tidak serik dengan kelibat lembaga hitam di rumah buruk di pinggir sawah itu. Sudahlah, pergi mandi, solat dan mengaji al-Quran", kata Mak Piah.

Setelah selesai solat maghrib, Amin bersiap-siap untuk ke kelas mengaji al Quran di rumah Tok Kawi. Kawan-kawannya sudah menunggu di bawah rumah. Malam itu cuaca mendung, suasana gelap, diikuti irama sang cengkerik dan burung hantu agak menyeramkan hati seorang kanak-kanak yang berusia 9 tahun seperti Amin. Basikal dikayuh sekuat hati walaupun tiada apa yang terjadi. Setelah sampai di rumah Tok Kawi, Amin menarik nafas lega dan terus bergegas ke atas rumah dan mula mengaji.

"Amin, kau nak tau tak bulan lepas..."Sani menghentikan ayatnya. "Ada apa Sani..ceritalah," kata Amin yang tertarik pada wajah saspen Sani.

"Kalau kau nak tahu bulan lepas Karim pulang dari mengaji Quran, waktu dia balik dia nampak ada orang mengesot sambil meraung-raung masuk ke dalam rumah buruk di pinggir sawah tu, jelas Sani.

"Eii, kau biar betul Sani hari ni malam Jumaat, aku nak balik nanti lalu dekat sana, mau terkencing aku kalau nampak benda macam tu, Amin mula mempercayai kata-kata Sani.

"Aku cakap je, lagipun aku dengar orang cakap entahkan betul ke tidak, tapi kau hati-hati la ya", nasihat Sani kepada Amin.
Related Posts with Thumbnails