Nur Aizah
Seseorang akan bergelar seseorang andai dia berjaya membentuk perwatakan dalam dirinya. Kebergantungan pada orang lain hanya akan membuat seseorang dipandang rendah dan tidak dirasakan oleh orang di sekelilingnya sebagai sesuatu yang penting umpama 'melukut di tepi gantang' iaitu tidak akan memberi sebarang perubahan dan kesan andai dia ada atau tidak.
Oleh itu jadilah insan yang mempunyai pendirian kerana apa pun pendirian kita selagi rasional dan bermanfaat untuk orang lain pasti akan disokong dan dipermudahkan oleh-NYA. Biarlah apa orang kata, kita tetap kita umpama peribahasa 'hidup tidak kerana puji mati tidak kerana keji'. Tanamkan motivasi yang tinggi di dalam diri supaya tidak runtuh jambatan teguh yang melambangkan keteguhan pendirian dalam diri.
Keyakinan yang menebal dalam diri akan membuatkan kita kebal akan ejekan dan hinaan daripada orang yang suka pada kejatuhan kita. Maka, gunakanlah akal dalam setiap perkara yang dilakukan kerana “akal itu menteri yang menasihati, hati itu adalah raja yang menentukan, harta itu adalah tamu yang akan berangkat, kesenangan itu satu masa yang ditinggalkan.” Fikir-fikirkan dan renung-renungkan. Sentuhlah jiwa kan tersentuhlah rasa.

0 Responses

Post a Comment